HUBUNGAN percintaan mereka bukanlah satu rahsia. Bahkan, tanpa berselindung masing-masing mengakui status sebenar sebagai pasangan kekasih. Bagaimanapun, baru-baru ini timbul gosip mengatakan mereka akan mengikat pertunangan.
Bagaimanapun, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Che Wan, 25, tertawa apabila diajukan soalan mengenai tarikh majlis pertunangan mereka itu. Ayu anak kelahiran Alor Setar, Kedah, berkata, memang dia dan Zaquan merancang untuk bertunang tetapi bukanlah pada tarikh yang digosipkan.
Katanya, kesibukan karier menyebabkan mereka perlu menunda perancangan itu dan masih lagi mencari tarikh yang sesuai. Ujar Ayu, jadual penggambaran drama dibintanginya padat manakala Zaquan pula sudah tentu berjuang dengan perlawanan bola sepak.
“Gosip mengenai kami mahu bertunang memang betul. Namun, bukan pada tarikh 10.10 10. Buat masa ini, semua urusan berkaitan majlis itu kami serahkan kepada ibu dan ayah kami untuk menguruskannya. Ia memang urusan keluarga.
“Bagi saya dan Zaquan, kami tidak mahu merahsiakannya. Bagi kami, perkara yang baik buat apa hendak disembunyikan. Lagipun, hubungan yang dijalin ini mendapat restu daripada kedua-dua belah pihak. Malah, sudah setahun pun ia terjalin,” jelasnya.Menurut Ayu, dalam tempoh itu, baru sekali dia dan Zaquan keluar menonton wayang bersama. Itu pun katanya, mereka menonton filem Final Destination 3. Selalunya, mereka hanya meluangkan masa dengan makan bersama kerana ia lebih selesa.
“Apapun, kami juga bukan seperti pasangan bercinta lain yang selalu keluar bersama. Saya hanya akan berpeluang berjumpa Zaquan setiap dua minggu atau sebulan sekali saja. Ini kerana, kami sangat sibuk dan komited dengan tuntutan karier.
“Sepanjang hubungan ini terjalin, saya gembira bersama Zaquan kerana dia menerima diri saya seadanya. Kami saling menyenangi antara satu sama lain. Malah, dia (Zaquan) memiliki ciri-ciri sesuai dan lelaki terbaik di mata saya,” kata Ayu ceria.
Adik kepada aktres Rozita Che Wan itu juga mengakui dia kini dalam proses membuat persediaan. Boleh dikatakan, 30 peratus persediaan sudah dilakukan.
Kini Ayu sibuk menyiapkan penggambaran drama Nur Fansuri. Bagaimanapun, dia tidak lupa mengucapkan selamat ulang tahun ke-23 kepada insan tersayang. Rabu lalu, adalah tarikh lahir Zaquan, namun mereka tidak dapat meraikannya bersama.
Zaquan ketika ini berada di Perlis kerana terikat dengan perlawanan bola sepak. Apapun, Ayu yang ditanya mengenai hadiah istimewa untuk Zaquan, sekadar memberitahu ia rahsia. Akuinya, biarlah hanya Zaquan saja yang tahu apa hadiah itu.
Sementara itu, Zaquan yang dihubungi untuk bertanyakan perihal pertunangan itu memaklumkan ia juga berita benar. Namun majlis terpaksa ditangguhkan buat masa ini dan kemungkinan mereka terus berkahwin sebaik saja bertunang sekitar hujung tahun ini atau awal 2011.
“Saya terbuka hati menerima Ayu kerana dia seorang wanita yang lemah lembut dan sangat menghormati orang tua. Walaupun dia artis terkenal, Ayu tidak pernah rasa hebat atau lupa diri. Justeru, saya rasa selesa dengannya.
“Seandainya ada jodoh kami, saya takkan menghalang Ayu untuk meneruskan kerjaya lakonannya. Saya mengenali Ayu ketika dia sudah bergelar pelakon dan tidak adil untuk saya menghalangnya. Cuma, Ayu harus bijak mengurus soal karier dan peribadi.
“Jalinan hubungan saya dan Ayu ini adalah takdir jodoh yang ditetapkan Tuhan. Jujurnya, saya pun tak pernah terfikir akan bertemu jodoh dengan artis seperti abang saya, Aidil Zafuan (yang memperisterikan Rita Rudaini). Bagi saya, urusan kehidupan manusia semuanya diaturkan Tuhan,” katanya.
Ramah berbicara dan mudah memberi kerjasama, bagaimanapun Zaquan berkata, tiada niatnya untuk menjadikan perancangan pertunangan ini sebagai kisah sensasi. Katanya, sebagai anak, dia sangat menjaga hati ibu bapanya serta keluarga Ayu.
PROFIL
NAMA: Raudhah Che Wan
PANGGILAN KOMERSIAL: Ayu Raudhah
TARIKH LAHIR: 7 Disember 1984
USIA: 25 tahun
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Antaranya Dilema Wanita, Timur Mencinta Barat Merindu, Manjalara, Hidayah, Dari Mata Arisa, KL Menjerit The Series, Alamaya, Sampai Menutup Mata, Patahnya Sayap Malam, Nur Kasih, Kau Laksana Bulan, Janji Kekasih dan Nur Fansuri
FILEM: 4 Madu
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: