Saturday, August 7, 2010

Merdeka Millennium Endurance


Format perlumbaan tengah malam yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada peminat sukan pemotoran tempatan dan luar negara.


TENGAH malam ini (Sabtu), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal digegarkan dengan deruman jentera-jentera garang sebaik sahaja bermulanya perlumbaan lasak 12 jam Merdeka Millennium Endurance Race (MMER) edisi ke-11.

Acara yang diadakan bersempena dengan Bulan Kemerdekaan sejak 2000 dilihat sebagai yang paling mencabar dalam sejarah MMER melalui penyertaan pemandu handalan yang pernah mengukir nama di dalam perlumbaan 24 jam LeMans, Nurburgring dan pelbagai siri kejuaraan utama dunia lain.

Antaranya termasuklah Frank Biela, juara lima kali perlumbaan LeMans yang akan bergandingan dengan Marco Werner yang juga jaguh perlumbaan LeMans. Turut mengambil bahagian ialah Daryl O'Young, bekas juara perlumbaan Porsche Carrera Piala Asia dan juara keseluruhan MMER pada 2008.

Saingan diramal hangat dengan pasukan Audi Race Experience Team Joest yang menggunakan jentera Audi R8 LMS. Sebagai pasukan pengeluar (factory works) pertama yang mengambil bahagian, sokongan penuh daripada Audi pasti menghangatkan lagi litar.

Kelebihan yang dimiliki oleh Audi itu juga diakui oleh Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir. Beliau yang mengambil bahagian dalam perlumbaan kali ini dan bekas juara keseluruhan MMER (2007) mengakui pasukan Audi adalah pilihan utama untuk muncul juara.

"Kita bangga dengan penyertaan Audi di dalam MMER. Dari situ kita akan dapat melihat penampilan sebenar sebuah pasukan yang sudah lama bertapak dalam perlumbaan.

"Walaupun Team Joest pernah memenangi LeMans, perlumbaan tetap sengit dengan penyertaan bekas-bekas juara 2007,2008 dan 2009," ujar Mokhzani.

Untuk saingan 2010, pemimpin pasukan Kencana Racing Team itu akan bergandingan dengan Sven Herberger dan Dominik Farnbacher-pemandu handalan dari Jerman, yang baru-baru ini muncul naib juara pada perlumbaan 24 Jam Nurburgring untuk kelas GT2.

Penyertaan antarabangsa termasuklah Peter Kox, Christopher Haase, Richard Lietz, Craig Baird, Matthew Marsh dan para pemandu Super Taikyu Jepun - Tatsuya Kataoka, Nobuteru Taniguchi dan Masataka Yanagida yang merupakan jagoan di pentas sukan lumba kereta antarabangsa.

Tidak kurang gahnya adalah pelumba-pelumba tempatan seperti bekas pemandu F1 negara, Alex Yoong, pemandu ujian Lotus F1 Racing Fairuz Fauzy, pemilik pasukan Meritus Firhat Mokhzani, pemandu GT3 Asia Tunku Hammam Sulong, Eddie Lew, Wong Yew Choong, Keifli Othman, Rizal Ashram Ramli, Farriz Fauzy dan bekas jaguh ekuestrian negara Ashraff Dewal.

"Saya bangga dengan penyertaan nama-nama hebat yang menyertai MMER kali ini. Kita harap dapat memikat lebih ramai pemandu dan pasukan-pasukan endurance utama di dunia," kata Mokhzani.

Pada edisi ke-11 ini, SIC memperkenalkan kelas GT, kelas Sports Production and kelas Touring Production yang menggantikan kelas terbuka, A1 dan A2 yang digunakan tahun lepas.

Bukan sekadar penukaran nama, kategori baru itu turut diseleras dengan syarat yang digunakan oleh perlumbaan 'endurance' utama dunia seperti perlumbaan 24 Jam LeMans, Nurburgring dan Dubai.

Ketika diperkenalkan pada tahun 2000, MMER dirangka untuk menggalakkan penyertaan. Kerana itu, ia tidak menggunakan undang-undang yang ketat sekali gus menyaksikan kereta-kereta seperti Kembara, Kenari dan Bufori mengambil bahagian.

Menurut Mokhzani, walaupun MMER masih jauh daripada standard LeMans dan Nurburgring namun ia sudah menempatkan diri sebagai perlumbaan perdana di rantau Asia.

"Perlumbaan mengikut undang-undang antarabangsa ini memberikan peluang untuk menang yang adil. Sekaligus menaikkan taraf perlumbaan ini setanding dengan perlumbaan di litar lain.

"Selepas 10 tahun MMER kini berkembang menjadi perlumbaan serius untuk pemandu dan pasukan yang serius,"jelas Mokhzani.

Selepas 'perpisahan' jentera dengan kapasiti enjin di bawah 1,900cc daripada MMER, jumlah penyertaan pada tahun ini dikurangkan kepada 36 buah jentera. Yang terbaik di antara terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: