Friday, August 13, 2010

Falsafah dua hero Melayu




DUA lelaki berwibawa dan penuh kredibiliti, Eman Manan dan Alex Komang mempunyai magis yang tersendiri.

Dua anak wayang yang begitu dikagumi bukan sekadar dari segi jiwa lakonan, namun juga kebijaksanaan mereka.

Digabungkan karisma dan pesona mereka dalam sebuah naskhah yang diberi nama Kabus, Eman dan Alex nyata pilihan tiada tolok ganti.

Hanya mereka berdua yang menghidupkan naskhah terbitan Pena Creative Pictures ini dengan durasi sejam 50 minit.

Tiada ‘bunga’ atau wanita untuk memberi warna dalam drama yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri nanti di Astro Oasis pukul 2.30 petang. Namun, itu sudah cukup untuk membuat Kabus mahal.

Bertemu dua hero ini, menghurai begitu banyak falsafah tentang seni. Rasional dan penuh integriti.

Eman, biar terserlah ketegasannya, masih terus menjadi magnet untuk khalayak mendekatinya. Begitu juga Alex, aktor hebat Indonesia yang begitu santai untuk diajak berbicara apa juga topik kecuali peribadi.

Berbicara tentang sikap selektif, Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong yang menganggap skrip Kabus tidak cukup intelektual.

Sementara, Alex Komang atau nama sebenarnya Syaiful Nuha yang dengan nyata memberitahu bahawa penceritaan Kabus begitu kuno sebelum menerima tawaran memberitahu mengapa mereka bersetuju untuk terlibat dalam karya tersebut juga bersifat selektif dalam kebanyakan tawaran yang diberi kepada mereka.

Kata Eman: “Saya terima sebab saya melihat skrip ini ada banyak rongga yang boleh ditambah dan diperbaiki.




“Saya tidak kata saya ubah semua dan pihak produksi perlu mengikut cita rasa saya, tetapi kami boleh bekerjasama, berbincang untuk menjadikan naskhah ini sebuah penceritaan yang lebih baik. Sebab lain saya terima Kabus tentulah kerana Alex Komang.”

Tersenyum sendiri mendengar alasan Eman, Alex turut memberitahu alasan menerima tawaran Kabus adalah kerana Eman Manan sendiri merupakan idolanya.

Saat ditanya apa yang kuno mengenai Kabus, dia menjawab: “Penceritaannya terlalu kuno. Pada saya, sebuah naskhah tidak harus semua dibikin dalam bentuk skrip.

“Ia harus menjadi sebuah penceritaan dalam sebuah visual yang bagus. Ia soal bagaimana penceritaan disampaikan.”

Sebagai orang lama, sifat selektif Eman dan Alex tidak boleh dipertikai. Mereka tahu apa yang terbaik untuk memartabatkan karya nusantara agar selalu dipandang tinggi.

Tanggungjawab tersebut sudah lama digalas dan tidak mahu ia mati begitu sahaja kerana tunduk dengan pasaran atau jalan cerita yang tidak berganjak.

Malah saat ditanya tidakkah mereka lelah menjadi anak wayang, pada usia setengah abad, baik Eman mahupun Alex, mereka mengaku bahawa dunia lakonan adalah dunia yang akan dikerjakan sehingga hujung nyawa.

Biar selektif memilih karya, kata Eman dan Alex, berlakon itu adalah pekerjaan hakiki mereka.

“Saya tiada pekerjaan lain. Ini adalah satu-satunya pekerjaan yang mampu saya lakukan. Jadi saya akan lakukannya sampai mati, tidak ada waktu-waktu tertentu untuk berhenti.

“Ini kerana setiap kali saya melihat semula lakonan saya yang diulang tayang, saya masih berasa belum puas.


ALEX (kiri) pernah berlakon filem epik Malaysia, Puteri Gunung Ledang.


“Jadi saya mahu lakukannya lagi untuk menjadikan ia lebih baik. Barangkali, dua jam sebelum saya mati, saya masih berlakon,” ujar Alex tentang kecintaannya terhadap dunia lakonan yang sudah dikerjakan lebih 30 tahun lalu.

Sementara Eman pula berkata dunia lakonan amat penting buatnya. “Saya tidak ada pekerjaan lain untuk dilakukan selain berlakon. Terus-terang saya katakan, saya memang selektif dan akan terus beritahu kalau skrip itu tidak bagus.

“Walau ada yang mahu mengubahnya mengikut cita rasa saya, tapi saya menolak kerana itu naskhah mereka.

“Kalau sudah diubah, ia nanti menjadi naskhah saya. Tapi apa yang boleh saya katakan, berlakon masih penting buat saya.”

Kisah dua duda

Selain terkenal dengan kredibiliti sebagai anak wayang, Eman dan Alex sebenarnya berkongsi kisah peribadi yang sama.

Mereka adalah duda. Eman merupakan mantan suami kepada pengarah dan pelakon tersohor, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Sementara, Alex merupakan duda kepada seorang wanita warga Malaysia dan mempunyai seorang anak remaja berusia 11 tahun.

Dijolok dengan kisah peribadi, Alex yang tidak keberatan menjawab semua soalan dilemparkan mula bersandar di kerusi. Dia ketawa kecil sebelum melontar falsafah. Ringkas namun cukup dalam.

“Hidup ini sudah manis. Tidak perlu diungkit lagi,” katanya ketawa dan menolak sopan untuk tidak membogelkan kisah peribadi dan kehidupannya sebagai duda.

Antara sebab lain, kata Alex, dia juga perlu menghormati perasaan anak perempuannya yang menetap bersama mantan isterinya di Malaysia.


MANTAP. Barisan karyawan Kabus (dari kiri), Eman, Hilal, Zeila, Ismail dan Alex.


Bagi Eman pula yang tahu bahawa soalan peribadi selalu diajukan pada akhir pertemuan, menjelaskan kehidupan solo yang dijalaninya sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai tidak lengkap.

Bukan soal cerai berai yang menjadi momok untuk dia tidak kembali berumah tangga.

“Saya akui, hidup solo itu tak lengkap. Yang lengkap adalah kehidupan berdua. Okey, saya rasa ini saja jawapan saya. Tak mahu cakap yang lain,” katanya sambil menepis soalan tentang wanita yang barangkali sudah bertamu di hatinya. Berulang kali Eman kata: “Cukup, ini saja.”

Ini kerana menurut Eman, hal peribadi termasuk rumah tangga tidak elok untuk dikongsi baca semua orang. Biar ia tersimpan rapi untuk diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: