Thursday, August 12, 2010

Maidam bina dua hotel berharga RM54 juta


KHAZAN (tengah) mendengar penerangan mengenai projek hotel yang bakal dibina di Kuala Terengganu kelmarin.


KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) maju setapak lagi dengan menceburi bidang perhotelan yang diharap memberi pulangan yang lebih baik kepada agensi itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Mazlan Hashim berkata, Maidam dengan kerjasama sektor swasta akan membangunkan dua buah hotel bertaraf sederhana yang melibatkan kos keseluruhan bernilai RM54 juta.

"Kedua-dua hotel itu yang akan dikenali sebagai Hotel Bajet dan Hotel Wakaf terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembinaan Hotel Bajet antara Maidam dan Argon Hotel (Terengganu) Sdn. Bhd. (AHSB) di sini kelmarin.

Majlis itu telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat manakala Maidam diwakili oleh Mazlan dan AHSB oleh Pengarah Urusannya, Abdul Razak Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: