Wednesday, August 11, 2010

Pengalaman media di kem PLKN


PESERTA memulakan aktiviti mereka dengan melakukan senaman.


PELUANG merasai sendiri rutin harian sebagai seorang wira dan wirawati Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama dua hari satu malam di Kem PLKN Temasya Rimba Templer Park, Rawang, baru-baru ini pasti akan kekal dalam ingatan.

Biarpun tempoh itu hanya seketika, semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh 177 wira dan wirawati Kumpulan 3, Siri 7/2010 itu tetap dikagumi.

Selain itu, kemesraan 40 pegawai, staf dan tenaga pengajar di kem itu ketika menyambut kedatangan 11 wakil media sempena Program Hari Bersama Media 2010 juga membuatkan peserta tidak sabar untuk memulakan aktiviti bersama mereka.

Tambahan pula, PLKN kali ini turut melibatkan pelatih yang telah bekerja dan tamat pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

Latar belakang

Menyingkap kembali secara ringkas sejarah penubuhannya pada 16 Oktober 2003, PLKN diletakkan di bawah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) iaitu salah satu jabatan dalam Kementerian Pertahanan.

Visi penubuhannya adalah menjadi organisasi yang dapat melahirkan bangsa Malaysia terunggul manakala misinya pula bagi memastikan PLKN dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Maka, tidak hairanlah sekiranya penambahbaikan program itu sentiasa dilakukan pada setiap tahun demi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai.

Dengan menekankan empat modul utama termasuk fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti, tidak timbul keraguan bahawa program itu sememangnya mampu melahirkan generasi unggul yang juga modal insan terbaik pada masa hadapan.

Cabaran hari pertama sebaik mendaftarkan diri seawal pukul 7.30, wakil media berkumpul untuk mendengar taklimat berkaitan aktiviti yang akan dilakukan sepanjang tempoh dua hari satu malam itu daripada Komandan Kem, Mejar Idris Sham dan Timbalan Ketua Latihan (TKL), R. Selvarajah.

Sejurus taklimat tersebut selesai, mereka dikehendaki mendapatkan peralatan logistik termasuk' pakaian celoreng' untuk memulakan aktiviti iaitu 'flying fox' dan berakit.

Rasa teruja bercampur risau tatkala melakukan aktiviti-aktiviti berkenaan kerana sudah lama tidak terlibat dalam kegiatan bercorak fizikal tambahan pula bakal 'bertarung' dengan para wira dan wirawati yang telah didedahkan secara langsung aktiviti sedemikian.

Bagaimanapun, perasaan itu beransur hilang dek dibuai keseronokan dan keterujaan yang amat sangat ketika melakukannya.

Selain terlibat dengan aktiviti fizikal, mereka juga berpeluang menyertai dan melihat sendiri bagaimana satu-satu latihan modul 'multiskill' itu diterapkan di kelas PLKN.

Ternyata, proses pengajaran dan pembelajaran antara wira dan wirawati serta tenaga pengajar di sini berjalan lancar dan kami juga terhibur dengan pelbagai gelagat dan kerenah mereka.

Pada sebelah malamnya pula, wakil media diminta membuat persembahan berselang-seli dengan persembahan oleh tenaga pengajar serta wira dan wirawati yang rata-ratanya berbakat besar terutama dalam bidang nyanyian.

Aktiviti hari pertama yang begitu padat itu akhirnya tamat selepas pukul 11 malam dan wakil media terutamanya kelihatan lesu sebaik majlis itu berakhir.

Hari kedua di PLKN

Keesokan paginya, ketika masih enak dibuai mimpi, peserta dikejutkan dengan suara jurulatih memberi arahan untuk bangun dan bersiap sebelum berkumpul di padang latihan bagi memulakan senaman.

Sedikit kelonggaran diberikan kepada wakil media memandangkan belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan keadaan di situ.

Bagaimanapun, kami cuba sedaya upaya menggagahi diri untuk bangun dan bersiap sebelum menyertai wira dan wirawati yang sedia menanti kedatangan di padang latihan itu.

Ketika sampai di padang itu, Ketua Jurulatih Fizikal, Mustaffa Mohd. Noor serta sebahagian besar wira dan wirawati sudahpun berkumpul dan telah memulakan latihan regangan sebelum membuat senaman pagi.

Senaman pagi itu sememangnya sedikit lasak bagi mereka yang jarang melibatkan diri dengan aktiviti kecergasan kerana ia melibatkan semua pergerakan termasuk berlari, melompat, tekan-tubi dan sebagainya.

Program PLKN Bersama Media itu kemudiannya berakhir sekitar pukul 10 pagi dengan majlis penyampaian sijil penyertaan dan ucapan daripada wakil media.

Sekalipun berpeluang merasai pengalaman sebagai sebahagian daripada warga PLKN selama dua hari satu malam sahaja, dapat dibuat kesimpulan bahawa program itu benar-benar bermanfaat dan perlu diteruskan dengan sedikit penambahbaikan pada setiap aspek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: