
SETIAP kali tiba bulan Ramadan, tentu sekali orang ramai akan mencari kelainan ketika memilih juadah berbuka puasa bersama keluarga dan sahabat handai.
Keenakan masakan Cina Muslim Restoran Sifu Al Ifra yang terletak di Taman Seri Rahang, Seremban, Negeri Sembilan boleh dijadikan pilihan untuk mengisi perut ketika berbuka puasa.
Chefnya, Mohd. Sultan Abdullah, 68, berkata, restoran berkenaan menawarkan pelbagai masakan Cina Muslim kepada umat Islam yang ingin mencari kelainan ketika berbuka puasa, malah makanan yang dihidangkan segar kerana bahan-bahan hanya dimasak apabila mendapat tempahan.
"Kami sentiasa menjaga kualiti dan kesegaran juadah yang dihidangkan kepada orang ramai. Pelbagai set berbuka puasa untuk dua hingga tujuh orang ditawarkan pada harga berpatutan.
"Antara masakan enak yang menjadi pilihan ialah kepak ayam goreng City, tauhu sirip yu, ikan kukus ginseng, dragon ball dan kailan goreng," katanya yang pernah menjadi chef kulinari Cina Muslim untuk mantan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selama lima tahun.
Mohd. Sultan menambah, keistimewaan kepak ayam goreng City bukan sahaja kerana ia digoreng dengan rempah ratus tetapi disumbat dengan isi sotong dan udang untuk menambah keenakannya.
Beliau yang memeluk Islam pada tahun 1977 memberitahu, tauhu sirip yu pula sangat lembut kerana ia dibuat sendiri olehnya. Tauhu itu turut disumbat dengan isi ketam dan sirip ikan yu menjadikannya begitu menyelerakan.
"Dragon ball juga merupakan hidangan istimewa di restoran ini kerana ia diperbuat daripada campuran pelbagai ramuan seperti telur masin, isi udang, ayam dan ikan.
"Hidangan ikan kukus pula dimasak daripada ikan segar. Masakan ini amat sesuai untuk mereka yang ingin menjaga kesihatan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: