Wednesday, August 11, 2010

Lebih 500 pelabur kena tipu

KUALA LUMPUR - Lebih 500 pelabur seluruh Malaysia ditipu oleh sebuah syarikat yang berjanji memberikan pulangan wang ringgit setiap bulan, tetapi keadaan menjadi sebaliknya.

Setiausaha Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Mohd Jurit Ramli berkata, pihaknya akan mempertahankan hak-hak pelabur yang sewenang-wenangnya ditipu oleh pihak syarikat itu.

“Saya sudah melaporkan perkara ini kepada polis, tetapi tidak mendapat sebarang tindakan. Pihak polis ada menyatakan mereka menghantar laporan kepada Bank Negara tetapi tidak diterima oleh Bank Negara.

“Pelabur mendakwa, pihak syarikat berjanji untuk membayar semua wang yang dilaburkan pada 30 Julai lalu. Namun, tiada pembayaran dilakukan sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Lobi Bank Negara, semalam.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan untuk membawa perkara berkenaan kepada Bank Negara.

Jurit berkata, syarikat itu masih melakukan penipuan secara berleluasa kerana tindakan mereka itu tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan, kerana masih banyak lagi pelabur yang tidak sedar mereka sedang berurusan dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kami telah berusaha sehingga kini untuk menuntut hak-hak pelabur yang masih belum mendapat hasil yang daripada pelaburan mereka. Kita tidak boleh berdiam diri kerana masih ada lagi pelabur yang masih belum tahu yang sebenarnya mereka sedang berurusan dengan syarikat yang penipu,” katanya

Beliau berkata, syarikat tersebut seolah-olah melepas tangan kepada pihak NGO kerana, NGO sering kali berurusan dengan mangsa.

"Kini ada beberapa mangsa yang menganggap kami ‘dalang’ di sebalik kes penipuan ini. Sedangkan kami secara ikhlas membantu mangsa-mangsa penipuan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: