Tuesday, August 10, 2010

Pekin gembira Ayu bakal berkahwin



Berita Ayu Raudhah dan Zaquan Adha akan mengikat tali pertunangan, seterusnya melangsungkan ikatan perkahwinan bukan omong kosong lagi. Malah berita gembira itu diakui kedua-dua belah pihak yang akan mengumumkan detik bahagia itu dalam masa terdekat.

Namun seperti diketahui umum, sebelum Ayu menyulam cinta dengan pemain bola sepak itu, adik kepada pelakon Rozita Che Wan ini terlebih dahulu pernah menjadi kekasih hati Pekin.

Sayangnya hubungan yang terjalin sejak 2003 akhirnya putus di tengah jalan. Walau bagaimanapun baik Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, dan Ayu sendiri, tiada sebab untuk mereka bermusuhan sebaliknya melebih senang menjadi sahabat.

Malah Pekin yang ditemui baru-baru ini mengakui telah lama ‘melipat’ kisah cinta mereka dan memulakan kehidupan baru.

“Hubungan cinta kami telah lama berakhir, bagaimana pun baik saya mahu pun Ayu tidak menyimpan dendam antara satu sama lain. Sehingga kini saya masih berhubung baik dengan Ayu dan lebih senang menjadi sahabatnya sahaja,” katanya yang ditemui selepas sidang media Apokalips, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai reaksinya tentang berita perkahwinan Ayu Raudhah, pelakon berusia 29 tahun ini mengaku gembira mengetahui sahabatnya itu akan mendirikan masjid tidak lama lagi.

“Apabila dapat tahu Ayu akan bertunang, saya tidak merasa cemburu ataupun dengki dengan berita itu. Sejujurnya saya gembira apabila mengetahui dia akan bertunang dengan pilihan hatinya. Tentu keputusan itu adalah yang terbaik buat dia.

“Saya doakan yang terbaik buat dia dan berharap hubungannya dan Zaquan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka,” ujarnya yang menganggap perpisahan dengan Ayu sebagai ketentuan Ilahi.

Pekin juga mengakui dia telah menemui pengganti Ayu tetapi enggan bercerita lanjut mengenai gadis yang berjaya menambat hatinya itu.

“Pengalaman lalu banyak mengajar saya. Cukuplah saya katakan saya telah menemui pengganti Ayu, tetapi siapa dia, biarlah menjadi rahsia.

“Buat masa ini saya belum ada perancangan untuk berkahwin kerana perlu menamatkan pengajian saya di Institut Seni Indonesia (ISI), Jogjakarta dalam bidang lakonan perfileman, dan teater terlebih dahulu,” katanya.

Sepanjang tempoh bergelar pelakon, Pekin dan Ayu pernah bersama berlakon dalam beberapa drama antaranya Manjalara, Sutera Maya, Jamilah, Cinta Terhalang serta yang terbaru filem pendek berjudul Aku Dan Sesuatu.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: