Saturday, August 7, 2010

Datuk skim cepat kaya kena tahan

Lima termasuk gadis 23 tahun ditangkap 
polis setakat ini

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk dipercayai ketua sindiket skim cepat kaya yang ditumpaskan polis dalam serbuan di Bandar Sunway, akhir bulan lalu, bersama orang kanannya, ditahan secara berasingan, masing-masing di Bukit Bintang, malam kelmarin dan di Shah Alam, awal pagi semalam.Datuk berusia 43 tahun itu ditahan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman serta maklumat seorang gadis dan orang kanannya yang masing-masing menyerah diri dan ditahan polis, Sabtu dan Isnin lalu.Ketua Penolong Pengarah (Operasi) JSJK Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa, berkata JSJK Selangor turut menahan seorang lelaki juga berusia 43 tahun, orang kanan Datuk itu di premis perniagaannya yang terletak dalam bangunan sebuah kompleks membeli belah terkenal di Shah Alam di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Difahamkan Datuk berkenaan pernah aktif mempromosi produk kesihatan yang dijual sebuah syarikat jualan langsung beberapa tahun lalu yang lesennya dibatalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dua bulan lalu.

"Penahanan kedua-dua lelaki itu menjadikan jumlah tangkapan dalang kumpulan itu setakat ini lima orang termasuk wanita berusia 23 tahun yang dikatakan ikon skim berkenaan.

"Walaupun kami sudah menahan ketuanya tetapi siasatan akan diteruskan bagi memastikan semua yang terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya di sini, semalam.
Berita Harian sebelum ini melaporkan polis menumpaskan sindiket skim cepat kaya yang mensasarkan golongan muda sebagai mangsa dan turut merampas 17 kereta mewah termasuk Mercedes Benz, Nissan Fair Lady, BMW dan Mazda yang dijadikan umpan untuk menarik orang ramai menyertai skim itu.

Sindiket itu yang beroperasi sejak tiga tahun lalu, dipercayai mempunyai lebih 10,000 ahli membabitkan pelaburan berjuta-juta ringgit sebulan. Sindiket itu menawarkan skim pelaburan antara RM2,000 hingga RM41,000 dengan ahli disyaratkan mencari 10 'downline' bagi mendapatkan pulangan modal, selain keuntungan lumayan setiap bulan.

Susulan kejayaan itu, polis turut menyerbu sebuah syarikat jualan langsung di Jalan Teng Kat Tong Shin, Bukit Bintang, Jumaat lalu dan menyoal siasat pengurus besarnya berusia 40-an berhubung pembabitan syarikat berkenaan dalam skim berkenaan.

Sementara itu, Rohaimi berkata, tempoh tahanan reman wanita yang menyerah diri kepada polis di Ibu Pejabat Polis JSJK di Bukit Perdana di sini, Sabtu lalu yang sepatutnya tamat semalam disambung hingga Isnin ini.

"Remannya disambung bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci dan disiasat mengikut seksyen sama kerana menipu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: