Tuesday, August 10, 2010

Berjaya tanpa bantuan


Zainuddin Mohd. Salleh menunjukkan kontena yang telah diubahsuai menjadi stor sejuk beku milik syarikat beliau untuk menyimpan daging serta tulang lembu selepas disembelih.


SAYA tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak, sama ada kerajaan mahupun mana-mana individu untuk berjaya sehingga ke tahap ini.

"Bukan saya tidak pernah mencuba untuk mendapatkan bantuan namun cubaan tersebut sering gagal kerana pelbagai alasan yang diberikan," luah Pengarah Urusan, Siantan Green (M) Sdn. Bhd., Zainuddin Mohd. Salleh.

Namun di sebalik kepayahan yang dihadapi beliau itu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat anak tempatan ini untuk terus berjaya dalam perusahaan daging lembu yang dilaksanakan kini.

Mungkin akibat kesukaran mendapatkan bantuan pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan, mahupun kerajaan membuatkan hatinya 'panas' lalu nekad untuk melaksanakan perusahaan tersebut dengan modal beliau sendiri.

Beliau yang ditemui di ladangnya di Bangi Lama, Selangor baru-baru ini berkata, beliau sedikit pun tidak berasa kesal berikutan usahanya untuk menambah modal melalui pinjaman atau bantuan tidak pernah diluluskan.

Malah katanya ia dijadikan sebagai cabaran untuk lebih menguatkan semangatnya agar berusaha dengan lebih gigih.

Menyedari tidak boleh bergantung harap hanya kepada bantuan semata-mata, Zainuddin mula secara kecil-kecilan hasil simpanan beliau ketika berada dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

"Saya sempat berkhidmat selama enam tahun sebagai anggota polis namun menyedari tuntutan perbelanjaan keluarga yang tidak pernah mencukupi saya nekad untuk berhenti dan berniaga.

"Mengapa saya memilih untuk berada di dalam bidang ini? Sebelum saya berkhidmat sebagai anggota polis saya juga pernah bekerja di kedai menjual daging lembu," jelasnya.

Sejak pada usia 13 tahun Zainuddin telah berjinak-jinak dengan perusahaan daging lembu dengan bekerja secara sambilan di pasar basah dan melalui pengalaman tersebut akhirnya beliau nekad untuk berniaga.

Beliau yang juga anak jati Muar, Johor tidak pernah menyesal dengan keputusan meninggalkan profesion sebagai anggota polis yang rata-rata di kalangan kita menganggap ia sebagai kerja yang memiliki pendapatan stabil.

Namun tidak bagi Zainuddin, malah percaturan beliau memilih bidang usahawan nyata tepat dan kini perniagaannya sedang berkembang pesat

Apa yang disematkan di hatinya pada ketika itu hanyalah ingin melihat umat Islam di negara ini menjamah daging lembu yang terjamin status halal.

Selain itu, beliau menganggap penat lelah menguruskan perniagaan sebagai memenuhi tanggungjawab serta jihad seseorang yang bergelar Muslim untuk menyediakan daging halal kepada umat Islam di negara ini.

"Tidak pula saya mengatakan bahawa semua daging yang ada di pasaran sekarang adalah tidak halal, tetapi jika orang Islam sendiri yang membekalkannya maka status halal daging tersebut adalah lebih jelas," terangnya.

Siantan Green (M) Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya syarikat 100 peratus bumiputera yang menjalankan perniagaan mengimport dan membekalkan lembu terus kepada penternak di seluruh negara.

Mengambil corak penternakan lembu secara fidlot, kebanyakan lembu yang diimport akan di 'simpan' terlebih dahulu di dalam kandang untuk digemukkan sebelum disembelih.

Oleh kerana permintaan daging segar amat tinggi di negara ini, lembu-lembu yang diimport hanya dapat di'simpan' selama sebulan lebih sahaja, malah kadang-kala lebih singkat sebelum ia disembelih.

Syarikat beliau juga turut menjalinkan kerjasama erat bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi memastikan lembu yang dibawa masuk dari Australia, Thailand, serta beberapa negara lain sentiasa memenuhi piawaian antarabangsa.

Antara aktiviti lain yang turut dilaksanakan oleh Siantan Green adalah membekalkan daging segar ke beberapa pasar raya terkemuka.

"Kini alhamdulillah kita berjaya menembusi pasar raya besar.

"Kita juga turut membekalkan daging serta lembu untuk musim perayaan serta untuk ibadah aqiqah dan korban," kata beliau lagi.

Menurut Zainuddin, beliau juga dalam proses untuk membina pusat penyembelihan lembu yang sempurna dan diiktiraf oleh kerajaan berdekatan dengan kawasan penyimpanan lembu importnya.

Ini kerana, beliau terpaksa menghantar lembu yang ingin disembelih ke rumah sembelih di Senawang, Negeri Sembilan kerana hanya di sana sahaja merupakan pusat penyembelihan yang terdekat dan diiktiraf oleh kerajaan.

Proses penghantaran lembu ke rumah penyembelihan yang lebih dikenali sebagai Kompleks Penyembelihan Senawang itu menelan belanja yang agak tinggi.

Oleh yang demikian beliau berharap dengan terbinanya pusat penyembelihan beliau sendiri kos tersebut dapat dikurangkan dan harga daging segar turut dapat direndahkan.

Sehingga kini beliau mampu menikmati keuntungan sehingga 10 peratus daripada jumlah modal yang dikeluarkan.

Malah untung kasar jualan daging segar sahaja hampir mencecah RM130,000 dan waktu puncak adalah ketika musim perayaan terutama ketika umat Islam menyambut Hari Raya Korban.

Untuk proses mengimport, syarikat beliau hanya kini lebih banyak membawa masuk lembu daripada Thailand berikutan kemudahan untuk proses pengangkutan.

Lembu yang diimport daripada Thailand terdiri daripada dua kategori berdasarkan berat iaitu untuk lembu yang beratnya melebihi 350 kilogram adalah dikhaskan untuk daging (disembelih).

Manakala kategori kedua adalah bawah 250 kilogram untuk dibekalkan kepada para penternak di seluruh negara yang berminat.

Bagi syarikat ini, risiko yang sering dihadapai hanyalah risiko penyakit kuku dan mulut, namun kerjasama dengan Jabatan Veterinar banyak membantu dalam mengawal penyebaran penyakit tersebut.

Selain itu, kos untuk makanan juga adalah rendah kerana beliau hanya menggunakan makanan lembu seperti palet, hampas kelapa sawit, sekam padi serta beberapa jenis multi vitamin.

Kini hampir empat tahun beliau melibatkan diri, perusahaannya kian meningkat malah syarikatnya kini kadang-kala tidak mampu untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan bekalan daging lembu anda boleh melayari laman web www.siantan-green.com atau menghubungi beliau di talian 03- 8925 1151 atau 03- 89201344.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: