Thursday, August 12, 2010

Bubur lambuk Kosmo! ditunggu-tunggu


MOHAMED HASHIM (kanan) bersama Mohamed Nazim (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Akhbar Kosmo! meneruskan tradisinya pada setiap Ramadan dengan mengedarkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa di Masjid Jamek Kampung Baru di sini petang semalam.

Orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang memperoleh bubur lambuk Kosmo! tersebut mula berkumpul di kawasan masjid itu sejak pukul 4 petang walaupun ia hanya diagihkan selepas solat Asar.

Kira-kira 7,500 bungkus bubur lambuk Kosmo! habis diagihkan tidak sampai setengah jam.

Setiap orang menerima sebungkus beg plastik mengandungi dua bekas berisi bubur lambuk Kosmo!.

Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Mohammad Fahmi Asraf Khan berkata, pengedaran kali ini adalah yang ke-6 sejak Kosmo! mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai bermula tahun 2005.

"Sebanyak 15 periuk digunakan untuk memasak bubur lambuk tersebut dan kos membuatnya kira-kira RM15,000. Kita mendapat tajaan 85 kampit beras daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas)," katanya ketika ditemui.

Pengagihan bubur lambuk itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali.

Turut sama mengagihkan bubur lambuk berkenaan ialah Pengerusi Bernas, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad dan Pengarang Berita Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: