Friday, August 6, 2010

Buktikan wanita juga boleh

WALAUPUN berkhidmat dalam bidang guaman sebagai kerjaya asalnya dengan memiliki tiga firma guaman, Kartika Wati Mohamed tetap mahu meluaskan skop bidang perniagaan yang diusahakannya selama ini.

KARTIKA WATI...harus cekal untuk bergelar usahawan berjaya.
KARTIKA WATI...harus cekal untuk bergelar usahawan berjaya.
Dia yang mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak usia 12 tahun lagi dengan melakukan aktiviti jualan kecil-kecilan di sekolah pada ketika itu tidak pernah gentar untuk mencuba sesuatu yang baru.

Kartika Wati, 39, berkata, bakat berniaga diwarisi daripada ibunya yang sememangnya seorang peniaga berjaya. Pada awal pembabitan dalam bidang perniagaan, dia memulakannya dengan membuka butik pakaian di Kelantan.

“Saya sangat menghormati ibu saya dan menganggapnya sebagai idola yang perlu dicontohi dalam bidang perniagaan. Sungguhpun perniagaan yang dilakukannya secara kecil-kecilan, ia tetap besar bagi kami adik-beradik.

“Apa yang penting adalah cara untuk mempelbagaikan perniagaan dan menarik minat pelanggan kepada produk yang dipasarkan,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, semua adik-beradiknya memiliki perniagaan sendiri dan tiada seorangpun daripada mereka yang bekerja makan gaji dengan mana-mana syarikat ataupun perusahaan.“Butik itu adalah titik permulaan pembabitan saya dalam bidang perniagaan. Kini butik berkenaan masih beroperasi dan diuruskan ibu saya.


“Saya yakin sesiapa saja mampu berjaya sekiranya usaha dan tekad dalam diri kuat bagi memastikan apa dilakukan mencapai hasil yang diingini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Kini, Kartika Wati berjaya membina empayar sendiri yang sudah diusahakan sejak 10 tahun lalu.

Dengan tertubuhnya firma guaman Kartika & Co dan terbaru Eskayvie, sudah pasti banyak masa perlu dihabiskan untuk memantapkan lagi perniagaan yang diusahakan.

Dia mengakui lima tahun pertama bertapak dalam bidang perniagaan itu bukan sesuatu yang mudah dan perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan memiliki sema­ngat yang kental.

“Anak-anak masih kecil ketika itu, namun saya perlu meninggalkan mereka semata-mata untuk menguruskan perniagaan. Ibu mana yang tidak sedih terpaksa berpisah dengan anak.

“Tapi saya jadikan ia sebagai pembakar semangat dan beranggapan ia hanya untuk sementara dan perlu melalui­nya dengan tabah,” katanya.

Di samping itu juga, Kartika Wati berkata, suami dan anak-anaknya sangat memahami kesibukan kerja yang dilaluinya dan sentiasa memberikan sokongan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.

“Saya bernasib baik anak-anak sangat memahami bahawa apa yang dilakukan adalah untuk mereka. Sungguhpun masih kecil ketika itu, mereka tidak banyak kerenah dan ia memberikan saya lebih kekuatan untuk terus berjaya.

“Saya menyediakan semua kelengkapan mereka terlebih dulu sebelum pergi kerja dan sebelum meninggalkan mereka bersama pembantu rumah. Ia adalah perkara wajib yang akan saya lakukan,” katanya.

Kartika Wati yang kini sedang menantikan kelahiran anak ketujuhnya itu berkata, walaupun mengalami kesibukan kerja yang menuntut kesabaran tinggi, pembahagian masa juga amat penting.

“Saya perlu membahagikan masa untuk keluarga dan perniagaan kerana kedua-duanya amat penting dalam hidup saya.

“Saya perlu pastikan keseimbangan antara kedua-duanya. Walau sesibuk manapun, saya akan pastikan masa berkualiti tetap dihabiskan bersama anak dan suami di rumah,” katanya.

Malah, pada masa sama, dia turut mendapat kontrak melaksanakan kem khidmat negara yang dinamakan Kem Cancun di Pasir Mas, Kelantan yang sudah beroperasi sejak 2004.

Pada peringkat awal, katanya, dia dapat merasakan agak dipandang rendah kerana menjadi satu-satunya kem dikendalikan operator wanita yang berjaya melakukannya.

“Malah, saya dapat rasakan ada sedikit diskriminasi jantina memandangkan saya wanita pertama yang mendapat kontrak membina kem latihan khidmat negara pada waktu itu.

“Tapi saya tidak pernah menghiraukan semua perkara itu, sebaliknya menganggap ia satu cabaran yang perlu dilalui dengan jaya,” katanya.

Apa yang penting, katanya, dalam hidup perlu sentiasa menetapkan dalam diri agar tidak mudah mengaku kalah dalam segala bidang yang diceburi.

“Tidak salah untuk berasa kecewa tapi jangan biarkan ia berlanjutan kerana kita perlu bangkit kembali untuk meneruskan perjuangan yang tertinggal sebelum ini.

“Malah, saya amat yakin jika apa yang kita lakukan itu betul dan memberi manfaat kepada semua, maka segalanya akan berjalan lancar. Tapi jika sebaliknya, tentu ada pelbagai dugaan me­nyelubungi perjalanan kerjaya kita nanti,” katanya.

PROFIL
NAMA: Kartika Wati Mohamed
USIA: 39 tahun
TARIKH LAHIR: 31 Julai 1970
KERJAYA: Peguam dan Usahawan
ASAL: Tumpat, Kelantan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: