PELABUHAN KLANG: “Inilah baru betul-betul puasa. Dugaan Allah pada awal Ramadan,” kata Mohd Nizam Ismail, 30, seorang daripada mangsa kebakaran 10 unit rumah di Blok A, Rumah Pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Pandamaran Jaya, di sini, semalam.
TINGGAL RANGKA...bumbung Blok A flat PKNS yang musnah terbakar, petang semalam.
CEMAS...Azlin (kanan) menceritakan detik-detik rumahnya terbakar.
Mohd Nizam berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di Seksyen 15 Shah Alam dan kejadian itu disedari selepas pengasuh anaknya yang tinggal di tingkat tiga menghubungi memberitahu rumahnya terbakar.
“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba api sedang marak membakar bumbung. Saya cuba naik, tapi dihalang pihak berkuasa dan penduduk di sini.
“Mujur ketika kejadian tiada siapa di rumah, empat ahli keluarga termasuk isteri (Halijah Abd Razak, 32) keluar bekerja,” katanya, semalam.
Mohd Nizam berkata dia mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila semua barang di dalam rumahnya gagal diselamatkan.
“Sebenarnya, saya sudah siapkan beberapa kelengkapan termasuk beli baju raya untuk anak serta tukar langsir baru awal-awal lagi, tapi semuanya hilang sekelip mata.
“Walau apapun saya kena reda, dan anggap ini dugaan dari Yang Maha Esa untuk saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman sementara di dewan orang ramai Pandamaran Jaya.
Seorang lagi mangsa, Azlin Mohd Ali, 27, berkata ketika kejadian dia bersama anak berusia tujuh bulan dan tujuh tahun yang berada di dalam rumah sebelum terhidu bau asap.
“Anak kecil saya demam dan batuk-batuk sebelum saya buka pintu dan terbau kari hangit sebelum terdengar satu letupan kuat dari rumah sewa dihuni warga Bangladesh.
“Saya kemudian ketuk pintu jiran beritahu ada kebakaran sebelum menjerit ketakutan dan menghubungi ketua flat. “Kemudian satu lagi letupan sebelum saya mengendong dua anak saya lari turun ke bawah menyelamatkan diri,” katanya menambah semua barang termasuk lampin dan susu anaknya gagal diselamatkan.Timbalan Penguasa Bomba Zon Klang, Jamaludin Ismail, berkata pihak bomba dan penyelamat menerima panggilan kecemasan jam 4.17 petang dan jentera pertama tiba tujuh minit kemudian.
Menurutnya, tiga jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang berjaya mengawal kebakaran jam 4.39 petang dan api padam sepenuhnya jam 5.54 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: