DIA pernah membawa aliran baru dalam dunia perfileman. Sejak berjaya memikat hati penggemar filem dengan kisah thriller-cemas, The Sixth Sense, The Unbreakables dan juga The Signs, filem arahan M Night Shyamalan begitu ditunggu-tunggu peminat. Masing-masing tidak sabar untuk menantikan kejutan yang menanti pada pengakhiran cerita, kerana itulah yang menjadi pertaruhan Shyamalan sejak dia mula bergelar sutradara.Terbaru, Shyamalan muncul dengan sebuah filem yang dibuat berdasarkan siri animasi yang mendapat sambutan hangat di saluran Nickelodeon, The Last Airbender. Melihat treler yang sudah pun ditayangkan di pawagam beberapa bulan lalu, tidak dinafikan filem aksi ini sarat dengan elemen imej janaan komputer (CGI) yang amat mengagumkan terutama penggemar tegar siri TV ini.Sentuhan Shyamalan bukan saja dari segi pengarahan, malah dia juga menulis skrip filem cereka. Bagaimanapun The Last Airbender muncul naskhah pertama tulisan Shyamalan yang diadaptasi daripada siri popular, berbanding filem sebelum ini yang kebanyakannya idea dirinya sendiri.
"Menulis naskhah sebuah karya yang sudah popular sebenarnya memberikan cabaran besar. Kalau boleh saya tak mahu inti patinya tersasar apabila diangkat ke layar perak. Bagaimanapun, melihat kepada keseluruhan cerita ini, isi kandungannya memang bersesuaian buat saya. Ia ada kaitan dengan agama Hindu dan juga falsafah agama Buddha, serta memperkasakan golongan kanak-kanak khususnya.
"Begitu juga dengan elemen lain yang ditonjolkan dalam filem ini seperti kuasa luar biasa yang boleh memanipulasi empat unsur alam, kaitan manusia dengan alam sekitar, serta seni mempertahankan diri yang kesemuanya saya pernah pelajari. Seni bela diri pula memang kegemaran saya," kata Shyamalan.
The Last Airbender mengisahkan tamadun manusia dulu kala terbahagi kepada empat unsur air, api, tanah dan udara. Bagaimanapun, takdir merubah segala-galanya apabila puak Api melancarkan peperangan ke atas tiga puak tadi. Sedekad berlalu namun masih belum ada tanda keadaan akan berubah menjadi seperti sedia kala.
Kemunculan Aang (Noah Ringer), satu-satunya waris terakhir puak Udara serta Avatar yang mampu memanipulasi keempat-empat unsur itu mengubah keadaan menjadi sebaliknya. Bersama Katara dan abangnya, Sokka dari puak Air, mereka mengumpulkan kekuatan untuk memusnahkan puak Api, seterusnya memberi keseimbangan kepada dunia seperti pada awal kewujudannya dulu.
Jika sebelum ini kebanyakan karya Shyamalan tidak memerlukan teknik imej janaan berkomputer yang hebat, namun untuk The Last Airbender yang boleh dianggap sebuah filem epik, pastinya ia memberi sedikit kegusaran kepada si pengarah.
"Memang betul kerana kebanyakan lokasi filem ini menggunakan teknik “Greenland”. Perasaan bimbang juga semakin terasa apabila kami mengadakan penggambaran untuk babak pertarungan antara Puak Air Utara dan ia membabitkan beribu pelakon tambahan di set ciptaan yang sungguh besar ini. Buat seketika saya hilang punca sehinggakan hampir seminggu juga saya tak sedar apa yang saya lakukan,” katanya sambil tergelak.
Selain set ciptaan, The Last Airbender juga menggunakan kawasan glasier sebenar sebagai satu daripada lokasinya. Mengulas keberaniannya menggunakan lokasi itu, Shyamalan berkata, dia sanggup melakukannya hanya selepas keselamatan semua pihak dijamin.
"Kalau hendak diikutkan, ia memang kerja gila tetapi apabila selepas pihak yang menjaga keselamatan memberi taklimat keselamatan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang penggambaran berlangsung di kawasan itu, kami nekad meneruskannya. Mujurlah sepanjang penggambaran ini dilakukan, tiada sebarang insiden yang berlaku," ceritanya.
Melihat kepada senarai pelakon yang membintangi filem ini, boleh dikatakan kebanyakannya kurang dikenali. Kalau ada pun, hanyalah beberapa kerat. Tentu ada alasan yang munasabah sehingga dia membuat keputusan sebegitu.
"Kadang-kadang, tak semua yang kita suka, orang lain juga akan suka. Sebenarnya saya pernah terfikir, apa kata kita tak tunjukkan langsung siapa pelakon, kita tak guna mereka, penonton pun tak nampak mereka, tidak benarkan mereka membuat sebarang temubual, biarkan filem itu yang menceritakan segala-galanya. Jadi mungkin orang akan berfikir bahawa itulah karakter sebenar mereka. Tapi saya tidak akan berbuat begitu,” katanya separuh berseloroh.
Jadi sasaran pengkritik filem
ENTAH mengapa, beberapa filem arahan Shyamalan terakhir mendapat ulasan negatif daripada pengkritik filem. Lady In The Water dan The Happening ialah contoh terbaik karya Shyamalan yang tidak disukai pengulas filem. Mengarut serta kehilangan idea, itulah persepsi pengkritik terhadap dua filem berkenaan. Bagaimanapun, selepas dua tahun tidak muncul dengan buah tangan terbaru, Shyamalan kembali dengan The Last Airbender.
Bagaimanapun, filem ini masih belum dapat memenangi hati pengkritik di luar sana apabila masih ramai yang tidak suka dengan karya terbarunya. Kebanyakan mereka berpendapat, Shyamalan begitu terdesak untuk membuat filem ala epik trilogi seperti Star Wars dan Lord Of The Rings sehingga mengabaikan banyak perkara.
Tambah mereka, selepas berada dalam dunia wayang hampir sedekad lamanya dan mempunyai lebih enam filem, namun tidak ada yang lebih teruk dari filem terbarunya ini.
Bunyinya begitu kejam, namun itulah perspektif jujur mereka dari segi lakon layar hinggalah kepada pemilihan pelakon serta dialog yang dilontarkan, semuanya bagai ada yang tak kena.
Apakah ini satu petanda bahawa Shyamalan perlu berundur seketika untuk mencari lebih banyak idea yang menarik ataupun sebenarnya pengkritik itu sendiri tidak memahami apa yang dikehendaki pengarah terkenal ini. Bagaimanapun, filem ini pasti mempunyai peminatnya tersendiri. Memandangkan ia adalah siri popular dari saluran Nickleodeon, tidak mustahil filem ini tetap akan ditonton oleh golongan kanak-kanak yang mahu melihat bagaimanakah rupanya filem kegemaran mereka dipindahkan di layar lebar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: