Monday, August 9, 2010

Jaguh dalam pembikinan

BAGI sesetengah orang, mungkin tiada apa yang mencabar dalam permainan bowling kerana ia tidak memerlukan keupayaan dan kekuatan fizikal tinggi, sebaliknya hanya menumpukan kepada cara hayunan bola.

pix_middle


Biarpun ada yang beranggapan sedemikian, Kelab Bowling Little Champs (KBLC) terus berusaha melahirkan jaguh muda dalam sukan berkenaan.

KLBC wujud hasil kesinambungan program sukan teras yang diperkenalkan mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said selepas ia dibubarkan.


Jurulatih KBLC, Azmeer Nizam Abdul Rahman berkata, sama seperti sukan lain, bowling memerlukan kekuatan fizikal dan tahap kecergasan tinggi.

Katanya, seperti sedia maklum, permainan bowling banyak menggunakan tangan dan kaki, justeru kedua-dua anggota badan ini perlu digerakkan dengan betul bagi mendapatkan balingan sempurna.

Empat elemen penting harus dititikberatkan dalam permainan bowling iaitu fizikal, taktikal, teknikal dan psikologi.

"Keempat-empat elemen ini perlu digabungkan dan jika satu daripadanya dipandang ringan, ia akan menjejaskan keseluruhan permainan.

"Aspek fizikal, taktikal dan teknikal menekankan cara hayunan tangan, langkah kaki dan teknik balingan bola yang betul bagi memastikan semua pin dapat dijatuhkan dengan hanya satu balingan," katanya yang lapan tahun menjadi jurulatih bowling.

Menurutnya, semua ahli KBLC menjalani latihan berpandukan modul yang disediakan olehnya mengikut garis panduan ditetapkan Kesatuan Tenpin Bowling Malaysia (MTBC).

Katanya, bowling mudah dipelajari daripada sesiapa pun, tetapi untuk mahir dalam sukan ini adalah sesuatu yang sukar dicapai semua orang.

Dalam sukan bowling, sasaran setiap pemain adalah menjatuhkan semua 10 pin yang diletakkan di hujung lorong sepanjang 18.3 meter.

"Semua pin perlu dijatuhkan dengan menggunakan bola bowling yang mempunyai berat berbeza.

"Teknik balingan bola dan hayunan tangan harus betul untuk mendapatkan 'strike' iaitu berjaya menjatuhkan semua 10 pin dengan hanya satu balingan," katanya ketika ditemui di Bukit Jalil Golf and Country Resort (BJGCR) baru-baru ini.

Tambahnya, selain strike, ada dua lagi istilah iaitu 'spare' dan 'open'. Spare berlaku apabila pemain dapat menjatuhkan semua pin dengan dua balingan manakala open berlaku apabila masih ada pin yang tidak dapat dijatuhkan selepas melakukan dua balingan.

Daripada segi pemilihan bola pula, Azmeer Nizam berkata, pemain digalakkan memilih bola yang mempunyai berat berdasarkan 10 peratus daripada berat badan seseorang.

"Rata-rata bola bowling mempunyai diameter 29.6 sentimeter dan berat daripada 2.7 kilogram (kg) kepada berat maksimum yang dibenarkan iaitu 7kg.

"Pemilihan bola yang betul mempengaruhi kelancaran 'perjalanan' bola terbabit yang dilemparkan di lorong untuk menjatuhkan pin," katanya.

Bagaimanapun, kata Azmeer Nizam, ia juga bergantung kepada keselesaan pemain memilih berat sesebuah bola.

KLBC mempunyai 30 ahli berusia antara sembilan hingga 18 tahun dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Kebiasaannya, latihan diadakan dua kali seminggu iaitu pada Jumaat dan Ahad di BJCGR dan sehingga kini KBLC berjaya melahirkan banyak jaguh muda di peringkat sirkit junior.

Sementara itu, Presiden KBLC, Khairuddin Jamaluddin berkata, kelab berkenaan menumpukan kepada pembangunan golongan muda menerusi aktiviti berfaedah.

Katanya, kelab itu tidak hanya tertumpu melatih ahli KBLC, tetapi juga menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan memberi pendedahan kepada mereka untuk terbabit dalam aktiviti sosial sihat.

"Jika dilihat kebelakangan ini, remaja banyak terbabit dalam masalah sosial yang membimbangkan sehingga memudaratkan diri mereka.

"Walaupun KBLC sebuah kelab sukan, kami juga mementingkan aspek akademik kerana bagi kami kedua-dua aspek ini harus seimbang dalam melahirkan pemain serba boleh," katanya.

Khairuddin berkata, pemain akan menerima nilai tambah kerana di samping memantapkan skil menerusi latihan, mereka dapat menimba ilmu menerusi program dianjurkan KBLC.

Katanya, dalam usaha melahirkan pemain berbakat besar, pendekatan secara holistik perlu digunakan kerana sukan itu bukan saja tertumpu kepada kekuatan fizikal, malah ketajaman minda juga penting.

"Kebanyakan jaguh sukan kini mempunyai tahap pendidikan tinggi walaupun sudah berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Khairuddin berkata, walaupun KBLC dianggotai ramai remaja belasan tahun, dia tidak menolak penyertaan mana-mana individu yang ingin menyertai kelab berkenaan.


>INFO
> Bowling berasal daripada permainan 'skittle' serta sangat popular di Eropah dan Amerika Syarikat
> Kelab Bowling Little Champs (KBLC) ditubuhkan tiga tahun lalu
> Memiliki 30 ahli berusia sembilan hingga 18 tahun
> Menjalani latihan dua kali seminggu setiap Jumaat dan Ahad di Bukit Jalil Golf and Country Resort
> Berjaya melahirkan ramai jaguh sirkit junior


>Profil
NAMA: Mohd Supian Ramlan
UMUR: 17 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
KELUARGA: Keempat daripada enam beradik
SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Perdana

MINATNYA terhadap sukan bermula dengan bola sepak kerana ia sukan popular dan sinonim dengan lelaki.

Namun pembabitannya dalam bowling menerusi program sukan teras yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka akhirnya mencambahkan minatnya terhadap sukan ini.

Malah kejayaannya mewakili Selangor dalam pertandingan bowling MTBC-Junior Circuit pada Mac lalu membuktikan keputusan menyertai sukan ini adalah tepat.

"Biarpun sekadar menduduki tempat keempat dalam pertandingan itu, saya anggap ia satu penghargaan kerana terpilih mewakili Selangor.

"Sebelum ini saya memperoleh pingat perak ketika mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan seperti Majlis Sukan Sekolah Daerah dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor," katanya.

Mengakui kebanyakan rakannya tidak memilih sukan bowling ini kerana dianggap kurang cabaran, baginya setiap orang mempunyai minat dan kebolehan masing-masing.

"Sama seperti sukan lain, bowling memerlukan kekuatan mental, fizikal dan emosi walaupun tidak memerlukan pergerakan fizikal yang maksimum.

"Dalam bowling, teknik permainan adalah penting dan pemain perlu kreatif untuk mencipta teknik sendiri dalam menghasilkan balingan sempurna," katanya.

Mohd Supian meletakkan sasaran tiga tahun lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa.


>Profil
NAMA: Nur Shima Izzah Zulkarnain
UMUR: 14 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik
SEKOLAH: SMK Kota Kemuning, Shah Alam

MENJADIKAN ratu bowling negara, Shalin Zulkifli sebagai idola, dia mempunyai hasrat menggunung untuk mencipta kejayaan seperti idolanya.

Katanya, dia sering mempelajari teknik hayunan dan balingan bola menerusi pemerhatian dan rakaman video corak permainan jaguh bowling sama ada di dalam mahupun luar negara.

"Melalui pemerhatian itu, ia memberi pendedahan berguna kepada saya dan boleh digunakan ketika latihan dan pertandingan.

"Pada mulanya, saya anggap bowling satu permainan mudah namun sukar mendapatkan keputusan atau jatuhan pin yang cemerlang," katanya.

Tambahnya, minatnya terhadap bowling berputik sejak berusia 10 tahun apabila kerap menonton pertandingan bowling yang disiarkan di televisyen.

"Saya menyatakan keinginan menceburi sukan ini kepada orang tua saya dan mereka bersetuju menghantar saya mengikuti kelas bowling.

"Saya bertuah kerana mendapat sokongan dan dorongan keluarga yang tidak pernah jemu-jemu memberi galakan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang ini," katanya.


>Profil
NAMA: Nur Ain Izzani Zulkarnain
UMUR: 14 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
SEKOLAH: SMK Kota Kemuning, Shah Alam

BAK kata orang, pasangan kembar sukar dipisahkan dan mempunyai minat sama, namun bagi gadis ini pembabitannya dalam sukan ini bersama adik kembarnya, Nur Shima Izzah Zulkarnain adalah satu kebetulan.

Katanya, adiknya terlebih dulu menunjukkan minat dalam sukan ini sedangkan dia lebih meminati sukan renang.

"Bagaimanapun jika terbabit dalam sukan renang, saya perlu memakai pakaian renang yang mencolok mata dan tidak selesa.

"Mahu atau tidak, saya terpaksa menguburkan hasrat itu dan mencari sukan yang sesuai dengan diri saya," katanya.

Mulanya hanya sekadar menemankan adik kembarnya menjalani latihan bowling, dia akhirnya tergerak hati untuk mencuba permainan itu.

"Selepas mencuba, saya dapati permainan ini menyeronokkan walaupun ketika itu saya masih mencari rentak permainan yang betul.

"Saya akhirnya mengambil keputusan untuk terus aktif dalam sukan ini, tambahan pula saya banyak mendapat sokongan dan dorongan adik kembar," katanya.

Berhasrat menjadikan sukan ini sebagai kariernya, dia akan terus berusaha mencipta kejayaan, sekali gus mengukir namanya di persada dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: