JAUH pandangannya ke depan namun tiada kepastian apa yang diidamkan mampu dimiliki. Meskipun meletak usaha berganda, tidak henti mengasah bakat yang ada dan sentiasa bersikap optimis dalam apa dilakukan, Mohamad Zain Mohd Saidin masih perlu terus mendongak mencari formula lain bagi memahat namanya sebagai pelakon rebutan penerbit filem dan drama.
Menurut pemuda kacukan Melayu-Inggeris ini yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama istimewa tayangan Aidilfitri terbitan Zeel Production berjudul Kiah Pekasam Raya di sekitar Kangar, Perlis, rezekinya lebih murah sebagai pelakon komedi, walhal dia mampu menghidupkan pelbagai karakter jika diberi peluang.
“Sejak drama bersiri Kiah Pekasam ditayang, saya dihujani tawaran menjayakan drama komedi dan ringan. Watak Rodi yang saya hidupkan berjaya menjulang nama saya ke persada seni lakon tempatan.
“Pun begitu, gerak lakonan saya tidak banyak berbeza apabila terikat dengan genre sama. Tengoklah, paksi persembahan saya dalam Kiah Pekasam dan Duyung Aridinata yang kini bersiaran di slot Legenda TV3 sama saja.
“Mungkin ramai penerbit suka dengan lakonan bersahaja dan jenaka tidak berlebihan saya hingga menyebabkan mereka terpanggil menawarkan watak lebih kurang sama kepada saya. Di luar lokasi, saya memang peramah, gemar mengusik dan bergurau dengan sesiapa saja.
“Justeru, mudah bagi saya menjiwai watak komedi diberi. Biarpun agak klise, saya lihat tawaran yang ada dalam genggaman sebagai cabaran dan latihan sebelum bersedia memikul watak lebih besar,” katanya yang baru selesai penggambaran telefilem Wartawan Oh Wartawan terbitan Saudagar Production.
Aktor kacak berusia 26 tahun ini menyimpan hasrat besar dalam jiwanya. Enggan mendabik dada atau bersikap tinggi diri, Zain mengharapkan berlaku keajaiban dalam karier yang diceburi hingga mampu mengangkat namanya ke fasa lebih tinggi setimpal dengan usahanya selama ini.
“Bukan menidakkan kekuatan impak watak komedi, cuma saya berharap satu hari nanti diberi peluang melakonkan karakter yang bertentangan dengan personaliti sebenar saya.
“Kalau boleh, saya mahu watak superhero atau hero fantasi yang mampu menyingkap sisi lakonan berbeza. Untuk pengetahuan semua, saya peminat setia Superman dan mahukan watak berat seperti itu. Saya bersedia menempuh apa saja halangan dan cabaran demi memenuhi impian ini.
“Ada juga tawaran ke arah itu tetapi saya tidak boleh bercerita panjang kerana semuanya masih dalam perbincangan.
“Jika kata persetujuan dicapai, saya adalah insan paling bertuah dan akan berkongsi perasaan gembira itu dengan peminat.
“Setakat ini saya puas hati dengan apa yang diraih. Saya senang hati apabila semakin ramai pengarah dan penerbit percayakan bakat saya.
“Insya-Allah saya akan terus mantapkan mutu lakonan dari semasa ke semasa,” katanya yang bakal muncul dengan drama Chinta bersama Fasha Sandha, Azhar Sulaiman dan Natasha Hudson.
Adik kepada penyanyi Sasha Saidin ini tidak pernah jemu menggali ilmu di lokasi penggambaran. Turut memiliki kebolehan menyanyi, dia tidak kekok atau malu bertanya penggiat seni berpengalaman bagi menambah pengetahuan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: