Saturday, August 14, 2010

Ketagih seronok dan cemas




AKHIRNYA, ia bukan lagi khabar angin. Sedikit masa dahulu, para peminat aktiviti ekstrem negara ini hampa apabila buah mulut mengenai pembinaan lokasi lompatan bungy dari atas jambatan gantung dekat sebuah pulau peranginan di utara Semenanjung Malaysia, tidak menjadi kenyataan.

Bertahun-tahun menunggu peluang itu muncul semula, nyata kini kegembiraan itu dibawakan oleh pihak pengurusan taman tema yang pernah dinobat sebagai salah sebuah destinasi terbaik Asia - Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.

“Usahasama kami dengan Bungy Malaysia adalah sebagai tanda terima kasih kami kepada pengunjung yang memberi sokongan kepada permainan G-Force X,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Lagoon, Aaron Soo, yang juga telah membuat lompatan pertama di situ.

Kunjungan anggota media ke platform khas di jambatan gantung yang merentang landskap akuatik di Sunway Lagoon baru-baru ini mempunyai misi tersendiri. Kami perlu mencuba sendiri aktiviti yang menjadi daya tarikan baru di taman tema itu.

Lompatan bungy dari platform tersebut hanya dari paras ketinggian 21 meter, iaitu kira-kira menyamai ketinggian bangunan sembilan tingkat.

Walaupun ketinggian itu hanya separuh daripada paras lokasi terjunan di Bali, Indonesia, ia sudah cukup mengubat ‘ketagihan’ golongan pencari keseronokan yang berbaur elemen cemas.

“Kami percaya bahawa di sini merupakan lokasi yang paling ideal untuk menjalankan aktiviti lompatan bungy. Sememangnya kami berkongsi minat yang sama iaitu untuk menawarkan aktiviti lasak dan adventur,” terang Richard Tankersley, Pengarah Urusan Bungy Malaysia Sdn. Bhd. yang juga mengendalikan permainan G-Force di situ.

Beliau menambah, reputasi keselamatan kelas dunia sentiasa menjadi keutamaan. Orang ramai terutamanya para pelompat akan berasa lega apabila mengetahui aktiviti tersebut adalah mengikut piawaian ISO antarabangsa bagi aktiviti lompat bungy. Standard NZS/AS 5848:2000 telah didaftarkan sendiri oleh A.J. Hackett, pengasas aktiviti lompatan bungy komersial.


KALAU sempat, pandanglah ke atas selepas lantunan pertama agar reaksi seronok anda dapat dirakamkan.


Lompatan saya memulakan keriuhan pada petang itu. Setelah mendaftar, petugas berpengalaman yang digelar Jump Master, Graham Whorskey, menimbang berat badan saya untuk melaras keperluan panjang tali.

Lelaki separuh abad yang mempunyai pengalaman 20 tahun dengan A.J. Hackett International Group itu memberitahu, selain pilihan lompatan secara solo atau bersama seorang lagi teman, setiap pelompat juga diberi pilihan sama ada untuk terjun tanpa terkena permukaan air kolam di bawah kawasan terjunan, ataupun mencecah air.

Seusai kaki saya diikat kemas dan ketat dengan sambungan tali, ciri keselamatan ditambah pula dengan cangkuk tambahan di bahagian pinggang melalui harness yang dipakai.

Whorskey kemudiannya membawa saya ke penghujung platform. Saat melihat ruang lompatan, terasa sayup segala pemandangan yang menanti di bawahnya. Kalau lemah semangat ataupun mempunyai fobia ketinggian, pasti tindakan itu sudah membunuh keinginan.

“Pandang atas, depakan tangan. Sedia. Five, four, three, two, one! Jump!” dia bertempik.

Buat seketika, saya tersengih dan tidak jadi melompat. Reaksi spontan gara-gara tidak bersedia itu telah ditertawakan sekalian pengunjung yang berhenti di tengah jambatan gantung tersebut untuk menyaksikan aksi saya.

Kiraan itu dilaungkan semula. Sejurus disuruh melompat, saya terus merebahkan diri ke hadapan dan membuat sedikit anjakan kaki dari tempat berpijak. Separuh jiwa rasa melayang dari jasad dan darah pun bagaikan berhenti mengalir dan mengering!

Dalam turutan saat yang paling lama dirasakan itu, tubuh saya menjunam laju. Namun dalam hati, saya masih sempat bertanya itu dan ini; ‘Adakah betul apa yang aku lakukan ini? Adakah orang yang mencipta aktiviti ini tidak waras? Entah dari mana agaknya aktiviti ini berasal?’. Kalaulah saya boleh menekan butang pause lalu memegunkan saat itu.

Mengimbas sejarah

Sekitar tahun 1950-an, David Attenborough dan kru filem Perbadanan Penyiaran Bristish (BBC) telah membawa pulang rakaman mengenai para ‘penerjun daratan’ di Pulau Pentecost dekat Vanuatu. Di situ, lelaki-lelaki muda peribumi melompat dari tiang-tiang kayu tinggi dengan pergelangan kaki masing-masing diikat dengan akar kayu atau tali yang panjang.

Ritual itu perlu disempurnakan setiap lelaki dalam etnik tersebut sebagai tanda mereka telah melangkah ke alam dewasa. Amalan yang hampir serupa turut dilakukan oleh golongan yang dipanggil Danza de los Voladores de Papantla atau maksudnya, Penerbang Papantla, di Mexico. Tradisi itu adalah seusang kewujudan puak Aztec.

Lompatan bungy moden yang pertama dibuat pada 1 April 1979 dari atas Jambatan Gantung Clifton di Bristol, England oleh David Kirke, Chris Baker, Simon Keeling, Tim Hunt dan Alan Weston. Kumpulan pelompat dari Dangerous Sports Club di Universiti Oxford itu walau bagaimanapun telah ditahan pihak berkuasa selepas melakukan aksi ngeri mereka.

Namun begitu, mereka meneruskan juga aktiviti itu di Amerika Syarikat lantaran menerima jemputan, penajaan dan liputan media. Seperti yang dijangkakan, siri lompatan mereka dari Jambatan Golden Gate dan Royal Gorge telah mencetuskan fenomena di seluruh dunia, hinggakan pada 1982, mereka mula mencipta kelainan dengan melompat dari kren dan juga belon udara panas.


PETUGAS Bungy Malaysia mendekati dengan bot tiub untuk meleraikan ikatan kaki dan membawa pelompat ke daratan.


Aktiviti lompatan bungy secara komersial pula bermula daripada idea seorang warga New Zealand, A.J. Hackett. Dia melakukan terjunan berbahaya dari atas Jambatan Greenhithe di Auckland pada tahun 1986. Tahun demi tahun, Hackett telah menyudahkan banyak lompatan dari pelbagai struktur tinggi termasuk jambatan dan juga Menara Eiffel di Paris, Perancis.

Sejak itu, sukan ekstrem tersebut berjaya menarik minat dan menjadi ikutan ramai. Keterujaan itu telah menjadi titik-tolak kepada terbinanya tapak kekal lompatan bungy komersial yang pertama di dunia iaitu di Jambatan Kawarau dekat Queenstown iaitu di selatan New Zealand.

Hackett sehingga kini kekal menjadi pengendali komersial terbesar dengan pangkalan operasi di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Sorakan gembira

Ya, kerana jaminan Hackett itulah saya yakin dengan tindakan saya! Lantunan pertama menyedarkan saya kembali dalam situasi genting tadi. Darah yang dirasakan mendesak masuk ke saraf-saraf di dalam kepala membuatkan saya menjadi lebih hiper. Mujur, terjunan itu tidak mengundang rasa hendak pitam.

Terjunan itu sukses! Sorakan dan tepukan teman-teman membuatkan saya lebih seronok, walaupun dalam keadaan tergantung dan kepala ke bawah. Beberapa kali juga saya terbuai mengikut berat badan saya yang sedang diseimbangkan mengikut detik kehilangan momentum lantunan.

Kekuatan tali elastik yang bersalut pintalan lateks berkualiti tinggi itu benar-benar membuatkan saya lega. Nyata, ia telah membuktikan tahap keselamatan dan kepercayaan yang setiap penerjun perlukan.

Begitupun, saya masih tidak berpuas hati kerana tidak berjaya menyentuh permukaan air. Setelah ‘diselamatkan’ petugas yang meleraikan ikatan tali lalu membawa saya kembali ke daratan menggunakan bot tiub, saya merancang untuk melakukan lompatan kedua.

Bagi aksi yang diulang itu, saya meminta agar tali dipanjangkan sedikit agar saya dapat mengocak air di dada kolam yang terhampar di dasar platform pelepasan.

Pada masa yang sama, saya berjanji pada diri sendiri agar percubaan kedua tersebut perlu dilaksanakan tanpa perasaan teragak-agak. Itu amat penting untuk saya benar-benar mengatasi perasaan takut dan bimbang yang tidak bersebab.

Meskipun aksi itu dibuat sekali lagi dengan lebih berani, faktor debar dan ngeri masih terasa. Saya menyimpulkan bahawa itu adalah petanda baik untuk seseorang pelompat menikmati keseronokannya.

Lalu bersama-sama Jump Master, saya sekali lagi melaungkan kiraan mengundur; “Five, four, three, two, one.. Terjun!”.

Beberapa saat selepas itu, saya bukan sekadar dapat mencecah tangan ke permukaan air. Hampir separuh tubuh saya ‘tercelup’ ke dalam kolam bagaikan teh uncang yang besar!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: