TELEKOM Malaysia Berhad (TM) akan mengkaji kadar bayaran langganan pakej jalur lebar dari semasa ke semasa supaya perkhidmatan Internet menjadi lebih murah sekali gus membolehkan lebih ramai pengguna di negara ini menikmati perkhidmatan itu.
DR HALIM...sudah murah
“Bagaimanapun, TM belum bercadang menurunkan kadar langganan jalur lebar dalam masa terdekat memandangkan kos perkhidmatan dan penawaran oleh syarikat lain di pasaran masih pada tahap kompetetif.
“Pakej jalur lebar Streamyx TM sebenarnya sudah murah. Ada pakej RM38 sebulan. Kadar ini sudah mampu untuk orang ramai melanggan jalur lebar berkelajuan 384 kbps,” katanya selepas majlis pelancaran program Sekolah Angkat Pintar TM di Sekolah Kebangsaan Tembak, Kuala Ketil, Baling, Kedah, semalam.
Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan perkhidmatan berkelajuan lebih tinggi dengan bayaran tambahan atau melanggan pakej khidmat jalur lebar berkelajuan tinggi (HSSB) pada kadar RM149 sebulan.
“Orang selalu membandingkan kadar kita dengan Singapura. Kos kita berbeza kerana terpaksa menyediakan banyak infrastruktur membabitkan kos lebih tinggi terutama di luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Menurutnya, TM sedang berusaha menambah kadar penembusan Internet di kalangan isi rumah di pedalaman dengan menyediakan pakej menarik seperti Pakej Jalur Lebar TM dengan Komputer 1Malaysia.
Selain itu, katanya, TM akan meningkatkan perkhidmatan HSSB dengan menambah perkhidmatan UniFi kepada 22 ibu sawat lagi menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, liputan HSBB yang diperluaskan itu merangkumi kawasan perindustrian dan kediaman di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
“Kawasan industri terbabit Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kedah), Bayan Baru (Pulau Pinang) dan Johor Bahru manakala kawasan kediaman merangkumi Wangsa Maju, Sungai Buloh, Melawati, Kepong, Cyberjaya, Putrajaya dan Damansara.
“HSBB menjanjikan jalur lebar pada kelajuan akses rangkaian lebih pantas iaitu 10Mbps berbanding kelajuan Streamyx 4Mbps,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: