Friday, August 6, 2010

Penoreh degil

KUALA LUMPUR: Tak makan saman. Itu ungkapan sesuai bagi pihak tidak bertanggungjawab yang masih menoreh getah secara haram di Taman Arboretum, Bukit Kiara, berdekatan Taman Tun Dr Ismail di sini, meskipun pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa beberapa bulan lalu.

CURI...hasil getah yang ditoreh secara haram di Taman Arboretum, Bukit Kiara.
CURI...hasil getah yang ditoreh secara haram di Taman Arboretum, Bukit Kiara.
Tinjauan Metroplus di taman berkenaan baru-baru ini, mendapati kesan torehan baru pada batang pokok getah di kiri dan kanan laluan pejalan kaki manakala bekas susu getah dibiarkan bertaburan di atas tanah.


Turut kelihatan beberapa pondok kecil yang didirikan mereka bagi mengumpul getah sebelum dijual kepada pemborong.


Difahamkan, polis sudah menjalankan operasi menghentikan kegiatan itu selepas pendedahan oleh akhbar ini, tiga bulan lalu.


Dalam operasi selama dua hari itu, polis menahan 21 pendatang asing warga Indonesia yang dipercayai diupah mencuri getah di kawasan terbabit.


Namun, kini selepas beberapa bulan, kegiatan itu kembali aktif, menunjukkan pihak terbabit tidak serik tindakan pihak berkuasa.


Lebih membimbangkan, kehadiran warga asing menimbulkan keresahan di kalangan penduduk sekitar yang menjadikan taman awam berkenaan sebagai tempat melakukan riadah.


Malah, mereka mendakwa keselamatan kenderaan yang diletakkan di pintu utama taman itu terancam berikutan terdapat beberapa kes pecah kenderaan yang dilaporkan berlaku sejak sebulan lalu.


Penduduk, Tan Hai Liang, 36, berkata mereka kurang selesa dengan kehadiran warga asing yang sering berpeleseran di sekitar taman berkenaan, biasanya pada lewat petang atau malam.


“Saya dan isteri selalu melakukan riadah, namun sejak kehadiran warga asing saya tidak berani berkunjung ke taman berkenaan,” katanya.


Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Bahri, 33, mendakwa pernah menerima ugutan tauke ‘haram’ yang kononnya menjaga kawasan itu bahawa dia akan dicederakan sekiranya mendedahkan aktiviti mereka kepada pihak berkuasa.“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menghentikan kegiatan mereka,” katanya.


Metroplus dimaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menyerahkan urusan pentadbiran taman berkenaan kepada Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkuat kuasa 1 Ogos lalu.


Sementara itu, sumber daripada Jabatan Landskap Negara berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kegiatan itu dan akan bertindak secepat mungkin bagi membanteras aktiviti berkenaan.


“Kami menubuhkan jawatankuasa keselamatan untuk membuat pemantauan berkala ke atas taman itu, bagaimanapun selepas tindakan diambil, mereka masih berdegil dan meneruskan aktiviti terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihak Jabatan Landskap akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti DBKL dan polis untuk membuat operasi pencegahan di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: