Saturday, August 7, 2010

Pos Malaysia rancang perkenal skim francais

pix_gal0
Usaha perkukuh cabang perniagaan kembali jana untung

POS Malaysia Bhd bercadang memperkenalkan skim francais pejabat pos perkhidmatan penuh bermula pertengahan tahun depan dalam usaha memperkukuhkan cabang perniagaan runcitnya supaya kembali menjana keuntungan.Ketua Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar, berkata menerusi skim itu francaisi boleh menjalankan semua aktiviti seperti dilaksanakan pejabat pos biasa termasuk perkhidmatan pos, bayaran bil dan lain-lain.“Kami mahu membentuk situasi menang-menang antara kedua-dua pihak, justeru skim dikaji membabitkan keseluruhan aspek seperti lokasi dan potensi perniagaan pejabat pos.

“Kami sedang membuat kajian supaya skim berkenaan berjaya. Ia dibuktikan oleh model francais seperti dilaksanakan beberapa syarikat pos antarabangsa,” katanya dalam satu temu bual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Syed Faisal berkata, model francais, diguna pakai syarikat pos luar negara seperti New Zealand Post dan Deutsche Post, Jerman, berjaya membantu syarikat itu memulihkan kembali perniagaan runcit masing-masing.

“Hampir semua syarikat pos dunia kini berdepan penurunan dari segi hasil dan mencatatkan kerugian dalam perniagaan runcit.
“Justeru, model francais dilihat cara berkesan menangani margin kos yang tinggi dalam mengendalikan perniagaan itu. Dengan menggunakan model francais, kami boleh memindahkan kos tetap kepada francaisi dan hanya perlu mengendalikan kos pelbagai,” katanya.

Syed Faisal berkata, berdasarkan kedudukan semasa, 30 peratus daripada 700 cawangan pejabat pos yang dikendalikannya mencatat kerugian dan angka itu lebih tinggi jika termasuk kos sokongan iaitu sebanyak 60 peratus cawangan yang rugi.

Berikutan itu, katanya, Pos Malaysia sedang giat berusaha untuk memastikan rangkaian pejabat pos yang dikendalikannya menyediakan lebih banyak perkhidmatan yang memberi margin keuntungan tinggi seperti aktiviti perbankan asas, penjualan unit saham amanah dan insurans.

Syed Faisal menjelaskan, dalam usaha untuk mengurangkan perkhidmatan kaunter yang memiliki kos tinggi, syarikat kini memperkenalkan perkhidmatan Mesin Automatik Pos (PAM) yang mempunyai fungsi perkhidmatan pos asas.

Katanya, Pos Malaysia kini mengendalikan tiga PAM dan telah menempah 13 lagi mesin sedemikian.

Cabang perniagaan runcit Pos Malaysia kini menyumbang 18 peratus kepada pendapatan syarikat, lebih kecil berbanding dua lagi perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan penghantaran surat dan kurier yang masing-masing menyumbang 60 dan 22 peratus kepada pendapatannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: