ARTIS cuba menyembunyikan kekasih hati atau percintaan mereka bukanlah sesuatu yang baru. Malah ada yang sering kelihatan keluar bersama dalam keadaan cukup mesra, tetapi apabila ditanya media, mereka sekadar menjawab hanya kawan atau masih peringkat mengenali hati budi.
Perkara itu dipaparkan melalui ruangan gosip akhbar mingguan baru-baru ini. Marsha dikatakan berkawan rapat dengan usahawan berusia lewat 20-an dan hanya mahu dikenali sebagai Mr Z. Pemuda berstatus bujang itu berasal dari Kuala Lumpur dan boleh dikategorikan sebagai orang berada.
Saat hal ini diajukan kepadanya, nyata Marsha begitu terbuka dan memaklumkan jejaka Melayu seperti dilihat dalam gambar berkenaan adalah teman lelakinya.
Bagaimanapun, gadis kelahiran Michigan, Amerika Syarikat dan dibesarkan di Tamparuli, Sabah ini mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan secara terperinci gerangan nama lelaki itu termasuk pekerjaan dan detik perkenalan mereka.
Kata Marsha, hal peribadi biarlah menjadi rahsia hatinya seorang. Bimbang kalau memukul canang, esok lusa tak jadi diri sendiri yang malu. Mungkin belajar daripada pengalaman lalu, akibat terlalu terbuka membicarakan kisah cintanya dengan Keifli AF3, akhirnya hubungan itu tidak ke mana. Malah ia kini menjadi beban apabila orang asyik bertanya punca perpisahan mereka.Cuma apa yang dikesalkan mengenai foto yang tersebar, pemilik wajah dan tubuh cantik ini mengatakan gambar itu adalah milik peribadi.
“Itu adalah foto peribadi dan saya tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar. Saya tidak mahu menuduh, tetapi mengagak foto itu diambil melalui Blackberry Masengger (BBM) kerana gambar itu digunakan sebagai ‘profile pictures’. Siapa yang mempunyai BBM saya, bermakna mereka dipelawa atau diterima sebagai kenalan saya.
Akui Marsha, tidak guna terus-terusan marah sebaliknya Marsha kembali ceria apabila bercakap soal karier seninya berbanding hal peribadi. Dia kini sibuk menyiapkan album baru menampilkan tujuh lagu dan Marsha meletakkan harapan yang tinggi sempena kemunculan album berkenaan.
Lima lagu sah dimuatkan dalam album ini iaitu Ruang Kedua, Sayang, Yang Terbaik, Selamatkan Cinta serta Janji. Sebelum ini Marsha mempertaruhkan Yang Terbaik dan kini single Ruang Kedua manakala Janji begitu istimewa kerana ciptaan Marsha.
“Janji adalah lagu hasil ciptaan saya sendiri yang ditulis bersama seorang sahabat. Lagu ini bersifat peribadi kerana ia mengisahkan pengalaman hidup saya sendiri. Namun, pendengar juga boleh mengaitkan lagu ini dengan pengalaman mereka.
“Sesuai dengan judulnya Janji mengutarakan soal sang kekasih yang menuntut janji kekasihnya. Terus terang, saya tidak sabar menunggu album ini muncul di pasaran kerana sudah lama saya menantikan detik berharga ini,” katanya.
Marsha yang kini terikat kontrak dengan syarikat rakaman Alibi Music, turut menyerlah sebagai pelakon. Nyata paras rupa yang cantik dan berbakat dalam bidang nyanyian banyak membantunya mengukuhkan nama sebagai pelakon.
Mula dikenali dengan Kerana Karina dan kini muzikal bersiri Hotel Mania dan K.I.T.A, Marsha juga menjayakan drama epik tidak lama lagi. Bukan itu saja, tatkala ini dia sedang sibuk memenuhi tuntutan di set penggambaran drama Salon yang turut dibintangi pelakon berwajah comel, Nora Danish dan Kamal Adli.
“Dalam drama ini saya memegang watak Hani. Dia anak tauke restoran yang jatuh hati pada Razif (watak yang dipegang Kamal Adil) iaitu anak pemilik salun bersebelahan restoran ibunya.
“Malangnya Razif mencintai Aida (Nora Danish) yang bekerja sebagai jurusolek di salun berkenaan sehingga membuatkan Hani berasa tercabar,” katanya.
Marsha juga membintangi drama Takdir berganding dengan Shaheizy Sam yang disiarkan menerusi Cerekarama di TV3, baru-baru ini. Manakala filem lakonannya, 4 Madu arahan Prof. Madya A Razak Mohaideen dan Magika (Edry Abdul Halim) bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: