| "Saya lihat sekarang sudah ramai yang menjadi pendakwah dan mengajak masyarakat untuk kebaikan. Malangnya masih terdapat segolongan yang mahu muliakan Islam katanya, namun dengan tayangan yang buruk. Kalau muliakan Islam begitu, akan memburukkan nama Islam itu sendiri.
"Pendakwah harus pandai mencari jalan lain lebih-lebih lagi orang yang terlibat dalam industri agar apa yang dipapar tidak disalah erti. Pendakwah yang bijak akan gunakan elemen lain untuk gambarkan keindahan Islam dan bukannya makin memburukkan nama Islam. Itu maknanya mereka gagal. "Sebetulnya berdakwah bukan hanya pada verbal, namun visual sangat penting. Perkataan yang dipilih haruslah tahu bagaimana untuk diekspresikan agar khalayak mahu berfikir dan memahami apa yang sedang berlaku. Janganlah disuap terus atau dicerita secara menyeluruh. Buatkan khalayak mahu berfikir dan itu akan menimbulkan kesedaran dalam nuraninya," tutur Alex Komang penuh kiasan sewaktu pertemuan ketika majlis pelancaran Telemovie Kabus di Kuala Lumpur.
Alex turut meluahkan kekecewaan terhadap mutu produk industri hiburan sama ada di Malaysia mahupun Indonesia. Bagi Pelakon Lelaki Terbaik Indonesia ini banyak filem atau drama yang tidak membawa sebarang erti mendapat sambutan yang begitu hangat sehinggakan banyak produser berebut menghasilkan filem sebegini.
"Apa yang menjadi masalah kini ramai yang berlakon namun tak tahu apa sebenarnya yang dilakukan. Yang tidak berbakat diangkat menerajui filem. Memang ada yang bagus, namun lebih ramai tidak berbakat. Kalau pelakon berbakat besar, walau diberi peranan kecil sekalipun tetap akan hebat. Hanya yang benar-benar cintakan seni akan lakukannya dengan bagus tanpa mengharap akan popular.
"Popular tak penting untuk pelakon. Itu adalah akibat. Kehidupan akan lebih banyak diselubungi kepura-puraan. Kalau kamu pura-pura happy, pasti tidak akan happy. Menipu orang lain bererti menipu diri kita. Pura-pura happy untuk tutup kesengsaraan akan merana. Tapi sempurnanya manusia pada saat dia tidak sempurna. Saya hanya ingin merdeka. "Sulit rasanya bila dikenali dan diberi pendedahan yang sangat besar ketika mula berumur 24 tahun. Saya takut memilih kawan kerana mereka baik kerana saya adalah Alex Komang. Bukannya ikhlas," ujar Alex. 
Sanggup Mati Demi Cinta
Kedengaran sangat klise dan mungkin ramai di kalangan anda akan mengatakan demikian demi cintakan kekasih hati. Tapi bagi Alex, cintanya hanya kepada seni lakonan. Filem menjadikannya sangat komited dalam perjuangan dan gembira dalam pencarian.
"Saya pilih hati berbanding fikiran bila buat keputusan dan akibatnya keluarga saya sisihkan demi lakonan kerana mereka tak sukakan keputusan saya untuk berlakon. Namun semuanya kembali pulih, saya faham ibu bapa mana yang tidak gusar jika anak masuk industri hiburan ini.
"Hikmahnya saya lebih berhati-hati memilih karya agar mendatangkan manfaat kepada orang lain. Pastinya karektor orang gila tidak menarik perhatian kerana rasanya pelik. Apa yang bagus mungkin karektor jiwa yang rapuh. Kalau setakat untuk menghiburkan, saya tak akan lakukan. Saya bukan penghibur, saya adalah pelakon. Filem menjadi bukti saya pernah wujud di muka bumi ini. Sebab itulah filem perlu berbicara dan harus encourage orang untuk lakukan sesuatu seperti karya Laskar Pelangi.
"Saya mahu berlakon sampai saat terakhir. Mungkin dua jam sebelum saya mati, saya masih sedang berlakon," katanya yang fobia dengan ular sawa.
Sesungguhnya banyak kata-kata Alex membuatkan saya kagum dengan tahap intelektual yang ada pada pemilik nama Syaiful Nuha ini. Seorang pemikir yang dalam dan kata-katanya perlu diteroka dan diapresiasi. Alex datang ke Malaysia untuk pelancaran Telemovie Kabus lakonannya bersama Eman Manan sempena sambutan Aidilfitri nanti. Saksikannya di Astro Oasis pada 12 September akan datang pukul 2.30 petang.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: