Saturday, August 7, 2010

Jadilah pemandu hijau


KERETA hibrid dicipta bagi mengurangkan kadar pengeluaran asap ke tahap paling minimum.


KETIKA Ford model T diisytihar sebagai model produksi pertama kenderaan bersifat komersial pada era 1900, ia langsung tidak dijangka menjadi antara penyumbang utama pencemaran alam sekitar.

Kekaguman dunia terhadap industri automotif memuncak tanpa adanya kesedaran bahawa kemudahan yang kita kecapi hari ini penyebab kemusnahan dunia.

Hakikat bahawa pencemaran oleh gas karbon monoksida hanya disedari 70 tahun selepas itu dengan negara maju mengambil inisiatif memperkenalkan alat catalytic converter, had pengeluaran asap dan jangka hayat kenderaan.

Ironinya, sifat rakus gergasi automotif terus-menerus memonopoli industri menyebabkan pencemaran daripada sektor automotif tidak pernah berkurang.

Betapa dunia kita hari ini jatuh sakit kerana sumbangan teknologi yang tidak mempedulikan masa depan dunia untuk generasi akan datang. Dengan pencairan ais di Kutub Utara, pemanasan global dan kesan rumah hijau, tidak mustahil dalam 100 tahun lagi kita tidak mampu lagi mendapat oksigen bersih tanpa memakai topeng.

Realitinya, negara-negara maju menjadi penyumbang besar dalam aspek pemanasan global. Pencemaran yang menghasilkan emisi karbon dioksida membentuk satu pakatan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC).

Persidangan Rangka Kerja PBB tentang Perubahan Iklim sejak sejak awal 1990-an yang dikemukakan, menghasilkan Protokol Kyoto pada 1997 yang bertekad untuk mengurangkan kepanasan global menjelang tahun 2050.


JANGAN biarkan enjin hidup dalam tempoh terlalu lama, misalnya ketika menunggu orang.


Dalam perihal isu tenaga nuklear Iran dan Korea Utara, kita mengenali Amerika Syarikat (AS) yang melantik dirinya menjadi polis dunia, padahal AS merupakan satu-satunya negara yang tidak menandatangani Protokol Kyoto.

Saya sebenarnya melihat tindakan itu sebagai sangat keji bagi sebuah negara yang mencemarkan udara dengan kadar karbon sebanyak 16 peratus, kedua tertinggi di dunia. Negara-negara lain seperti China (17 peratus), Kesatuan Eropah 11 peratus dan seterusnya Indonesia 11 peratus.

India, Rusia, Brazil, Jepun, Kanada, Mexico dan Malaysia telah pun masuk dalam 141 buah negara yang bersetuju menandatangani protokol tersebut.

Malaysia juga antara negara di rantau ini yang komited dalam polisi Teknologi Hijau malah, dalam Dasar Automotif Negara (DAN) yang dibentangkan tahun lalu, ia termaktub bersama. Sejak tahun 2003, kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif fiskal bagi syarikat-syarikat yang menjana elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.

Syarikat-syarikat yang mengamalkan aktiviti-aktiviti penjimatan tenaga layak diberi Pengecualian Cukai Pelaburan dan Status Perintis.

Jadi apakah peranan kita? Kita tidak perlu menjadi seperti Al-Gore atau membeli Toyota Prius jika tidak mampu. Kita boleh bermula dengan tidak membuang puntung rokok, plastik sampah atau sisa makanan dari dalam kereta.

Jika anda ada pilihan ke sesuatu destinasi menggunakan pengangkutan awam, gunakan sebaiknya. Bayangkan jika sejuta orang di Kuala Lumpur memiliki persepsi yang sama, udara kita akan jadi lebih bersih.


KARBON monoksida yang keluar daripada ekzos kenderaan memberi kesan buruk kepada alam sekitar.


Jika terpaksa berhenti dalam kenderaan, matikan enjin dan buka tingkap kenderaan. Di sesetengah negara maju, menghidupkan enjin kereta melebihi lima minit tanpa bergerak menjadi kesalahan.

Malah, teknologi idle stop n Go, kini sedang gigih diusahakan banyak pengeluar hari ini untuk memastikan kenderaan tidak mengeluarkan karbon monoksida ketika kereta tidak bergerak.

Pokoknya, adalah kesedaran dan ada inisiatif untuk bermula. Tidak susah untuk menyimpan bekas plastik makanan di dalam kenderaan dan membuangnya di stesen minyak. Ini bukanlah isu politik atau ekonomi, kesedaran ini adalah berasaskan isu moral.

Ada banyak contoh pesimis yang mana selalunya orang berkata bahawa dunia tidak akan berubah hanya dengan tindakan satu atau dua orang. Seperti yang saya utarakan tadi, kita perlu ada kesedaran. Sebab jika kita tidak bermula, sampai bila-bila pun dunia akan terus tercemar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment