SUSUK tubuh tinggi lampai dan langsing yang kelihatan anggun menggayakan sepasang kebaya renda rona firus pantas mencuri tumpuan tetamu yang hadir.
Setelah diamati, wanita cantik itu bukanlah asing di pandangan mata. Dia adalah Marion Caunter. Pengacara yang kelihatan agak seksi dan jelita ini suatu ketika dulu pernah mengemudi program realiti Malaysian Idol dan One In A Million (OIAM) bersama-sama Awal Ashaari.Bagaimanapun, kerjaya pengacaraan wanita berusia 30 tahun itu semakin berkembang apabila dia kini melebarkan sayap ke peringkat Asia.Kekangan terhadap rutin hariannya yang sibuk tidak menghalang wanita ini untuk memikirkan soal perkahwinan. Ditanya bilakah dia mahu menamatkan zaman solonya, tanpa berselindung, Marion memberitahu ia akan berlangsung dalam waktu terdekat ini.
Tapi, bila, di mana dan siapakah jejaka bertuah yang berjaya membuka pintu hatinya?
Wanita berdarah campuran Cina - Inggeris dan Portugis ini enggan memberitahu, tetapi katanya memang dalam waktu terdekat. Wajahnya kelihatan berbunga-bunga tatkala berbicara mengenai hari bahagia.
Kata Marion, mereka sedang dalam peringkat perbincangan dengan kekasih hatinya untuk disatukan sebagai suami isteri. Sekiranya tiada aral melintang, dia dan kekasih yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu bakal disatukan tahun ini juga.
Saya terlalu sibuk hingga terpaksa mengenepikan seketika rancangan untuk berkahwin. Bagaimanapun selepas September, saya akan luangkan masa supaya dapat membuat persiapan dengan sempurna kerana banyak perkara yang perlu diuruskan. Memang saya sudah bertemu dengan jejaka yang tepat, jadi saya rasa tidak perlu lagi untuk menangguhkan perkahwinan kami.
Bagi saya, bila seseorang itu berjaya menjadikan saya orang yang lebih baik, kenapa perlu saya meraguinya. Lagipun saya bukannya muda, tahun ini usia saya 30 tahun, jadi saya berasakan ini adalah waktu yang paling tepat dan sesuai untuk saya mendirikan rumah tangga dan membina keluarga.
Walaupun kekasih saya lebih muda tiga tahun dari saya, tetapi dia ternyata seorang yang sangat matang. Setiap kali bersamanya, saya tidak pernah berasa terdapatnya jurang usia di antara kami, katanya.
Biarpun masih merahsiakan identiti kekasihnya, tetapi Marion memberitahu perkenalannya selama lima tahun dengan jejaka yang berkedudukan tinggi, muda, bujang, daripada kalangan keluarga yang dikenali ramai dan beragama Islam itu, pada awalnya tidak terkecuali mendapat tentangan keluarga.
Katanya, percintaannya tidaklah selancar di sangka kerana keluarga kedua-dua belah pihak seakan-akan keberatan dengan keputusan anak masing-masing.
Namun lama kelamaan, kata Marion, keluarga kedua-dua belah pihak nampaknya semakin dapat menerima hakikat itu. Malah, ibunya juga semakin menyayangi bakal menantunya itu.
Mungkin keluarga pun sudah tak kuasa nak menghalang kerana melihatkan cinta kami yang semakin utuh, kata Marion berseloroh.
Pada mulanya ibu saya memang kelihatan tak berapa gembira dengan perhubungan kami. Tapi apabila dia sendiri melihat keikhlasan kekasih saya, lama kelamaan hati ibu saya mula berubah. Mungkin ibu sedar, mencari lelaki yang betul-betul baik bukanlah mudah. Jadi bila saya sudah bertemu dengannya, ibu mungkin tidak lagi mahu menghalang.
Saya beruntung kerana bakal suami seorang yang sangat memahami kerjaya saya. Dialah yang banyak memberi galakkan supaya saya menerima saja setiap tawaran yang datang. Memang ibu dan dia boleh saya katakan orang yang paling kuat menyokong kerjaya saya, kata Marion.
Tempoh 14 tahun dalam bidang pengacaraan memang cukup mematangkan wanita ini, bagaimanapun dia kesal apabila ada yang menuduhnya sanggup merendahkan kredibiliti dengan menerima bayaran yang rendah semata-mata untuk muncul di dalam program terkemuka.
Saya takkan buat semua itu semata-mata untuk mendapatkan kerja atau berniat menjatuhkan sesiapa. Saya masih mempunyai nilai harga diri dan tidak tergamak menerima bayaran yang rendah semata-mata mahu diterima sebagai pengacara, katanya.
Penat tapi seronok
Sejak Mac lalu, dia memikul tugas sebagai hos E! News Asia yang berpangkalan di Singapura di samping VJ Dom. Ini menjadikan rutin hidup wanita kelahiran Pulau Pinang ini berubah 360 darjah sejak lima bulan lalu. Kini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi sahabat baiknya.
Saban minggu dia harus menjejakkan kaki ke situ untuk terbang ke Pulau Temasek bagi menjayakan rakaman E! News Asia yang diadakan setiap Khamis.
Kata Marion, ketika bertemu di majlis pelancaran saluran baru MySTORY (saluran Astro 318) baru-baru ini, kalau orang lain keluar bekerja setiap pagi menaiki kereta, dia pula terpaksa turun naik kapal terbang. Walaupun ada kalanya keletihan amat dirasai tetapi wanita ini mengakui seronok dengan tugas barunya itu.
Saya masih lagi menetap di Kuala Lumpur, hanya seminggu sekali saja saya ke
Singapura untuk menjayakan rakaman program E!
Biasanya saya takkan lama di sana (Singapura), bergantung pada kerja. Ada kalanya saya menumpang di rumah sepupu kerana tidak mahu membazir dan hanya sesekali saja menginap di hotel. Bagaimanapun ada ketikanya saya ambil penerbangan pada sebelah pagi dan pulang ke sini pada hari sama di sebelah petang.
Jadual kerja tidak menentu. Kadang kala ditugaskan ke luar negara, walaupun memenatkan tetapi saya menganggap diri saya cukup bertuah kerana berpeluang bertemu dengan ramai selebriti ternama antarabangsa, katanya.
Sehingga kini dia tidak ada masalah bergandingan dengan VJ Dom atau Dominic Lau. Mereka berpasangan sebagai perantara program E! News Asia seawal Mac lalu.
Kalau Marion dari Kuala Lumpur, VJ Dom pula dari Hong Kong tetapi bertemu di
Singapura bekerjasama menjayakan program Paparazzi untuk satu lagi saluran hiburan iaitu Channel [V]. VJ Dom di kalangan peminatnya memang bukan nama asing dalam bidang pengacaraan televisyen. Dia mempunyai senarai profil yang panjang termasuk mengendalikan program The Rock Show, [V] Countdown, Video [Scope], Remote Contro dan banyak lagi. Dia juga wajah yang sering kelihatan di saluran Starworld.
Namun apa kurangnya dengan Marion. Meskipun mungkin tidak sehebat VJ Dom, namun Marion sudah dikenali bukan saja dengan kemunculannya mengacarakan program televisyen tempatan termasuk 8TV Quickie dan One In A Million, tetapi pengacara peramah berusia juga berpengalaman mengendalikan beberapa program di Channel [V] seperti Remote Control, The Ticket dan Seoul of Asia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: