Saturday, August 7, 2010

Hayati keajaiban Ramadan

PERUMPAMAAN orang yang sedang berpuasa itu seperti berada di dalam kepompong yang digunakan oleh penulis buku, Keajaiban Ramadan, Jaafar Siddiq, begitu bertepatan memandangkan bulan Ramadan adalah salah satu latihan terbaik dalam membentuk keperibadian Muslim yang bertakwa.

Malah tegas Jaafar, umpama ulat yang asalnya tidak cantik namun apabila membentuk kepompong dan kemudian keluar sebagai rama-rama yang cantik.

Begitu jugalah disarankan kepada orang yang berpuasa agar selalu beribadat mengucapkan zikir kepada Allah sehingga membentuk diri yang jauh lebih baik dan jiwa menjadi cantik.

Justeru, katanya lagi, bagi mencapai kesempurnaan dalam ibadat sepanjang bulan Ramadan, Muslim perlu melakukan persiapan lahir dan batin. Ia perlu dimulai dengan persiapan fizikal, diikuti dengan memastikan kebersihan hati.

Lazimnya keindahan Ramadan itu ditampilkan dalam bentuk ruang keampunan yang disediakan dalam 10 hari pertama, siraman rahmat dan keberkatan pada 10 hari kedua dan dijauhkan daripada emosi api neraka dalam 10 hari terakhir.

Kemuncak pada keindahan itu adalah tawaran bagi mengecapi nikmat ibadah yang tidak ternilai iaitu Lailatul Qadar.

Ramadan juga menjadi istimewa berbanding bulan-bulan lain disebabkan oleh amalan berpuasa. Tempoh sebulan berpuasa datang dengan 1,001 keajaiban yang memberikan impak positif kepada kesihatan tubuh badan manusia.

Pun begitu, adakah setakat itu sahaja keindahan dan keistimewaan yang ditawarkan oleh Ramadan? Atau ada keistimewaan lain yang membuktikan wujudnya 1,001 keajaiban yang dijanjikan Allah SWT kepada umat Islam dengan kehadiran Ramadan tidak lama lagi?

Lantas buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. yang berjudul, Keajaiban Ramadan ini berusaha membongkar persoalan di atas ini.

Ia membongkar keajaiban yang tersembunyi di sebalik keagungan dan kemuliaan Ramadan seperti; sejarah Ramadan, peristiwa-peristiwa bersejarah yang terjadi pada bulan Ramadan, fadilat Ramadan, keistimewaan Ramadan, proses pensyariatan Ramadan, keberkatan, keajaiban berpuasa pada bulan Ramadan dan keajaiban Ramadan dalam memberikan kesan kepada intelektual, fizikal dan emosi umat Islam.

Kesemua ini digabungkan dalam enam bahagian iaitu Bahasa dan Sejarah Ramadan, Peristiwa yang Terjadi Kepada Nabi dalam bulan Ramadan, Keutamaan dan Hikmah Ramadan, Bulan Ramadan dan Hukum-Hukumnya, Keajaiban-Keajaiban Puasa Ramadan dan Kita Bertanya, Ulama Menjawab. Malah dalam keenam-enam bahagian ini ia merangkumi 20 bab berkaitan tajuk masing-masing.

Menurut penulisnya, Keajaiban Ramadan adalah merupakan buku ketiganya selepas buku berjudul, Puasa sebagai Terapi oleh Mizania Bandung (2006) dan Puasa Isnin Khamis oleh Surya Media (2010).

Kenyataannya, Ramadan amat istimewa bagi umatnya yang merindukan kehadiran bulan serba indah dan mulia ini dan bagi mereka yang mahu menyucikan diri.

Oleh itu, jika anda adalah kategori di atas ini, maka manfaatkanlah buku ini sebagai alternatif dalam menambahkan maklumat serta pengetahuan mengenai keajaiban Ramadan itu. Selamat Berpuasa!!!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment