![]() |
| Dr. Tee E Siong (barisan belakang paling kiri), bergambar bersama-sama pemenang. |
LEBIH 700 murid sekolah rendah dari 27 buah sekolah rendah di Lembah Klang telah mengambil bahagian dalam peraduan 'Buku Skrap Sihatku' antara sekolah yang dianjurkan di bawah Program Bulanan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM).
Tiga buah sekolah yang menghantar paling banyak penyertaan ialah Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, iaitu 244 penyertaan diikuti Sekolah Kebangsaan Convent (1) Klang sebanyak 209 penyertaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khe Beng dengan 97 penyertaan.
Kanak-kanak tersebut telah mempamerkan kreativiti mereka di dalam buku skrap tersebut dengan memperlihatkan sajian makanan mereka dan aktiviti yang dilakukan selama tujuh hari.
Mereka menggunakan pelbagai cara penceritaan seperti lukisan, gambar dari majalah, bungkusan makanan dan nota bagi menyediakan buku skrap.
Peraduan buku skrap itu adalah sebahagian daripada aktiviti NMM 2010 dan dipromosikan menerusi Pameran Bergerak Sekolah NutriFun Roadshow.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan NMM, Dr. Tee E Siong berkata, pihaknya amat teruja melihatkan sambutan yang diterima begitu memberangsangkan daripada pihak sekolah dan pelajar.
"Dari bulan April hingga Julai, pameran bergerak NMM telah mengunjungi 56 buah sekolah dan mencapai lebih 7,000 orang pelajar. Pameran bergerak ini akan ke beberapa buah sekolah lagi sehingga awal Ogos,'' kata Dr. Tee semasa berucap di majlis penutup dan Karnival Keluarga NMM di Pusat Pameran Mid Valley baru-baru ini.
Tiga orang pemenang bagi setiap kategori, iaitu tahap rendah atas dan tahap rendah bawah telah terpilih berasaskan kandungan, kreativiti dan gaya persembahan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: