Friday, August 13, 2010

Karyawan hadapi masalah


SEBILANGAN artis yang bakal terbabit dengan projek amal Semarak Ramadan Bersama Karyawan.


SEMPENA kedatangan bulan Ramadan kali ini, lebih 30 penyanyi popular tanah air termasuk baru dan senior bakal turut serta menghiburkan para peminat pada Semarak Ramadan Bersama Karyawan anjuran Persatuan Karyawan Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Seri Melayu.

Majlis berbuka puasa dengan menu istimewa dari Restoran Seri Melayu dan turut disajikan dengan persembahan artis itu merupakan sebuah projek amal yang bermula pada 16 Ogos hingga 3 September 2010 pukul 6 petang di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Antara penyanyi yang mengambil bahagian menjayakan Semarak Ramadan Bersama Karyawan itu ialah Nassier Wahab, Sheeda, Salwa Abdul Rahman, Ibnor Riza, Pian Cecupak, Ayati Tasrip, Rohana Jalil, Mas Omar, Jaafar Onn, Zur Eda, Shidee, Yantzen, Radhi Khalid, Azizul Khamis, Papa J, Halil Chik, Sam Iskandar dan Siti Fairuz.

Sementara itu, artis generasi baru turut mengadakan pertunjukan pada acara tersebut termasuklah kumpulan nasyid Devotees, Razali Hussain, Salima AF4, Ekin AF3, Yazer AF3, Radhi OAG, Dior, Zehra Zambri dan Nas Adila.

Selain artis-artis mengadakan persembahan malam itu, acara Semarak Ramadan Bersama Karyawan juga diiringi oleh kumpulan ghazal yang akan mendendangkan lagu-lagu Melayu asli dan tradisional.

Menurut Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Semarak Ramadan Bersama Karyawan bertujuan mengutip dana tabung Karyawan di samping menghulurkan bantuan kepada ahli Karyawan yang memerlukan.

“Diakui, kami mengalami masalah kewangan kritikal buat masa ini. Lantaran itu, majlis ini merupakan salah satu usaha mengisi dana, kos-kos persatuan termasuk pencen-pencen artis veteran setiap bulan berjumlah RM13,000 dan lain-lain.

“Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada Kumpulan Sri Melayu kerana dapat menjalankan kolaborasi sambil menyumbangkan tempat mereka untuk kami mengutip dana Karyawan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media majlis berkenaan di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur minggu lalu.

Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Sri Melayu, Rosli Rahmat berkata, kolaborasi dengan Karyawan menjadi langkah bijak kerana selain menyumbang lokasi untuk Karyawan mendapatkan sumber kewangan, ia juga mampu mengenengah bakat penyanyi-penyanyi di negara ini.

“Saya harap ia dapat jadi titik permulaan bagi Karyawan untuk menjadikan Restoran Sri Melayu sebagai satu tempat strategik untuk kegiatan seni termasuk persembahan nyanyian untuk pelanggan kami selepas ini,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Dengan tawaran harga bufet berbuka puasa hanya RM60++ untuk orang dewasa dan RM30++ (kanak-kanak), Semarak Ramadan Bersama Karyawan akan menyajikan menu istimewa daripada Restoran Seri Melayu seperti nasi bukhari, ayam percik, rendang daging tok serta hidangan pencuci mulut dari aneka kuih-muih tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: