KEKANGAN ekonomi peribadi yang tidak mencukupi selalunya membantutkan kita untuk melancong beberapa negara sekali gus. Namun dengan perancangan teliti, kita boleh merealisasi impian berkenaan.
Dari lapangan terbang, penulis naik bas yang sangat cekap untuk ke Mongkok, di mana hotel sudah ditempah. Kawan yang pernah ke situ menasihati supaya jangan mengambil teksi kerana tambangnya sangat mahal.
Tambang bas memang murah, hanya DHK18 (RM7.50) yang mengambil masa hampir sejam.
Penulis kecewa kerana kunjungan kali ini terkena musim hujan di Hong Kong, malah pada hari pertama pihak kerajaan mengeluarkan amaran 'hujan hitam' yang bermaksud hujan lebat disertai angin kuat. Namun, kembali rasa lega apabila amaran itu ditarik balik kemudian.
Jalan di Hong Kong sangat terhad, menyebabkan kereta api bawah tanah (MTR) banyak membantu.
Anda boleh membuat tempahan hotel melalui Internet tetapi selepas melaluinya sendiri, kebanyakan yang ada di alam siber ketinggalan zaman sedangkan harga sebenar dua atau tiga kali ganda lebih mahal.
Hotel tidak berbintang ada yang mencecah HKD350 (RM140) semalam. Bilik hotel sebesar 2 x 2.5 meter, dengan hanya katil bujang, HKD200 (RM80) semalam.
Penulis difahamkan, memang harga hartanah di Hong Kong terlalu mahal. Hotel murah cuma untuk backpacker dan ada perkhidmatan mengikut jam yang sangat popular.
Berkunjung ke negara bukan Islam perlu buat persediaan awal dengan membawa bekalan makanan seperti mi segera, sambal goreng atau roti. Ini kerana untuk mencari restoran halal bukan senang dan perut memang mudah lapar di negara orang.
Hari kedua, dalam hujan lebat, penulis bertemu restoran India Muslim di lorong belakang berdekatan masjid di Kowloon selepas eksplorasi dengan bantuan MTR.
Menariknya, restoran ini turut memberi perkhidmatan penghantaran ke hotel seluruh Hong Kong tanpa cas penghantaran dan juga kad diskaun untuk kunjungan seterusnya. Nasi beriani ayam dan roti nan berkeju menjadi pilihan walaupun kuah karinya sangat pedas.
Antara agenda wajib singgah di Hong Kong tentulah melawat masjidnya di Jalan Nathan, Kowloon. Masjid besar Kowloon memang tumpuan masyarakat Islam di sana. Penulis sempat melihat kelas pengajian agama dilakukan kepada kanak-kanak yang kebanyakan warga dari India.
Hong Kong dikenali dengan pasar malamnya, Ladies Market yang paling popular dan keadaannya sama seperti Petaling Street. Tawar-menawar menjadi rutin. Bagi peminat gajet teknologi, deretan kedai elektronik sangat banyak bilangannya di Mongkok tetapi apabila membanding harga, elok sekadar mencuci mata saja kerana harganya lebih mahal daripada di negara kita dan tidak berbaloi membelinya.
Hari ketiga hujan belum reda dan selama tiga hari itu penulis merasakan betapa efisiennya MTR di Hong Kong. Ribuan orang menggunakannya setiap minit, tidak pernah ada waktu sunyi kerana penduduk Hong Kong menganggapnya sebagai pengangkutan utama.
Setiap stesen mempunyai banyak laluan keluar untuk kemudahan pengguna. Papan tanda sentiasa disediakan dan jika anda bersedia dengan peta, tidak mungkin sesat! Ada papan tanda tertulis di tangga automatik, 'jangan berlari mengejar kereta api kerana kereta api seterusnya hanya dua minit lagi'.
Namun orang Hong Kong memang sentiasa mengejar masa dan tidak ada yang berjalan berlenggang kangkung seperti kita. Jika lebih lama di sana, penulis pasti akan terikut sama.
Walaupun hujan sepanjang masa, tiga hari di Hong Kong tetap memuaskan hati. Mungkin penulis akan kembali lagi untuk melawat Disneyland pula.
Kegilaan di Hong Kong sekarang ialah menampal manik kristal pada apa saja barangan, termasuk gajet seperti telefon bimbit dan komputer riba.
Walaupun asalnya dilaku sendiri, beli saja kristal pelbagai warna dan tampal sendiri, tetapi banyak kedai kecil menjual barangan yang siap ditampal kristal.
Harganya mengikut jumlah kepadatan kristal dan juga kualiti kristal itu sendiri. Semakin mahal atau banyak kristal yang ditampal, semakin mahallah harganya.
Papan kekunci, permainan kiub, jam dinding, jam tangan, cermin mata, tetikus komputer dan pen antara yang ditampal kristal dan menjadi arah aliran, terutama perempuan.
Jika rajin boleh buat sendiri, namun jika malas, beli saja untuk kepuasan diri.
Bagaimana cara pembelian untuk tujuan berniaga?
ReplyDelete