Thursday, August 12, 2010

Juadah tradisional di Vistana


Ulam-ulaman dan sambal belacan turut disertakan sebagai pembuka selera.


SEBAIK tibanya bulan Ramadan, pelbagai promosi dibuat pihak pengurusan hotel dalam memperkenalkan hidangan berbuka puasa mengikut menu dan resipi istimewa mereka.

Ketika ramai orang memilih untuk berbuka puasa ala barat di hotel atau restoran mewah, masih tidak kurang juga yang mencari hidangan tradisional.

Hotel Vistana Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama memeriahkan kehadiran bulan Ramadan dengan menawarkan pelbagai masakan lazat ala kampung dengan memperkenalkan konsep 'Juadah Tradisional' bagi menarik pengunjung.

Menurut Chef De Partie hotel berkenaan, Hamdan Harun, pengunjung boleh memilih 148 juadah berbuka puasa yang disediakan oleh tukang masak berpengalaman.

Tambah beliau lagi, antara hidangan istimewa yang disajikan sepanjang Ramadan ialah masak lemak ikan patin, masak asam pedas talapia dan daging masak lemak nangka.

''Untuk tahun ini, kami memilih untuk menghidangkan selera kampung kepada para pengunjung yang ingin berbuka puasa di hotel ini.

''Ia merupakan kelainan yang cuba ditonjolkan pada tahun ini kerana tahun lepas kami menyediakan hidangan rendang padang.

''Untuk itu, kami menyediakan 148 menu setiap hari manakala untuk menu utamanya pula kami menyediakan sebanyak 36 jenis,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas beliau, untuk memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung, pihaknya menyediakan gado-gado kuah kacang, kerabu pucuk paku, kerabu mangga ala Thai, acar jelatah, acar rampai, pecal kangkong, kerabu taugeh dan perut, nasi pulut kuning dan serunding daging serta telur masin atau ikan masin sebagai pembuka selera.

Menu-menu tersebut sesuai untuk dinikmati bersama-sama nasi putih manakala bagi mereka yang meminati nasi kandar, jangan susah hati kerana pihak Hotel Vistana turut menyediakan juadah tersebut dengan pilihan lauk-pauk seperti ayam goreng madu, daging masak hitam, ikan kari bendi, sayur kobis goreng mamak dan sayur peria goreng kunyit.

Antara lain, menu-menu selera kampung yang disediakan ialah nasi goreng kerabu, pajeri terong, rebung masak lemak, pucuk ubi masak lemak, pucuk paku masak lemak, sambal ikan bilis dan tempe, sotong masak hitam, rendang daging, ayam percik, kacang panjang goreng berlada dan kangkung goreng belacan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: