Sunday, August 8, 2010

Dunia baru Anne Ngasri


Tidak mahu berkompromi soal kasih sayang terhadap anak-anak biarpun terpaksa berdepan dengan dugaan kelak.


TIADA bezanya 1 Ramadan yang bakal disambut umat Islam dalam tempoh beberapa hari lagi buat pelakon yang bakatnya digarap sejak kecil, Anne Ngasri.

Boleh jadi atmosfera yang dialami kali ini sedikit berlainan apabila dia sudah bergelar janda secara rasmi sejak 25 Jun lalu.

Anne kini kembali solo dan dia bukan lagi isteri kepada Abdul Wafi Hassan, 29, lelaki yang menjadi teman hidup sejak empat tahun lalu.

Pengakhiran satu episod duka yang memaksa wanita muda ini menukar corak kehidupan secara total. Anne perlu bersikap lebih matang dan mengetepikan ego sendiri demi kepentingan darah daging.

Ibu tunggal ini dilihat tabah dan aktif melayan dua anaknya iaitu Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2, selain kandungan yang hidup di pangkal rahimnya sudah mencecah usia enam bulan.

‘‘Insya Allah, saya berdoa agar tidak ditimpa masalah untuk berpuasa dalam keadaan mengandung sebegini. Pandai-pandailah saya mengawal diri. Kalau rasa tak boleh tahan sangat, saya akan buka puasa lebih awal.

‘‘Lagi pun, ini bukan pengalaman pertama kerana saya pernah mengandungkan Warits dan Wafri pada bulan puasa. Perkara yang berlaku secara kebetulan tanpa rancangan. Mungkin itu yang membulatkan semangat saya,’’ bicara awal Anne membongkar sedikit cerita rumah tangganya yang dahulu.

Wanita yang lahir pada 18 Disember 1984 ini memikul peranan besar yang digalas ke bahunya secara tidak langsung iaitu mendidik dua permata hatinya menjadi insan terbaik.

Biarpun mereka mempunyai bapa yang masih hidup tetapi Anne rasa tanggungjawab seorang ibu kurang lengkap sekiranya memindahkan tugas itu kepada orang lain.

Saat diajukan persoalan bebanan dirinya semakin besar untuk membesarkan dua hero ditambah pula dengan kandungan perut yang semakin ke hadapan itu, Anne melakar senyuman yang lebar.

‘‘Saya tidak merasakan Warits dan Wafri adalah bebanan saya. Mereka sebenarnya punca kekuatan dan pembakar semangat saya untuk menempuh hari-hari mendatang.

‘‘Naluri ibu saya memberitahu, ini adalah bahagian saya yang sudah tertulis di lohmahfuz. Jadi saya perlu reda dan tidak sesekali menuding jari ke arah mana-mana pihak kerana perpisahan ini.

‘‘Sejujurnya, memang ada sekelumit di hati saya ini perasaan sedih. Tetapi, saya tidak mahu berterusan diselubungi rasa itu kerana akhirnya ia memakan hati sendiri. Jadi, lebih baik sekiranya melupakan sebentar kisah duka saya demi anak-anak,’’ bicara Anne penuh optimis mengenai pendiriannya itu.

Janda bukan untuk ditakuti

Pemilik nama Naszriah Ngasri ini juga tidak mahu terlalu memikirkan gelaran janda yang merupakan frasa paling digeruni oleh wanita muda sepertinya.

Isteri orang atau janda, bagi Anne perlu meletakkan maruah di tangga utama dalam melayari kehidupan. Tidak pernah berasa gerun atau takut dengan status terbarunya, Anne menganggap kehidupan hari ini tidak banyak bezanya.

Katanya: ‘‘Tidak ada yang perlu ditakuti kerana pokok pangkalnya adalah penerimaan hati sendiri. Sekiranya kita reda dengan apa yang terjadi dalam rumah tangga, pasti perasaan gentar itu hilang.

“Kehidupan perlu diteruskan dan kita tidak boleh terus melihat ke belakang. Saya lebih fikirkan tentang masa depan anak-anak, berbanding fikir hal-hal hari lepas,” katanya penuh yakin.

Sementara itu, dikaitkan dengan pelbagai isu negatif membabitkan bekas suaminya, Anne enggan mengulas panjang.

Wanita berusia 26 tahun ini juga segera mengunci mulut seandainya timbul cerita bekas suaminya yang dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan seorang penyanyi kelahiran program realiti.

Secara ringkas Anne menjelaskan: ‘‘Kalau boleh, saya tidak mahu ambil tahu tentang perkara itu. Biarlah dia dengan hal dia. Asalkan dia tahu tanggungjawab dengan anak-anak, sudahlah.’’

Ini kerana debaran hati Anne lebih kencang untuk menanti kelahiran cahaya mata ketiganya yang dijangka bayi perempuan pada 7 November ini.

Berita gembira itu pasti dapat mengubati kerinduan dirinya selama ini tidak henti berdoa untuk mendapatkan seorang puteri sebagai penyeri dalam hidupnya.

Puasa pertama tanpa suami

Duta produk kecantikan Aleema ini teruja saat bercerita tentang rancangan bulan puasa ini. Anne juga merancang untuk berkumpul bersama keluarga, menikmati juadah utama kesukaan yang dimasak oleh ibunya, Habibah Jaafar iaitu asam pedas dan sambal sotong masak hitam.

‘‘Saya paling suka saat berbuka puasa kerana dapat berkumpul adik beradik kecuali kakak sulung, Naslizah Nagasri kerana dia menetap di Kuantan.

‘‘Kalau dapat berjumpa, pasti masing-masing membuka cerita dan kadangkala terkeluar cerita kelakar. Boleh riuh rendah dibuatnya,’’ kata Anne yang bercadang untuk melatih Wafri berpuasa setengah hari pada tahun ini.

Tambahnya, bulan Ramadan sahaja adik beradik dapat merasa air tangan ibu disebabkan mereka jarang membeli lauk di luar melainkan makan di restoran bersama-sama.

Anne juga beberapa kali tidak mahu menimbulkan isu berpuasa tanpa suami kerana dia sudah terbiasa dikunjungi ahli keluarga lain bertanding ke rumahnya di Taman Bullion Mewah, Gombak.

Katanya: ``Saya gembira dengan keadaan baru, di kelilingi keluarga yang banyak menolong dan dua hero yang semakin lasak. Mereka adalah tulang belakang saya sekarang ini.’’

Pelakon utama Dunia Baru itu juga bakal merayakan 1 Syawal di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung di Johor pada hari raya kedua. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan Anne dan lebih penting buat bayi yang dikandungnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: