Wednesday, August 11, 2010

Bukan sekadar syurga berbelanja


PERAHU tambang yang dimudik oleh kanak-kanak menjadi pengangkutan utama kepada orang ramai untuk menyeberang sungai di kota Garut.


KOTA Bandung, Indonesia boleh menjadi salah sebuah destinasi percutian dengan seribu satu macam keunikan pengalaman, tetapi tidak ketika cuti persekolahan negara itu. Ketika itu, Bandung, ibu negeri bagi bahagian Jawa Barat ini menerima limpahan pengunjung dari seluruh Indonesia menyebabkan kesesakan yang luar biasa.

Justeru, tips pertama sebelum anda memilih bercuti ke Bandung ialah elak ketika cuti umum persekolahan negara itu. Anda boleh menyemak jadual persekolahan tersebut sama ada di Internet atau bertanya terus di kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Jika anda mengambil mudah mengenai perkara ini, sebahagian besar dari masa anda di sana akan dihabiskan dalam kesesakan jalan raya.

Pengalaman itu benar-benar menginsafkan penulis serta lapan orang wakil media lain yang mengikuti percutian ke kota kedua terbesar selepas Jakarta itu, baru-baru ini. Lawatan sambil bekerja itu merupakan program tajaan Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dalam rangka mempromosikan destinasi terbaru mereka ke Bandung yang mula beroperasi pada 16 Julai lalu. Pada kekerapan setiap hari, penerbangan KLIA-Bandung-KLIA menjadi destinasi terbaru syarikat itu ke Indonesia selepas Jakarta, Denpasar, Medan, Surabaya, dan Jogjakarta.

Bagaimanapun, di sebalik pengalaman yang sedikit menyesakkan, percutian selama empat hari ke kota yang sinonim dengan jolokan `Paris Van Java' itu tetap membekas pengalaman yang mengesankan. Apa yang boleh disimpulkan, Bandung yang terkenal dengan jolokan Kota Kembang di kalangan penduduk tempatan sangat tebal dengan elemen kebudayaan yang bersatu dengan kekayaan alam semula jadinya. Gabungan itu membentuk sebuah tamadun kehidupan yang begitu menarik untuk didekati dan diterokai. Anda bukan sahaja akan terpesona dengan alunan merdu dari alat muzik tradisional iaitu angklung. Malah akan jatuh hati dengan kehalusan seni batik Jawa pelbagai warna dan corak yang kebanyakannya berlukis tangan.

Hamparan sawah padi di kaki gunung serta ladang teh menghijau yang membentuk kebanyakan muka buminya juga menerbitkan rasa kedamaian yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Mendongak ke langit, anda akan melihat puncak-puncak gunung berapi yang diselimuti kabus tebal. Seolah-olah melihat lukisan pemandangan alam yang sungguh luar biasa indahnya. Berkeluasan kira-kira 34.736 kilometer persegi, penduduk Bandung berjumlah kira-kira dua juta orang dengan kebanyakan daripada mereka merupakan masyarakat Melayu Sunda.

Kawasan ini juga terletak pada ketinggian 768 meter dari paras laut dan dikelilingi oleh beberapa buah gunung berapi yang masih aktif. Antaranya gunung berapi Tangkuban Parahu, Papandayan, Guntur, Ciremai dan banyak lagi. Justeru, produk pelancongan di daerah ini lebih terkenal dengan elemen-elemen yang berkait rapat dengan aktiviti gunung berapi seperti kawah gunung berapi, kolam mata air panas, pergunungan selain udara tanah tinggi yang nyaman. Dalam erti kata yang lain, Bandung sebenarnya mempunyai lebih banyak tarikan selain sebagai syurga membeli-belah yang sering sinonim khususnya di kalangan pelancong Malaysia.

Memang tidak dinafikan, kota Bandung itu sendiri terlalu padat dengan kedai-kedai butik berjenama antarabangsa yang menawarkan pelbagai barangan pada harga yang sangat murah dan berpatutan. Di sepanjang Jalan Riau misalnya, anda boleh mengunjungi deretan kedai di The Summit Boutique Outlet. Rumah Mode, yang dikatakan lokasi wajib pelancong Malaysia pula terletak di Jalan Setiabudi.

Tidak lengkap juga percutian ke Bandung tanpa singgah di Pasar Baru yang terkenal dengan produk kain ela, baju kebaya, telekung dan pelbagai macam lagi yang harganya berganda-ganda murah berbanding di Malaysia. Tetapi untuk pengalaman yang sedikit berbeza di Bandung, anda perlu keluar dari kota yang sesak ini dan menjelajah wilayah-wilayah kecil yang bertebara di sekelilingnya. Salah satu persinggahan wajib ialah puncak gunung berapi Tangkuban Parahu yang terletak sekitar 20 kilometer ke utara Kota Bandung. Gunung setinggi 2,084 meter ini masih lagi aktif dan membebaskan gas belerang dan sumber air panas.

Selain pengangkutan darat, kawah gunung berapi ini juga boleh dijejaki dengan mendaki bukit bagi mereka yang sukakan cabaran. Cuba juga bertanya kepada penduduk tempatan mengenai mitos di sebalik nama gunung ini kerana ia menyimpan sebuah cerita yang menarik untuk didengari. Kononnya, asal-usul Gunung Tangkuban Parahu dikaitkan dengan legenda Sangkuriang yang dikatakan jatuh cinta kepada ibunya sendiri iaitu Dayang Sumbi. Kerana mahu menghalang hasrat anaknya menikahinya, Dayang Sumbi telah mengenakan syarat supaya Sangkuriang membuat perahu dalam satu malam.

Namun, usahanya itu gagal menyebabkan Sangkuriang menendang perahunya sehingga terbalik kerana terlalu marah. Perahu itulah yang kemudiannya membentuk gunung berapi Tangkuban Parahu. Terbentuk daripada letusan gunung berapi, sebahagian besar dan salah satunya ialah Ciater, lokasi perkelahan kolam air panas yang cukup popular.

Kawasan seluas 30 hektar ini terletak di kaki gunung berapi Tangkuban Parahu dan dikelilingi oleh hutan dara pokok ater. Anda boleh memilih untuk berkelah di kawasan yang terbuka atau lebih peribadi dengan menyewa resort yang mempunyai kolam air panas sendiri. Jika kota Bandung terkenal dengan jolokan Paris Van Java kerana tarikan syurga membeli belahnya, Garut pula sinonim dengan panggilan Swiss Van Java kerana keindahan alam semulajadinya Antara objek pelancongan yang jarang didekati pengunjung di kota ini ialah candi Hindu yang dipercayai dibina pada abad ke-8. Menariknya, candi Cangkuang itu terletak bersebelahan makam seorang sufi Islam bernama Amir Muhammad.

Makam dan candi itu adalah manifestasi pertembungan dua agama di wilayah itu pada kurun ke 10. Kira-kira enam kilometer dari Garut pula, terletak sebuah lagi kolam air panas yang tidak kurang popularnya iaitu Cipanas. Kawasan yang berada betul-betul di kaki Gunung Guntur ini kebiasaannya menjadi lokasi perhentian bagi mereka ke sini kerana ia menyediakan resort yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. Dari sini juga, anda boleh memilih untuk ke air terjun Curug Citis sebelum mendaki ke puncak Gunung Guntur yang mengambil masa perjalanan selama kira-kira empat jam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: