KUCHING: Mahkamah Kanak-Kanak di sini, semalam, mengembalikan hak penjagaan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang sebelum ini disyaki diseludup dari negara jiran kepada keluarga ahli perniagaan bergelar Datuk dan Datin, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkannya cucu mereka.Bagaimanapun, keputusan DNA empat lagi bayi dan kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 12 tahun yang didakwa anak pasangan itu tidak dapat disah berikutan mahkamah belum mendapat laporan lengkap polis.Laporan mengesahkan kanak-kanak lelaki yang sebelum ini diserah polis kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, menyamai sampel DNA diambil daripada menantu perempuan ahli perniagaan berkenaan.
Hakim Maris Agan dalam perbicaraan tertutup, mengarahkan JKM mengembalikan kanak-kanak itu yang diserah hak penjagaannya kepada JKM sejak 14 Julai lalu kepada keluarga sebenar, namun mengekalkan hak penjagaan empat lagi kanak-kanak dan bayi.
Peguam yang mewakili ahli keluarga pasangan Datuk dan Datin, Francis Wee mengesahkan ada kekeliruan pada keputusan DNA yang dilakukan ke atas empat kanak-kanak dan bayi dengan dokumen mengenainya belum diserahkan polis.
“Selepas ini kita akan memohon mahkamah tidak lagi menunggu laporan polis sebaliknya menggunakan laporan JKM bagi menuntut hak penjagaan itu,” katanya yang memaklumkan perbicaraan semula 26 Ogos ini.
Sejurus mahkamah ditangguhkan, Datuk berkenaan terus mendukung kanak-kanak lelaki itu sambil isterinya menitiskan air mata berikutan gagal menuntut hak penjagaan empat kanak-kanak dan bayi itu.
Terdahulu, seorang ahli keluarga kes itu memarahi wartawan dan jurugambar termasuk mendakwa dipijak kakinya oleh jurugambar yang cuba merakam gambar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: