
Buktinya, bulan lalu mereka telah berpindah ke kawasan perumahan teres dua tingkat di Cheras, hasil wang simpanan bersama semenjak mengikat tali pertunangan.
Menurut Lisdawati yang ditemui baru-baru ini, lebih manis lagi impiannya mempunyai teratak sendiri secara kebetulan terlaksana apabila umat Islam sedang menyambut bulan puasa dan akan meraikan hari raya tidak lama lagi.
“Walaupun rumah saya masih belum lengkap dengan peralatan dan perkakas, biarpun bukan rumah banglo, namun kami sekeluarga sangat gembira kerana dapat berpindah ke rumah yang lebih besar berbanding dulu,” katanya yang sebelum ini menetap di unit kondominium.
Tambahnya lagi, kepuasan memiliki rumah baru jelas terasa setelah bersusah payah untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa untuk didiami.
“Bila anak-anak semakin membesar, saya selalu berasa perlunya sebuah rumah yang lebih besar agar mereka lebih selesa untuk tinggal dan bermain bersama,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan membuat rumah terbuka, Lisda berkata, dia masih belum memikirkan untuk mengadakan rumah terbuka, sebaliknya mahu melengkapkan peralatan dan perkakas rumah yang masih belum ada.
“Keutamaan saya adalah untuk menghias rumah terlebih dahulu, melengkapkan peralatan dan perkakas rumah.
"Kemudian adat masuk rumah baru, pastinya kami akan membuat kenduri doa selamat,” katanya yang menghias rumah dengan konsep ‘moden kontemporari’.
Tambah Lisda lagi, dengan memiliki sebuah rumah teres, dia berharap akan dapat beraya bersama kaum keluarga, sahabat-handai dan jiran-jiran.
“Sebelum ini setiap kali tibanya raya, saya tidak menikmati suasananya kerana duduk di kondominium. Kadang-kala terasa sunyi kerana saya suka suasana lama di mana ada anak-anak kecil yang datang dari rumah ke rumah.
“Jadi saya berharap tahun ini, saya akan dapat menikmati suasana berhari raya yang telah lama tidak saya rasai,” katanya yang akan berhari raya di rumah barunya.
Nasihat artis beli aset
Sementara itu, Lisda sempat menitipkan pesan buat rakan-rakan artis agar menggunakan wang titik peluh hasil lakonan, nyanyian dengan membeli aset-aset yang dapat memberi keuntungan dan kebaikan pada masa hadapan.
“Saya lihat artis muda sekarang lebih gemar menghabiskan wang untuk ubah suai kereta, beli kereta mahal. Padahal lebih baik mereka guna wang itu untuk membeli rumah kerana, kehidupan kita akan lebih stabil jika ada rumah.
“Lagipun harga pasaran kereta selalu menurun, jadi kalau kita pakai kereta biasa dulu pun tidak mengapa, asalkan kita ada jaminan masa depan,” katanya.
Seronok bawa
watak jahat
Demi mencari kelainan dan ingin lari dari watak streotaip, Lisda sanggup menolak watak utama sebagai heroin dalam drama bersiri Ular Emas dan memilih untuk melakonkan watak jahat sebagai ular hitam.
“Bagi mencari kelainan dalam variasi lakonan saya, saya sendiri memohon untuk melakonkan watak ular hitam walaupun ditawarkan watak utama pada mulanya.
“Pada pendapat saya lebih senang melakonkan watak jahat kerana kita bebas membuat ekspresi wajah dan tidak perlu kontrol ayu atau kontrol cantik. Malah watak antoganis juga mempunyai cabarannya yang tersendiri,” ujarnya yang turut tampil dengan kulit muka bersisik dalam drama itu nanti.
Sementara itu ketika ditanya mengenai rumah tangganya yang kerap mendapat tohmahan orang, Lisda berkali-kali menafikan rumah tangganya dilanda badai dan mengakui mereka bahagia sejak berkahwin lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: