Tuesday, August 10, 2010

Bukan mahu sorok anak

SUATU ketika dulu, mungkin bakat lakonannya tidak dipandang orang. Namun, kini semuanya sudah berubah buat pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie atau Noor, 34. Sekalipun sudah bergelar ibu, tawaran berlakon diterimanya masih banyak termasuk mengacara.

pix_middle
Bagi Noor, sudah tiba masanya dia maju selangkah lagi dalam karier seninya. Kata wanita kelahiran Raub, Pahang itu, sampai bila dia mahu mengharap kepada lakonan semata-mata. Rugi rasanya sebagai insan seni, jika dia tidak mencuba bidang lain.

Justeru, apabila TV9 memberi kepercayaan padanya untuk mengacarakan program Hip TV bersama Richie Rachman, ia tidak ditolak. Apapun, jadual pengacaraan Noor berselang-seli dengan Richie setiap minggu. Jadi, apakah Noor berjaya membuktikannya?

Menurut Noor, masih banyak yang perlu dipelajarinya. Oleh itu, dia sedar masih jauh lagi perjalanannya untuk berada di kemuncak kejayaan. Katanya, jika lakonan menuntut dia berjuang lebih 10 tahun untuk memantapkan nama apatah lagi sebagai pengacara.

“Apa yang pasti, saya seronok mengacarakan Hip TV. Ia program hiburan santai yang sesuai untuk seisi keluarga. Bahkan, pengalaman tak dapat dilupakan ketika bersama komposer terkenal Azmeer selaku tetamu jemputan. Saya amat takut dengannya.

“Perasaan itu menyebabkan saya tak tenteram. Maklumlah, berdepan dengan orang yang suka cakap lepas kena berhati-hati. Bagaimanapun, sangkaan meleset saya pada Azmeer terpadam selepas bekerjasama dengannya dalam Hip TV.“Ternyata, Azmeer orangnya baik dan kelakar. Cuma, kalau tak kenal mana hendak tahu sikap seseorang itu. Ditambah lagi, apabila menonton aksinya memberi komen di televisyen saja. Apapun, Azmeer adalah anak seni yang berbakat besar,” katanya.


Bertemu dengannya di lokasi penggambaran telefilem Berdosakah Aku terbitan JS Pictures Sdn Bhd milik pelakon Sheila Rusly untuk slot Carekarama TV3, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2007 ini juga ditanya mengenai anaknya, Muhammad Hudhaifah, 9 bulan.

Ini kerana, sehingga kini Noor enggan menjayakan sesi fotografi bersama anak kesayangannya hasil perkongsian hidup dengan suami tercinta, Azfaizul Ahtan. Tidak cepat melatah, Noor memaklumkan dia tidak berniat untuk menyorokkan anaknya daripada media.

“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Dalam soal ini, saya harus menghormati permintaan suami yang tidak mahu anak kami turut mendapat publisiti. Cukuplah, hanya saya saja yang dikenali ramai kerana tuntutan seorang artis.

“Manakala, suami dan anak biarlah di belakang saya menjadi penyokong setia. Bagaimanapun, sekiranya orang ramai bertemu kami di tempat umum dan mahu bergambar, saya takkan menolak. Anda boleh meminta izin mengambil gambar kami sekeluarga.

“Cuma, kalau mahu menjayakan fotografi saya bersama anak buat masa ini, rasanya tak mungkin berlaku. Namun, manalah tahu suatu hari nanti suami terbuka hati dan mengizinkan, saya takkan menolak lagi. Justeru, saya harap pihak media memahami.

“Selain itu, saya pun bukanlah pelakon yang popular sangat. Saya tak malu untuk mengaku diri artis ‘suam-suam kuku’. Ini kerana, bagi saya masih ramai insan seni hebat di persada industri tanah air,” katanya yang menghadiri uji bakat penyampai radio Hot FM.

Menyentuh soal karier sebagai penyampai radio, Noor berkata, dia sekadar mahu mencuba. Malah, sama ada dapat atau sebaliknya, dia tidak mengharap. Katanya semua itu rezeki. Jika Tuhan tetapkan ia menjadi miliknya, Noor terima dengan hati terbuka.

“Pada usia sekarang, saya mahu mencuba semua bidang seni. Saya sudah berlakon dan mengacara, mengapa tidak penyampai radio? Mana tahu, ada rezeki. Dapat juga saya peluang dan pengalaman baru. Ini semua saya lakukan kerana minat.

“Jiwa saya pada seni sangat tebal. Minat pun mendalam, jadi saya harus berani mengorak langkah dan mencuba. Apabila sudah melakukannya, saya puas. Saya tidak mengejar populariti kerana peminat sekarang sudah tahu menilai bakat seseorang artis.

“Sehubungan itu, saya sangat bersyukur dengan apa diperoleh kini. Saya harap akan terus menimba pengalaman dan berjaya dalam industri seni. Suatu ketika dulu, saya pernah berada di bawah dan melalui saat sukar untuk membina nama,” katanya.

Tambahnya lagi, dia tetap sedar pihak media banyak membantunya untuk sampai ke tahap sekarang. Oleh itu, katanya dia sentiasa berusaha menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak media supaya tiada yang berkecil hati. Tetapi, akuinya, keluarga adalah urusan peribadi.

PROFIL

NAMA: Noorkhiriah Ahmad Shapie
PANGGILAN KOMERSIAL: Noor
TARIKH LAHIR: 11 April 1977
USIA: 34 tahun
TEMPAT LAHIR: Raub, Pahang
ZODIAK: Aries
TINGGI: 154 sentimeter
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Azfaizul Ahtan
ANAK: Muhammad Hudhaifah, 9 bulan
KARIER: Pelakon dan pengacara
HOBI: Memasak dan membaca
PENCAPAIAN: Calon Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama), Anugerah Skrin 2007 & Artis Komedi Wanita Popular ABPBH2008 dan Artis Komedi Wanita Popular ABPBH2009
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya An-Nur, Neraca Kasih, Karana Cintaku Saerah, Nek KIah, Pepaya, Matahari, Kepompong, Antara Garisan, Jidin, Rawan Seorang Wanita, Agen 2x5, Simpang 3 dan Berdosakah Aku
FILEM: Gubra, Papadom
PROGRAM TV: Hip TV (TV9), Perang Lawak (TV9)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: