![]() |
| Suhana Abu Bakar (kanan) mengharapkan cadangan cuti bersalin 90 hari dilaksanakan. |
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2010 pada Mei lalu telah melancarkan usaha mengumpul satu juta tandatangan menyokong kempen menambah cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.
Kempen 90 Hari Untuk Ibu itu memberi gambaran bahawa orang ramai menyokong perubahan cuti tersebut.
Bagi Roselindawati Kamarul Ariffin, 32, seorang penolong pengurus bank di ibu negara yang juga ibu kepada seorang cahaya mata berusia lima bulan berkata, cuti 60 hari termasuk hari minggu dan cuti am memang tidak mencukupi.
"Bila dikira balik berapa hari saja peruntukkan untuk ibu tersebut menyegarkan diri sebelum kembali bekerja.
"Saya melihat cuti ini sebagai satu pelaburan jangka panjang kerana apabila ibu bersedia fizikal dan mental untuk bekerja maka mereka akan lebih produktif.
"Kita perlu ingat, bayi yang kecil sering terdedah kepada masalah kesihatan seperti jangkitan kuman batuk, selesema dan itu biasa berlaku dalam tempoh awal kelahiran," katanya.
Menurut Roselindawati, jika ibu perlu bekerja selepas dua bulan bersalin, mereka juga akan sering mengambil cuti kerana perlu menjaga bayi yang tidak sihat, ia tentu akan menjejaskan prestasi kerja.
"Saya pernah membaca tentang kerajaan Perancis yang memberikan cuti bersalin selama enam bulan, malah ibu-ibu tersebut turut diberikan pembantu untuk menjaga bayi.
"Bagi saya usaha ini amat murni memandangkan ibu bekerjaya juga adalah insan yang melahirkan serta mengembangkan zuriat di samping menjadi aset penting untuk organisasi mereka juga.
"Pengalaman saya sendiri melahirkan bayi pada usia 35 minggu memerlukan penjagaan khusus. Cuti dua bulan memang tidak mencukupi memandangkan bayi saya perlu perhatian dan susuan eksklusif sebanyak mungkin," ujarnya.
Jadi katanya, penambahan cuti kepada 90 hari adalah sesuatu yang amat baik dan boleh dimanfaatkan oleh bakal ibu jika ia berjaya dilaksanakan kelak.
Dia juga berharap agar kerajaan berjaya mengubah polisi tersebut kerana yakin kesan jangka panjang yang baik boleh diperolehi hasil daripada cuti yang lebih lama untuk seorang ibu yang baru bersalin.
Malah katanya, pengalaman seorang ibu ketika pertama kali meninggalkan bayi kepada pengasuh di pusat jagaan memang begitu menyentuh hati.
"Saya sendiri menitis air mata ketika hari pertama meninggalkan bayi saya di pusat jagaan. Bayangkan usia bayi yang baru mencecah dua bulan terpaksa ditinggalkan di pusat jagaan untuk dijaga orang lain dan bukan ibu sendiri.
"Saya berpendapat adalah tidak adil kepada bayi itu sendiri apabila tidak mendapat jagaan ibunya malah terpaksa pula diberikan kepada orang lain yang tidak mungkin dapat memberikan jagaan dengan penuh kasih sayang seperti ibunya.
"Justeru saya amat berharap agar cadangan cuti 90 hari itu dapat dilaksanakan demi kesihatan fizikal dan mental ibu dan juga bayi," katanya.
Sementara itu sebagai ibu yang baru melahirkan cahaya mata ketiga kira-kira sebulan lalu, Suhana Abu Bakar, 31, mengakui cabaran menjadi seorang ibu yang mempunya anak kecil memang cukup besar.
Selain perlu menyediakan mental dan fizikal untuk memberikan yang terbaik untuk bayinya, pada masa sama dia perlu bersedia seratus peratus untuk menghadapi tugas-tugas di tempat kerja.
"Saya memberikan susuan ibu secara eksklusif kepada anak kedua dan bercadang untuk meneruskan kepada bayi yang baru saya lahirkan ini.
"Tempoh dua bulan tidak mencukupi bagi saya menyegarkan diri. Banyak yang perlu dikorbankan dan jika cadangan tempoh 90 cuti bersalin terlaksana saya pasti ramai ibu akan mendapat manfaatnya," kata pegawai insurans itu.
Suhana juga bersetuju bahawa tempoh 90 hari merupakan satu pelaburan yang amat berbaloi kerana lebih lama tempoh ibu dengan bayi maka 'ikatan' yang lebih baik dapat dibina antara ibu dan anak tersebut.
"Bukan mudah menjadi ibu. Mengandung, bersalin, menjaga dan menyusu itu semua memerlukan kekuatan dalaman dan luaran dari insan yang bergelar wanita," katanya.
Justeru katanya, pihak yang prihatin sepatutnya menghargai golongan ibu kerana pengorbanan mereka terlalu besar jika dibandingkan dengan peruntukkan tambahan cuti kepada 90 hari itu.

AM XAVI GERAD JUDE, IF YOU NEED A LOAN CONTACT US ON THIS EMAIL: xavigeradloanfirm@yahoo.com
ReplyDelete