
KUALA LUMPUR - Syarikat-syarikat pinjaman wang berlesen serta koperasi kini dilihat ligat mempromosikan pinjaman peribadi mereka kepada orang ramai sempena bulan Ramadan dan jualan mega yang berlangsung ketika ini.
Slogan seperti 'Jangan ketinggalan, promosi pinjaman peribadi kami - Ramadan Special' yang menawarkan kadar faedah rendah disebar menerusi pelbagai cara termasuk di Internet.
Promosi serupa turut disertai sektor perbankan yang menggunakan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan media massa untuk memberitahu pelanggan tentang pinjaman kecil mereka.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, ramai yang telah terpikat akhirnya terperangkap dengan hutang setiap kali musim perayaan.
"Daripada apa yang kita perhatikan memang ramai penjawat awam terlibat dengan hutang, tambahan pula pada musim perayaan. Bila ditolak segala hutang, wang gaji yang tinggal tidak sampai 40 peratus," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ramai penjawat awam akan bertindak serupa tahun ini memandangkan Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 10 September iaitu hampir dua minggu sebelum gaji yang seterusnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: