Wednesday, August 11, 2010

Elak kehamilan tidak dirancang


DARI kiri : Deborah, Nicole dan Julie dilantik menjadi duta Ya, Saya Boleh dalam usaha menangani isu kehamilan tidak dirancang.


HAMPIR setiap hari kita dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang tidak berdosa. Hakikatnya, mereka hanya menjadi mangsa nafsu serakah pasangan yang sedang mabuk asmara.

Kes pembuangan bayi mencatatkan peningkatan iaitu 407 kes di antara Januari hingga April tahun ini.

Difahamkan, hanya 111 remaja wanita yang tampil untuk mendapatkan bantuan mengenai masalah kehamilan mereka sepanjang empat bulan pertama tahun ini sedangkan yang lain sanggup membuang makhluk bernyawa itu seperti sampah.

Namun, isu ini bukan melanda Malaysia semata-mata malah masyarakat antarabangsa. Berdasarkan statistik oleh Bayer Schering Pharma Malaysia, seramai 80 juta wanita di seluruh dunia hamil tanpa dirancang setiap tahun.

Daripada 28 juta kehamilan di negara-negara industri, hampir separuh tidak dirancang.

Prihatin dengan masalah yang semakin menjadi barah ini, Majlis Kontrasepsi Asia Pasifik (APCOC), Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persekutuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) telah bekerjasama dengan Bayer Schering Pharma Malaysia melancarkan kempen Ya, Saya Boleh (Yes I Can) baru-baru ini.

Kempen Yes I Can ini bertujuan membantu menangani isu kehamilan yang tidak dirancang dan pembuangan bayi di negara ini menerusi kesedaran dan pendidikan.

Ia juga dirancang secara unik untuk menarik masyarakat Malaysia menggunakan kreativiti dan menyertai peraduan sokongan untuk menangani isu yang dihadapi.

"Kempen ini diharapkan dapat menangani isu kehamilan tidak dirancang dan pembuangan bayi dengan memperkasakan wanita supaya memilih kaedah kontraseptif berasaskan pengetahuan.

"Dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2004 melibatkan 1,700 remaja berusia di antara 13 dan 24 tahun menunjukkan lebih 50 peratus daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai fungsi organ reproduktif mereka," kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman yang hadir merasmikan kempen tersebut.

Selain mendidik wanita muda mengenai kehamilan tidak dirancang dan pencegahan kehamilan, ia juga menggalakkan perbincangan terbuka antara mereka dan pakar penjagaan kesihatan profesional mengenai manfaat dan pilihan kontrasepsi yang berkesan.

Dengan melantik beberapa duta seperti pengacara dan selebriti tempatan, Julie Woon, model terkenal, Deborah Henry dan blogger pelancongan, Nicole Tan, kempen ini akan mengadakan pameran bergerak di beberapa universiti dan kolej terpilih di Lembah Klang selama tiga bulan berakhir November ini.

"Penganjuran kempen ini tepat pada masanya bagi mengekang masalah pembuangan bayi yang kian meruncing kini.

"Kumpulan sasaran kempen ini ialah golongan belia berusia 18 tahun ke atas. Antara lokasi yang akan kami kunjungi ialah Universiti Monash (10 Ogos), Inti Subang (11 Ogos), Segi Subang (17 Ogos), Taylor's Lakeside (1 September), Taylor's Hartamas (24 September) dan Kolej Sunway (27 September)," kata Julie Woon yang sangat teruja dengan kempen tersebut.

Dalam pada itu, satu seminar interaktif akan diadakan di setiap lokasi dengan penglibatan beberapa pakar berkaitan bagi membolehkan golongan terlibat berkongsi pengalaman, mengulas, memberikan pengetahuan serta menjawab persoalan yang diutarakan.

Di samping itu, ada juga Cabaran Ya, Saya Boleh, iaitu peraduan sokongan yang membolehkan orang ramai memberikan cadangan yang kreatif.

Mereka yang mencadangkan penyelesaian paling inovatif dan praktikal berpeluang memenangi RM10,000. Maklumat lanjut boleh didapati di www.yesican.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: