Monday, August 9, 2010

Khazanah terus jual ekuiti GLC

pix_gal0
Kepentingan dalam tujuh syarikat utama dijangka dilupus dalam 6 bulan

KHAZANAH Nasional Bhd akan mengurangkan secara lebih agresif pegangannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM6 bilion, dalam tempoh enam bulan akan datang.Langkah itu susulan kejayaannya dalam persaingan merebut penguasaan kepentingan majoriti dalam firma penjagaan kesihatan Singapura, Parkway Holdings Ltd.
Sumber industri berkata, Khazanah dijangka mengurangkan pegangan sahamnya dalam tujuh syarikat utama di di Bursa Malaysia iaitu UEM Group Bhd, PLUS Expressway Bhd. (PLUS); CIMB Group Holdings Bhd; Tenaga Nasional Bhd; Time Engineering Bhd; Timedot-Com Bhd; dan DRB-Hicom Bhd.

“Sebagai permulaan, Khazanah dijangkakan melupuskan sehingga tujuh peratus pegangannya dalam PLUS bernilai RM1.295 bilion; dua peratus dalam CIMB Group (RM1.113 bilion) dan dua peratus dalam Tenaga (RM748 juta).

“Ia akan disusuli pula penjualan keseluruhan pegangan bukan strategik 47.1 peratus dalam TimedotCom (RM703 juta); 45 peratus dalam Time Engineering (RM157 juta); dan 5.1 peratus dalam DRB-Hicom (RM111 juta),” katanya.

Sementara itu, urus niaga korporat yang masih lagi belum selesai sepenuhnya oleh Khazanah adalah penjualan 10 peratus ekuiti dalam EON Capital Bhd kepada Hong Leong Bank Bhd (bernilai RM506 juta); 86.8 peratus pegangan UEM Group dalam Pharmaniaga Bhd kepada Boustead Holdings Bhd (bernilai RM534 juta); serta hasrat Khazanah melupuskan keseluruhan pegangan 32.2 peratus ekuitinya dalam Pos Malaysia Bhd (bernilai RM534 juta).
Sumber industri itu berka-ta, Khazanah mampu memperoleh RM5.7 bilion daripada pelupusan berkenaan.

“Dengan mengambil kira harga semasa saham syarikat berkenaan, dianggarkan nilai keseluruhan pelupusan pegangan itu berjumlah hampir RM6 bilion.

“Bagi melaksanakan pelupusan itu, Khazanah sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan. Selepas mendapat kelulusan, semua urus niaga akan dilakukan secara teratur dan telus untuk mengelak berlakunya gangguan terhadap pasaran saham tempatan,” katanya.

Langkah pengurangan pegangan oleh Khazanah itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kecairan di pasaran saham tempatan.
“Sebelum ini, pengurus dana asing dikatakan enggan memasuki pasaran tempatan kerana sebahagian besar saham kaunter berpotensi dipegang syarikat pelaburan kerajaan (GLIC).

“Saya yakin pelupusan oleh Khazanah itu akan menarik minat pelabur asing yang sebelum ini hanya mampu memiliki pegangan sekitar 20 peratus dalam sesebuah syarikat, untuk terbabit serta aktif dalam meningkatkan penguasaan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, sumber industri itu berkata, enam lagi GLC iaitu Proton Holdings Bhd; Axiata Bhd, Telekom Malaysia Bhd, UEM Land Holdings BHd, Penerbangan Malaysia, dan Malaysia Air-ports Holdings Bhd bakal terbabit dalam aktiviti pengurangan pegangan oleh Khazanah itu dalam tempoh 12 bulan lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: