Wednesday, August 11, 2010

Maya, Remy selesa jadi teman



Desas desus perhubungan antara Remy Ishak dan Maya Karin terus diperkatakan walaupun mereka menafikan mempunyai hubungan istimewa.

Lebih memeranjatkan apabila Remy dan Maya dikhabarkan bercuti di Jakarta seperti mana yang dilaporkan seorang penulis dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini.

Kesempatan berjumpa dengan jolokan Hero Malaya oleh Erma Fatima kelmarin merungkai segala cerita yang timbul. Malah Remy dengan tegas menafikan dia bercuti bersama Maya baru-baru ini dan sedang sibuk dengan penggambaran filem di bawah arahan Erma Fatima.

“Saya pun pelik bagaimana cerita ini boleh timbul sedangkan saya ketika itu sedang menjalani penggambaran bersama Kak Erma untuk filem Air Mata Nur Salina dari 28 Julai hingga 6 Ogos lalu di sekitar Kuala Lumpur.

“Mustahillah saya boleh berada di Jakarta pada 1 Ogos itu kerana Kak Erma juga ada bersama saya ketika itu bersama krew produksi yang lain. Kalau tidak percaya, bolehlah bertanyakan sendiri kepada Kak Erma,” katanya yang ditemui selepas sidang media pementasan semula Natrah di Istana Budaya.

Menurut Remy lagi, dia sendiri tidak faham serta tertanya-tanya, apakah tujuan penulis akhbar mingguan itu berbuat begitu.

“Mulanya saya rasa kelakar juga, tapi bila saya fikirkan balik, berita itu betul-betul melampau. Secara tidak langsung sudah terpalit satu cerita tidak benar tentang saya.

“Buat masa ini saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya. Bila timbul cerita busuk seperti ini, secara tidak langsung memberi kesan kepada kerjaya terutamanya pada keluarga saya.

“Bila saya terjun dalam bidang seni, saya sedar risiko sebegini yang harus saya hadapi. Tetapi saya ada keluarga, jadi jika tidak mahu fikirkan tentang perasaan saya, fikirlah perasaan keluarga saya apabila mereka membaca cerita sebegini,” katanya yang kini berasa kerjaya mula kukuh dalam industri.

Ketika ditanya apakah dia benar mempunyai hubungan istimewa, Remy pantas menafikan dan mentakrifkan hubungan mereka tidak lebih daripada teman sekerja.

“Sudah puas saya katakan dan jawapan saya tetap sama. Hubungan saya dan Maya tidak lebih daripada kawan biasa. Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Malah jujur saya katakan sehingga kini saya masih sendiri tanpa cinta,” katanya mengakui cerewet memilih wanita dijadikan isterinya.

Sementara itu, Maya Karin yang ditemui anggun berbaju kurung serta berselendang melahirkan kesalnya terhadap penulis satu akhbar mingguan itu kerana menyebarkan berita tiada sahih itu.

“Saya pun tak tahu apa sebab sumber itu berbuat begitu. Kalau saya berpeluang berjumpa dengannya mungkin saya boleh bertanya serta memberitahu perkara sebenar dan menunjukkan bukti kepadanya.

“Apa pun, kenyataannya tetap tidak berasas, kerana pada 1 Ogos itu saya sedang menjalani penggambaran untuk filem Ombak Rindu arahan Osman Ali di Langkawi.

“Malah Abang Osman sendiri suruh saya pertahankan diri serta meminta mana-mana pihak yang tidak berpuas hati supaya bertanyakan sendiri hal itu kepadanya kerana saya sendiri berada di lokasi bersamanya serta kru yang lain,” katanya tenang.

Maya yang kecewa dengan perkara itu bagaimanapun tidak mahu cepat melatah serta tetap memberikan fokus terhadap penggambaran filem Ombak Rindu itu.

“Perkara ini kalau difikirkan sangat boleh mengganggu kerja, jadi lebih baik saya fokuskan kepada lakonan daripada memikirkan cerita atau gosip sebegini,” katanya yang turut menganggap Remy sebagai teman biasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: