Sunday, August 8, 2010

Peniaga wajib senarai harga produk


PARA peniaga kini perlu mematuhi peraturan baru yang lebih ketat untuk mengadakan pesta jualan murah.


BERA – Para peniaga yang mahu menganjurkan pesta jualan murah sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi diwajibkan menyenaraikan setiap produk, harga asal dan harga jualan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat itu merupakan peraturan baru yang perlu disediakan oleh para peniaga bagi memudahkan pihak berkuasa membuat perbandingan harga.

Sebelum ini, peniaga yang mahu mengadakan jualan murah hanya perlu memberi notis kepada kementerian.

“Selepas ini, jika peniaga mahu menjual 1,000 produk yang membabitkan jualan murah, mereka perlu menyenaraikan setiap produk itu dengan menyatakan harga asal dan harga selepas potongan dibuat.

“Melalui cara ini, perbandingan harga akan lebih mudah dikenal pasti dan tindakan ini dilakukan oleh pihak kementerian supaya dapat mengelak sebarang kes penipuan kepada orang ramai semasa jualan murah diadakan,” katanya selepas merasmikan Fiesta Bera 2010 di Padang Majlis Daerah Bera di sini semalam.

Menurut Ismail Sabri, terdapat kes-kes tertentu segelintir peniaga cuba mengambil kesempatan menjual barangan yang dikatakan baru di pasaran pada harga murah sedangkan ia adalah stok lama dalam simpanan mereka.

Katanya, kementerian akan menyerahkan peraturan baru tersebut kepada pihak Jabatan Peguam Negara pada hari Selasa ini untuk dilulus dan dikuatkuasakan.

Beliau berkata, mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Di bawah akta berkenaan, jelasnya, peniaga yang didakwa dan didapati bersalah membuat penipuan jualan murah akan didenda sebanyak RM100,000 (individu) dan RM250,000 (syarikat) atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: