Tuesday, August 10, 2010

Hasfullah serba boleh


BERSUNGGUH-SUNGGUH... Hasfullah tidak sabar-sabar untuk menyiapkan motosikal idamannya.


Suatu pagi pada 1980, suasana riuh rendah menyelubungi Kampung Majapahit Pendang, Kedah. Dari jauh kedengaran bunyi bising yang dicampur aduk dengan bunyi kayu digergaji dan paku ditukul.

Rupa-rupanya penduduk-penduduk kampung sedang bergotong-royong membina sebuah rumah baru di perkampungan itu.

Seorang budak lelaki, Hasfullah Samsudin, yang tidak mahu ketinggalan menyumbang jasa untuk pembinaan kampung datuknya itu, turut serta melakukan kerja-kerja pertukangan seperti orang dewasa.

Dia mungkin baru berusia enam tahun, tetapi dia sudah mampu melakukan kerja seperti mengetam kayu.

Semenjak itu, si kecil tersebut mula memupuk minat terhadap kerja pertukangan kayu dan di zaman remaja pula berjinak dengan pertukangan mekanikal.

Kemahiran yang dimilikinya itu sangat berguna dan bukan sahaja mempengaruhi hobinya, malahan kerjayanya sebagai seorang pegawai polis.

Hasfullah, kini berusia 36 tahun dan merupakan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Cif Inspektor, sebenarnya dipilih sebagai calon Gaya Polis minggu ini kerana keunikan hobinya.

Setiap individu memiliki hobi tersendiri, terpulanglah pada minat masing-masing. Bagi anak kedua daripada tujuh beradik ini, dia merupakan seorang penggemar motosikal berkuasa tinggi klasik, terutamanya motosikal jenis Birmingham Small Arms (BSA) keluaran United Kingdom pada sekitar 50-an dan 60-an.

Kunjungan Gaya Polis ke rumah teres dua tingkat miliknya di Taman Desa Mas, Rawang minggu lalu membuatkan penulis terpegun.

Sebaik sahaja dijemput masuk ke ruang tamu rumah itu, kelihatan sebuah rangka motosikal, enjin besar, dua roda dengan rim aloi dan beberapa alat ganti lain, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Lantas soalan diajukan kepada Hasfullah, apakah projek yang sedang dibuatnya itu dan beliau menjawab: "Memasang BSA Gold Star DBD34".

"BSA Gold Star DBD34 ialah motosikal idaman saya dan ia adalah legenda. Motosikal ini diberhentikan pengeluarannya pada 1963, jadi saya percaya tidak banyak unit yang tinggal di seluruh dunia.

"Nak cari komponen model ini tidak mudah, mujur ada Internet dan saya buat tempahan menerusi beberapa laman web. Saya mengambil masa selama tiga tahun untuk mengumpul kesemua semua peralatan dan komponen diperlukan untuk memasang motosikal ini," ujarnya.

Ditanya kenapa tidak membeli terus sebuah motosikal itu, jelas Hasfullah, ia bernilai RM160,000 (termasuk kos penghantaran) dan harga itu adalah di luar kemampuannya.

"Kos yang saya belanjakan untuk mengumpul komponen-komponen baru RM50,000 dan saya pun tahu macam mana nak pasang motosikal, jadi kenapa tidak saya lakukannya sendiri. Cuma ia memakan masa lebih lama dan perlulah berpeluh sedikit," katanya tersenyum.

Hasfullah menambah, sejak berjinak- jinak dengan hobi ini 14 tahun lalu, beliau telah memasang berbelas-belas buah motosikal seumpama dan menjualkan sebahagiannya.

Katanya, cuma yang berbeza kali ini adalah beliau cuba memasang motosikal lebih 'serius' dengan menggunakan hampir 90 peratus komponen tulen, tidak seperti sebelumnya yang sekadar menggunakan rangka tulen tetapi komponen-komponen dalaman lain diubah suai daripada besi buruk.

"Kini tinggal dua buah motosikal di kampung dan projek itu akan menjadi yang ketiga. Setiap kali saya jual motosikal, keuntungan yang dijana itu akan dipusing modal pula untuk memasang model baru," imbasnya yang pernah menjual sebuah motosikal Triumph TR6 dengan harga RM32,000.

Daripada hobi itu jugalah Hasfullah mengenali rakan-rakan baru dari luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Austria. Hasfullah pernah menerima kunjungan rakan-rakannya itu dari jauh untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP sirkit Malaysia.

Selain menggemari motosikal, bapa kepada dua anak itu juga merupakan peminat pokok bonsai. Di halamannya terdapat berpuluh-puluh spesies pokok bonsai selain tumbuh-tumbuhan lain.

"Saya suka melihat proses pokok tumbuh membesar. Setiap hari saya akan menyiram pokok-pokok dan sekali-sekala mengemaskan dahannya. Lama-kelamaan ia akan tumbuh dengan cantik mengikut kemahuan kita," katanya.

Hasfullah mengakui dia seorang yang tidak dapat duduk diam, jadi tidak hairanlah hampir kesemua perabut di rumahnya adalah dibuatnya sendiri.

Bahan digunakan pula kebanyakannya sama ada dikutip atau barangan terpakai yang dibeli pada harga murah dan ia diubah suai sebagai perabut atau perhiasan unik.

Penulis tertarik apabila diberitahu meja di ruang tamu yang nampaknya cukup unik dan disangka mahal, namun sebenarnya berharga kurang daripada RM30. Meja itu merupakan potongan batang pokok (RM20) dan dialaskan sekeping kaca (RM6).

Secara kesimpulannya, Hasfullah sememangnya seorang yang serba boleh!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: