Saturday, August 7, 2010

Jentera custom


PEMBINAAN motosikal (custom) memerlukan ketekunan dan daya kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan jentera yang unik.


KUASA enjin dan deruman bunyi ekzos yang garang cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja terpegun dengan motosikal berkuasa tinggi. Apatah lagi jentera-jentera hari ini yang direka dengan begitu indah.

Kebanyakannya kemas dan bergaya sebaik sahaja keluar dari kilang manakala sebahagian lagi mencuri perhatian dengan pengubahsuaian mengikut citarasa dan kreativiti.

Di kalangan peminat motosikal berkuasa tinggi, penunggang jentera easyrider adalah antara kelompok yang paling serius dan pakar dalam kerja pengubahsuaian. Dari situ jugalah timbulnya istilah chopper.

Chopper merujuk pada kerja-kerja pemotongan dan penyambungan semula bahagian motosikal untuk menghasilkan sebuah easyrider unik.

Sebuah chopper biasanya mempunyai batang pemegang (hendal) yang tinggi, tempat duduk rendah, roda belakang lebih besar daripada roda depan dan digerakkan oleh enjin V kembar (V-twin). Gabungan yang memperlihatkan keperkasaan.

Sub budaya

Bertempat di Butik Red Garage Choppers di Jalan P.Ramlee baru-baru ini berlangsung perhimpunan motosikal chopper tempatan iaitu 'Love Ride No War'.

Pengasas Red Garage, Edi Iskandar berkata, perkembangan sub-budaya motosikal custom bermula sekitar 2008 melalui pertambahan bilangan kelab dan kemasukan komponen dan aksesori motosikal dari luar negara.

Kini, budaya pembinaan motosikal menjadi sebahagian daripada budaya penunggang easyrider malah semakin ramai penunggang tempatan kini memiliki kemahiran itu.

Tambahnya, budaya motosikal custom juga melonjak bersama populariti yang dibawa oleh pembina tersohor seperti Orange County Choppers, Jesse James Coast Choppers, Roger Goldammer ataupun Ian Barry Falcon Motorcycles.

Meskipun kerja-kerja membina semula motosikal tidak sebebas yang diamalkan di Barat, peminat di negara ini masih boleh melakukan kerja pengubahsuaian menepati syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan.

Mengenai kos pembuatan motosikal, Edi berkata, ia sangat bergantung kepada kualiti barang yang ditukar-ganti, kualiti dan kesukaran pemasangannya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembuatan motosikal boleh berkunjung Butik Red Garage Choppers di Jalan P.Ramlee ataupun hubungi 03-21412152 dan 03-89259112 untuk pertanyaan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: