Friday, August 6, 2010

Indah khabar dari rupa


BUNKFACE meraih sambutan hangat daripada penonton.


INDAH khabar dari rupa. Itulah label yang tepat mampu diberikan kepada konsert MTV World Stage Live In Malaysia 2010 yang berlangsung di Surf Beach Sunway Lagoon, Sabtu lalu.

Meskipun ini masuk kali kedua MTV World Stage berlangsung di Malaysia, namun entah di mana silapnya konsert berskala besar melalui begitu banyak gangguan.

Hujan renyai menyambut ketibaan penonton dengan konsert pembukaan oleh band popular Bunkface yang bermula pada pukul 7 malam.

Boleh dikatakan persembahan selama 30 minit itu antara persembahan yang cukup membanggakan. Menyanyikan enam buah lagu antaranya, Bunkface Anthem, Through My Window, Situasi dan Ekstravaganza nyata Bunkface merupakan pilihan yang tepat untuk MTV World Stage edisi kedua ini.

Kemudian, kemunculan kumpulan wanita popular dari Korea Selatan Wonder Girls di atas pentas dengan gimik persembahan menyanyi dan menari dalam sangkar besi membuat rata-rata penonton menjerit kegirangan.

Lima gadis jelita yang cukup popular dengan lagu Nobody di serata Asia dan Amerika itu mengejutkan penonton apabila mereka yang sudah bertaraf penyanyi antarabangsa itu menampilkan set persembahan yang tidak seberapa.

Jujur dikatakan, selain lagu Nobody, penonton di Malaysia masih belum mengenali Wonder Girls apabila enam buah lagu lain yang dinyanyikan antaranya I Wanna, Goodbye, Tell Me dan So Hot masih asing pada penonton yang hadir.

Apa yang mengecewakan lagi, selain dengan tarian yang menggoda, vokal Wonder Girls tidak seperti diharapkan apabila mereka kedengaran ‘semput’ terutama pada lagu terakhir iaitu Nobody.


LADY GAGA lelaki? Vokalis Tokio Hotel, Bill Kaulitz muncul memukau dengan busana yang cukup unik.


Tokio Hotel dan Katy Perry memukau

Walaupun terpaksa menunggu hampir 1 jam 40 minit untuk persembahan Tokio Hotel atas alasan masalah teknikal, namun penantian penonton berbaloi apabila kumpulan dari Jerman itu memberikan persembahan yang penuh tenaga.

Persembahan kali kedua Tokio Hotel selepas muncul buat pertama kali pada Mei lalu mendapat sambutan hangat penonton. Lihat sahaja aksi vokalisnya yang tampil dengan busana cukup unik, Bill Kaulitz bijak mengawal keadaan dan memujuk penonton atas kelewatan yang berlaku.

Bagaikan showcase khas Tokio Hotel, mereka mendendangkan 11 buah lagu seperti Noise, Darkside of the Sun, Hey You, Automatic, World Behind My Wall, Dogs Unleashed, Human Connect to Human, Monsoon, Zoom Into Me dan Forever Now.

Selepas persembahan Tokio Hotel berakhir kesabaran dan ketahanan fizikal penonton diuji sekali lagi apabila terpaksa berdiri dalam hujan selama satu jam sebelum Katy Perry membuat kemunculan kira-kira pukul 11.50 malam dengan busana ala-ala penari balet.

Bakal isteri pelawak terkenal, Russell Brand itu dilihat seorang yang merendah diri dan cukup menghormati peminatnya. Semua itu jelas kelihatan dalam sidang media yang diadakan beberapa jam sebelum konsert berlangsung.

Membuka persembahan di atas banana split gergasi sambil menyanyikan lagu single pertama daripada album keduanya iaitu California Gurls.

Katy yang cukup terkenal dengan sikap terbuka dengan perangai gila-gilanya bijak berkomunikasi dengan penonton.

Selain itu, Katy turut mendendangkan lagu seperti Thinking of You, I Kissed A Girl, One of the Boys, Hot N Cold Waking Up In Vegas serta dua buah lagu baru Teenage Dream dan Peacock.


KONSERT pentas berubah sepenuhnya dengan kemunculan Katy Perry.


Sungguhpun MTV World Stage Live In Malaysia 2010 tidak menampilkan bilangan penyanyi yang ramai seperti tahun lepas yang membariskan nama-nama seperti Estranged, Boys Like Girls, Hoobastank, All American Rejects, Kasabian, Raygun dan Pixie Lott, namun dengan hanya empat nama itu, MTV World Stage kali ini telah menarik seramai 15,000 penonton. Satu angka yang cukup membanggakan.

Walaupun begitu, masalah teknikal yang disebabkan oleh hujan tidak sepatutnya berlaku kerana konsert ini bukan yang pertama kali dianjurkan di Malaysia. Penganjur sepatutnya tahu Malaysia sebuah negara yang mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun dan membuat persiapan awal untuk mengatasi masalah seperti hujan.

Malah, konsert edisi pertama jauh lebih baik jika dinilai daripada aspek teknikal walaupun menampilkan bilangan penyanyi yang lebih ramai.

Satu perkara lagi, penganjur sepatutnya melakukan sesuatu untuk menghiburkan penonton sepanjang proses menunggu kemunculan penyanyi daripada membiarkan penonton tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.

Empat orang pengacara MTV yang dibawa daripada seluruh pelosok Asia, Juju, Chris, Sean dan Utt dilihat tidak serasi di atas pentas serta mereka dilihat teragak-agak dalam setiap butir bicara yang ingin dituturkan selain terlalu bergantung pada skrip. Seharusnya itu tidak perlu berlaku pada pengacara profesional seperti mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: