![]() |
| |
Sejak empat tahun lalu anak muda dari Lahore, Pakistan ini bekerja di Malaysia. Sekarang dia bekerja di bahagian pentadbiran sebuah akademi fesyen.
Semasa bekerja Khurram Shahzad atau lebih mesra dipanggil Shah terdedah dengan dunia fesyen.
Sebab itu dia memberanikan diri mangambil pengajian di akademi tempat beliau bekerja, International academy of Fashion and Design (IFTC) milik pereka Annie Wong.
“Saya baru beberapa minggu belajar. Projek pertama saya ialah membuat skirt. Saya sendiri rasa tak percaya yang saya boleh melakukannya.
“Saya tak pernah menjahit sebelum ini, tapi ilmu di sini membuatkan saya boleh membuat rekaan, memotong kain dan menjahitnya sendiri.
“Saya boleh menyiapkannya dalam masa empat jam. Ia sangat memberangsangkan bagi saya yang tak ada asas fesyen ini.
“Apabila melihat hasilnya, saya menjadi lebih berminat dan bersemangat. Saya memang mahu menjadi pereka terkenal suatu hari nanti,” kata Shahzad.
Apatah lagi apabila melihat banyak pereka terkenal di Malaysia hari ini pernah mendapat didikan daripada kolej yang sama.
“Saya juga sudah jatuh cinta dengan Malaysia dan bersedia untuk terus tinggal di negara ini kalau ada peluang.
“Saya mengambil kursus selama setahun sahaja, sebab saya sudah ada pengalaman bekerja dalam bidang fesyen,” katanya lagi.
Shahzad juga meminati peragaan dan menyimpan hasrat untuk menjadi model sekiranya ada peluang.
“Dulu pernah juga buat fotografi fesyen untuk majalah, tapi saya tak teruskan. Sekarang teringin menyambung semula.
“Penyertaan saya dalam ruangan Kacak Bergaya ini pun sebenarnya diuruskan oleh kawan saya.
“Semasa mahu menghantar saya ke lapangan terbang, kami singgah bergambar di Putrajaya. Kawan saya yang tolong menghantar resume saya kepada Pancaindera.
Sementara itu Shahzad juga seorang yang aktif bersukan dan amat meminati sukan kriket.
“Saya bermain kriket sejak berusia 10 tahun lagi. Saya berhenti bermain sejak datang ke Malaysia.
“Kalau ada peluang, saya masih berminat untuk bermain kriket di sini,” jelasnya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: