Thursday, August 12, 2010

Dapat surau baru menjelang Ramadan


Salleh Yusup (empat dari kanan) bergambar bersama AJK Surau Al-Hijrah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri Kepong, Kuala Lumpur.


DOA dan harapan warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri Kepong, Kuala Lumpur untuk memiliki surau yang lebih selesa dengan pelbagai kemudahan yang diberi nama Al-Hijrah akhirnya tercapai, sekali gus menamatkan penantian mereka selama ini.

Apa yang lebih menggembirakan para penduduk ialah surau itu dapat digunakan menjelang ketibaan Ramadan.

Surau Al-Hijrah yang boleh memuatkan kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa memberi kemudahan kepada penduduk sekitar untuk menjalani pelbagai aktiviti ibadat dengan lebih selesa.

Satu majlis penyerahan kunci surau itu telah diadakan baru-baru ini di antara pihak kontraktor kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seterusnya diserahkan kepada penduduk PPR Intan Baiduri.

Majlis yang disempurnakan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup itu turut dihadiri Pengarah Urusan Norlela Construction Sdn. Bhd., Datuk Nazeri Zainuddin; Pengerusi Persatuan Penduduk, Nasir Sali; Pengerusi Surau, A. Aziz Sidek; Imam Surau, Salim Salleh dan Pengerusi Masjid Anas Bin Malik, Abd. Ghaffar Buyung serta penduduk PPR Intan Baiduri.

Salleh dalam ucapan ringkasnya berkata, dengan adanya surau baru itu ia akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan buat penduduk PPR Intan Baiduri untuk melakukan pelbagai aktiviti terutama dalam bulan Ramadan ini.

Katanya, segala kemudahan yang disediakan perlu digunakan sebaik mungkin dan pihak DBKL juga sentiasa berusaha agar kehidupan di PPR itu sentiasa dalam keadaan terbaik dan memuaskan.

Bagi memberi kemudahan kepada penduduk sekitar, pihak DBKL sedang menunggu surat pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membolehkan surau itu melakukan solat Jumaat.

"Dengan kelulusan untuk menjadikan surau Jumaat itu nanti ia akan memberi kemudahan bukan sahaja bagi warga PPR Intan Baiduri malah penduduk sekitar,'' katanya.

A. Aziz pula berkata, kini segala penantian sudah berakhir dan bersyukur kerana doa dan harapan penduduk berkenaan selama ini untuk memiliki surau lebih sempurna dan selesa akhirnya termakbul.

Katanya, surau itu dapat memberi kemudahan untuk warga PPR melakukan pelbagai program.

Pihak AJK surau pula katanya, akan cuba memikirkan bentuk-bentuk program agar aktiviti di surau ini akan terus hidup.

Sementara itu Setiausaha Surau Al-Hijrah, Ar. Razak Sahimi pula berkata, sebelum ini penduduk PPR memiliki sebuah surau di bawah blok bangunan namun sering berlaku kesesakan kerana ruang yang agak kecil apabila terdapat aktiviti atau majlis tertentu.

Kini katanya, surau baru itu akan dapat memberi ruang yang lebih luas sekali gus memberi keselesaan kepada para jemaah untuk mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan khasnya.

Surau Al-Hijrah yang bernilai hampir RM2 juta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya bilik audio, bilik imam, pejabat serta bilik kelas agama.

Juga disediakan ruang dapur dan dewan makan yang luas dan selesa, bilik jenazah serta tandas dan ruang wuduk yang dilengkapi kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: