Saturday, August 7, 2010

Ceburi foto kerana minat


Kamalia Kamal bersama (belakang dari kiri) Norizan Akir, NurIlyani Ab. Ghani, Norhidayah Mohd. Nor dan Rashidah Ahmad di ThePhotolicious, baru-baru ini.


TANPA ilmu yang selengkapnya dalam bidang seni foto, hanya berlandaskan minat semata, wanita-wanita muda ini sanggup bersengkang mata menjadi seorang jurugambar profesional kerana mahu membuktikan sesuatu.

Bagi mereka kepuasan diri dapat dikecapi selepas melihat gambar-gambar cantik yang dihasilkan hasil daripada kreativiti sendiri dengan menyertai ThePhotolicious sebagai jurugambar profesional.

Uniknya, biarpun rata-rata usia mereka masih muda, ada yang masih bekerja, suri rumah tangga dan masih belajar namun jurufoto-jurufoto ini mampu meraih pendapatan di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Bagi Norizan Akir, 29, bidang fotografi amat menarik minatnya sehinggakan dia menjadikannya sebagai kerja sambilan di hujung minggu kerana dia merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat komputer.

''Saya menyertai ThePhotolicious kerana berpendapat pengalaman bukan mudah untuk dicari.

''Suami saya pun berminat dengan bidang foto tetapi tiada masa, jadi minat dia saya teruskan dengan mempelajari bidang ini sehinggalah saya ke peringkat ini,'' tambah ibu muda yang mempunyai anak berusia tiga tahun ini.

Berasal dari Negeri Sembilan, Norizan menjadikan pengalamannya sewaktu bersanding dahulu tidak berkesempatan mempunyai gambar-gambar yang menarik menyebabkan dia menceburi bidang ini.

Pada awalnya, Norizan memberitahu kesukaran dihadapi membahagi masa antara anak dan suami, namun itu suami dapat diatasi kini.

''Apa yang penting dengan menceburkan diri dalam bidang ini kita dapat mengenal ramai orang, pelbagai budaya dan pengalaman,'' jelasnya.

Rakannya, Rashidah Ahmad, 35, seorang suri rumah sepenuh masa. Berasal dari Sekinchan, Selangor, mendalami ilmu-ilmu fotografi di ThePhotolicious selama setahun sebelum menjadi jurufoto senior.

Mempunyai tiga orang cahaya mata berusia 12, 9 dan 3 tahun, dia juga menceburi bidang fotografi kerana minat.

''Suami saya pun berminat dengan bidang fotografi, dia yang beri galakan,'' katanya.

Beliau memberitahu, jurufoto wanita masih lagi dipandang remeh oleh masyarakat.

''Ada kalanya kita ditanya adakah kita mempunyai kemahiran yang cukup untuk mengambil gambar mereka. Itu belum lagi pandangan warga emas yang terkejut melihat aksi kita ketika berada di hadapan tetamu mengambil gambar.

''Namun kita beri kesungguhan dan menunjukkan hasil gambarnya sudah pasti orang akan percaya dengan kemampuan kita,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Norhidayah Mohd. Nor, 22, yang berasal dari Kuala Lumpur selalu mengikuti rakan-rakan senior yang lain menimba ilmu untuk mencipta pengalaman.

''Saya memang benar-benar berminat dengan bidang ini dan insya-Allah saya akan teruskan sebagai kerjaya saya. Jangan cakap wanita tidak pandai mengambil gambar, mereka ini lebih kemas, kreatif, tepat pada masa dan boleh diharap,'' katanya.

Sementara itu, Nur Ilyani Ab. Ghani, 23, anak Kelantan yang telah setahun menceburi bidang foto dengan menimba ilmu fotografi di ThePhotolicious.

''Saya suka lakukan kerja-kerja luar begini. Melalui bidang fotografi kita akan mengenal ramai orang dan boleh menambahkan pendapatan,'' jelasnya.

Dia memberitahu memang kerja sebagai jurufoto cukup sibuk terutama pada musim cuti sekolah. Malah terpaksa pula pergi ke sesuatu tempat, seharian berada di sana untuk menyiapkan kerja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: