Wednesday, August 11, 2010

Ramadan artis realiti

pix_gal0
Fiq, Black, Hafiz, Nashrin kongsi cerita puasa, perkembangan terbaru masing-masing

SABAN tahun, aktiviti melihat anak bulan ialah perkara pertama dilakukan sebelum sebarang tarikh permulaan Ramadan al-mubarak ataupun ketibaan 1 Syawal ditetapkan. Jika sewaktu zaman kanak-kanak dulu, pengumuman tarikh puasa atau hari raya menjadi program yang sering ditunggu-tunggu. Jika anak bulan kelihatan di mana-mana lokasi yang diiktiraf, pastinya berita baiklah yang akan disampaikan dan jika keadaan sebaliknya, terpaksalah menunggu sehari lagi sebelum ibadat puasa atau sambutan hari raya dilakukan.

Bagaimanapun, keseronokan mendengar pengumuman puasa atau hari raya bukan saja dirasakan golongan kanak-kanak. Perasaan itu berlanjutan sehingga dewasa. Contohnya, empat bekas peserta program realiti ini, walaupun masing-masih sudah dewasa dan mungkin sudah layak untuk bergelar suami, namun setiap kali pengumuman itu muncul di kaca televisyen, mereka tidak pernah ketinggalan menyaksikannya.Justeru, apabila Hip mengajak mereka mengadakan sesi fotografi berkonsepkan melihat anak bulan Ramadan, keempat-empat mereka cukup teruja walaupun menyedari ia hanyalah lakonan. Kelmarin, bertempat di pelantar pemandangan Menara Kuala Lumpur, Fiq, Black, Hafiz dan Nashrin bergaya sakan sambil meninjau kemunculan ‘anak bulan’, di samping bercerita perkembangan terbaru mereka.
Masing-masing sibuk

JIKA ada yang lebih selesa menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berehat sambil menumpukan soal beribadat, bagi juara musim kedua Mentor, Mohd Firdaus Abdul Halim atau Fiq, inilah masanya untuk dia lebih aktif mempromosikan album kedua, Diagnostik yang baru saja berada di pasaran sebulan lalu.

Tegas Fiq, dalam situasi seperti sekarang, dia harus bekerja keras untuk mempromosikan album sendiri walaupun menyedari tugas itu turut dipikul syarikat rakaman. Fiq juga berkata, dia puas hati dengan sambutan diberikan peminat terhadap album itu, terutama single yang berjudul Manifestasi Cinta. Lagu itu menyaksikannya bergandingan dengan kumpulan nasyid Mirwana.

“Ia gabungan pertama saya dengan kumpulan Mirwana. Saya seronok merakamkannya kerana lagu itu memberikan cita rasa yang berbeza daripada diri saya, yang sebelum ini lebih menonjol dengan muzik rock,” ujar Fiq yang hilang seketika dari dunia seni sebelum muncul dengan produk terbaru.
Tentunya ramai yang masih ingat bahawa Fiq adalah protege kepada rocker terkenal dan juga vokalis kumpulan Search, Amy. Bagaimanapun, sejak muncul dengan album solo, jarang kelihatan Fiq bersama-sama bekas mentornya itu. Apakah berlaku perselisihan faham antara Fiq dan orang yang banyak membantu menaikkan namanya itu?

“Tiada apa yang berlaku antara kami, cuma Fiq akui memang sudah lama tak menghubungi Abang Amy. Kali terakhir kami berjumpa pada Hari Raya tahun lalu. Fiq ada juga menghubunginya, tetapi gagal. Insya-Allah, raya tahun ini, Fiq akan berkunjung ke rumahnya sebab Fiq lebih suka berjumpa sendiri daripada bercakap menerusi telefon,” katanya.

Mengenai aktiviti bulan Ramadan, jejaka dari Sabah ini berkata, dia menjalani kehidupannya seperti biasa. Malah masih memenuhi undangan persembahan jika ada yang menawarkan.

“Pada saya, puasa atau tidak, saya tetap bekerja seperti biasa. Walau bagaimanapun, kalau boleh saya tak mahu ketinggalan untuk menunaikan tarawih. Kalau bab berbuka puasa, sebagai orang bujang, saya tidak begitu cerewet, makan apa yang ada saja,” katanya yang merancang untuk pulang berhari raya lebih awal ke kampung halaman.

Black puja ramai wanita

SINGLE terbarunya, Sofea Jane semakin hangat mendapat tempat di kalangan peminat. Bagaimanapun, bukan Sofea Jane saja yang dipuja Black, sebaliknya ada wanita lain yang turut bertakhta di hati jejaka berkulit hitam manis ini. Wah! barangkali ramai yang terkejut mendengar perkhabaran ini. Maklumlah, sebelum ini memang ramai yang tahu, Black sudah pun mempunyai kekasih dan perkara itu sudah pun diakuinya.

Bagaimanapun, jangan silap faham, ramai wanita yang bertakhta di hati Black itu bukanlah kekasihnya, tetapi beberapa nama yang diabadikan dalam album terbaru yang bakal berada di pasaran selepas Aidilfitri.

“Untuk album ini nanti, memang saya akan menyanyikan lagu yang judulnya menggunakan wanita. Idea ini diberikan syarikat rakaman sendiri yang ingin melihat kelainan dalam album ini. Selain daripada Sofea Jane, lagu lain ialah Gina, Natalia dan juga lagu bonus, Aku Rindu Sayang Kamu.

“Sebaik saja diberitahu yang kebanyakan lagu saya nanti memuja kaum wanita, saya sendiri rasa teruja kerana ia memang berlainan sekali,” kata pemilik nama penuh Hanifah Mohd Hanafiah

Selain menyanyi, bekas juara Mentor musim ketiga ini juga kini bergelar pelakon. Hasil usahanya itu bakal disaksikan sempena Hari Raya nanti
“Saya bakal muncul dengan program berbentuk dokumentari drama berjudul Sebenarnya Black pada Aidilfitri nanti. Drama itu menceritakan kisah saya sebelum bergelar artis hinggalah sekarang. Ia juga memaparkan kisah sebenar siapa saya dari kaca mata keluarga dan rakan terdekat. Dalam drama ini juga ada sedikit kejutan apabila perkara mengenai diri saya yang belum pernah dikeluarkan dalam mana-mana media turut dipaparkan. Jadi saya harap, peminat takkan melepaskan peluang untuk menyaksikan program ini,” pesan Black.

Sempena kedatangan Ramadan kali ini, Black akan berniaga di Bazaar Ramadan di Pantai Dalam, berhampiran rumahnya. Jelasnya, saban tahun, dia tidak pernah ketinggalan untuk sama-sama berniaga pada bulan mulia itu.

Hafiz rakam lagu raya

BIARPUN lagu raya lama masih tetap menjadi pilihan peminat, namun rakaman lagu raya oleh artis baru tetap dilakukan, bagi mewarnai lagi suasana sambutan Aidilfitri. Hafiz AF ialah antara generasi baru yang bertuah kerana turut mempunyai lagu Hari Rayanya sendiri.

“Untuk album raya ini, saya merakamkan lagu secara kolaborasi antara artis dari AESB, Monkey Bone dan juga penyampai radio Hot FM. Ia projek khas Hot FM dan mereka meminta kami untuk bersama-sama menyumbangkan suara. Dalam album ini saya menyanyikan dua lagu dengan satu daripadanya ialah lagu ketuhanan hasil ciptaan komposer Rudy.

“Pengalaman merakamkan lagu Hanya Kerana Cinta memang menyeronokkan. Ia pengalaman pertama saya merakamkan lagu bersama penyampai Hot FM seperti Tini dan Anne. Sewaktu dalam studio, mereka asyik nak buat lawak saja menyebabkan kami cepat mesra dan senang nak menghabiskan rakaman,” imbas Hafiz yang turut merakamkan lagu itu bersama pemenang tempat kedua Akademi Fantasia musim kelapan, Aril.

Ditanya rutin hidupnya pada bulan puasa, dalam nada sedih Hafiz berkata, tahun ini ialah tahun kedua dia menyambut ketibaan bulan Ramadan tanpa keluarga.
“Memanglah rasa sedih tapi nak buat macam mana, saya masih ada kerja yang perlu diselesaikan di sini. Saya masih perlu mempromosikan album raya dan menghadiri majlis berbuka atau sesi fotografi yang sudah pun diatur pihak AESB.

“Bagaimanapun saya ada cara untuk ubat kerinduan itu, dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat. Saya menganggap mereka sebagai keluarga sendiri. Kalau bukan bulan puasa pun, Hafiz memang suka mengadakan aktiviti bersama peminat dan antara aktiviti yang kami lakukan ialah bermain boling dan menonton wayang.

Hafiz akan pulang ke Kuching, Sarawak, 10 hari sebelum 1 Syawal menjelma.

Sedih saat Ramadan berakhir

SETIAP kali mendengar pengumuman sama ada anak bulan kelihatan atau tidak, ada perasaan sayu bersarang dalam hati anak muda ini. Bagi Nashrin, pemenang tempat kedua program My Star musim kedua, perasaan itu timbul terutama apabila mendengar pengumuman disampaikan Penyimpan Mohor-Mohor Besar di kaca TV.

Katanya, paling menyedihkan apabila dia terpaksa berpisah dengan bulan yang penuh keberkatan itu.

“Selalunya apabila selepas menunaikan tarawih, saya akan lepak dengan kawan-kawan. Bagaimanapun, apabila tiba pada penghujung, saya akan bergegas pulang ke rumah untuk mendengar pengumuman raya. Apabila diumumkan esoknya adalah Hari Raya, tiba-tiba saya akan jadi sayu. Kalau boleh saya mahu Ramadan jangan cepat berakhir kerana kita sendiri tidak tahu apakah tahun hadapan kita akan bertemu lagi dengannya,” ujar jejaka berasal dari Pulau Pinang ini.

Bakal muncul dengan album sulung selepas Aidilfitri, Nashrin mengakui agak berdebar menanti sambutan peminat terhadap buah tangan terbarunya itu. Namun, dia yakin albumnya mempunyai rempah ratus yang cukup untuk menarik perhatian peminat.

“Walaupun senario industri muzik kali ini lebih ke arah muzik rock dan juga indie, namun saya yakin, mampu menempatkan diri bersama mereka kerana dalam album ini ia mengandungi pelbagai genre lagu,”ceritanya yang kini berulang alik dari Penang ke Kuala lumpur semata-mata untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: