Friday, August 6, 2010

PFM tiada bukti - Finas


PENGERUSI Finas, Mohamed Mohd. Daud (dua dari kiri) mewakili Finas pada sidang media baru-baru ini bagi menjelaskan isu status surat Persatuan Penerbit Filem Malaysia .


PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) pada 20 Julai lalu telah mengadakan sidang media bagi membantah keras pelantikan penerbit filem popular, David Teo dan pengarah, Ahmad Idham sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Kata PFM, pemilihan Ahmad Idham dan David yang masih aktif dalam industri perfileman menimbulkan konflik kepentingan diri. Memorandum telah dihantar kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK), Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Disebabkan tidak mahu masalah itu berlanjutan KPPK menerusi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Mohd. Daud memberikan penjelasan.

Dalam sidang media yang berlangsung di Finas, Hulu Klang, Selangor pada 3 Ogos lalu, Mohamed yang juga merangkap Pengerusi Finas menjawab persoalan berikut:

Apakah status surat yang dihantar oleh PFM kepada kementerian?

Bantahan Ahmad Idham dan David sebagai ahli perniagaan itu sebenarnya bukan isu kerana di bawah Akta Finas, Seksyen 34 (A), menteri mempunyai bidang kuasa untuk memilih ahli lembaga Finas tanpa boleh dipersoalkan. Maka, sebagai Pengerusi Finas, saya sudah menjawab surat itu hari ini (3 Ogos) dengan menyatakan tidak wujud sebarang kepentingan diri dengan pemilihan David dan Ahmad Idham.

Jika akta itu sudah tertulis sejak tahun 1981 sebelum dipinda pada tahun 1984 mengapa masih wujud masalah itu?

Setiap tuduhan yang dikatakan oleh PFM tidak ada buktinya. Jadi kalau mereka ada benda yang mahu diusulkan, mereka perlu menyediakan bukti. Apa yang penting sekarang bukannya isu pelantikan siapa sebagai ahli lembaga tetapi bagaimana untuk memajukan industri perfileman kepada persada antarabangsa.

Bagi PFM, David dan Ahmad Idham mempunyai kelebihan sebagai Ahli Lembaga? Itu konflik kepentingan diri yang dimaksudkan.

Memang dalam akta Seksyen 14 (1) ada menyatakan ahli tidak boleh mempunyai perniagaan tetapi mereka telah lupa akan Seksyen 34 (A). Lagipun dalam ahli perlembagaan, kami mempunyai 11 orang ahli. Bukannya mereka berdua boleh buat keputusan sesuka hati. Mereka diperlukan menerusi Seksyen 4 (B), apabila Menteri akan memilih empat orang ahli yang mempunyai kaitan dengan dunia perfileman untuk memajukan industri.

Jadi adakah konflik kepentingan itu dilihat sebagai persepsi sesetengah pihak sahaja?

David akan bertugas buat tahun ketiga dan Ahmad Idham pula dilanjutkan untuk tahun kedua. Sepanjang perlantikan, tidak pernah wujud sebarang isu konflik kepentingan diri. Pengalaman dan kepakaran mereka dalam dunia filem amat diperlukan. Mereka hanya menerima elaun RM500 sebulan.

Mereka juga tidak boleh langsung membuat pinjaman Finas. Jika dikirakan, mereka yang rugi sebenarnya. Kalau isu Ahmad Idham mendapat pinjaman, itu sebelum dia dilantik sebagai ahli. Pasal poster filem David menguasai ruang Finas, itu kerana dia menerbitkan banyak filem setahun. Jadi tidak ada isu konflik kepentingan yang wujud di sini.

Bagaimana jika pihak PFM tidak menerima penjelasan KPPK?

Itu adalah apa yang termaktub dalam Akta Finas. Maka, mereka terpaksa menerima penjelasan yang diberikan. Harap pada masa akan datang semua penggiat filem boleh membaca dahulu semua akta secara keseluruhan supaya tidak terlepas pandang. Kami juga sentiasa terbuka untuk sebarang rundingan dan akan berjumpa dengan PFM jika masih ada ketidakpuasan.

Mengapa baru sekarang dibuat kenyataan sedangkan memorandum telah dihantar pada April lalu? Apa reaksi menteri terhadap pergolakan itu?

Persoalan itu timbul semasa mesyuarat agung PFM. Lagipun bagi pihak KPPK, ia bukan satu isu. Jadi KPPK tidak perlu menjawab semua itu. Tapi disebabkan sidang media pada 20 Julai lalu, KPPK perlu menjelaskan keadaan sebenar. Menteri berasa sedih dan dukacita kerana penggiat seni sendiri tidak pernah mengambil tahu mengenai akta-akta Finas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: