Sunday, August 8, 2010

Bercakap tentang Ariel dan lelaki




REALITINYA sukar untuk mendapat tarikh temu bual dengan gadis kacukan Melayu- Inggeris ini. Jujurnya juga dia berlari-lari dengan masa, mengejar itu dan ini untuk memenuhi tanggungjawabnya dalam pelbagai lapisan kerja.

Yasmin Hani Richardson walau jarang tampil di kaca televisyen, rezekinya ibarat sungai yang mengalir.

Sibuk si anak dara ini membuatkan dia mencuri masa di sana sini untuk tampil sebagai kulit wajah Sensasi Bintang.

Dia cuma dapat meluangkan masa selama 30 minit untuk sesi fotografi.

Ujarnya, dia baru selesai dengan program Keynote yang mengangkat nama-nama pucuk muda sebagai komposer baru Malaysia.

Program perdana di Asia dan dunia itu telah mengangkat nama Faan sebagai juara pertama.

Usai Keynote, Hani berurusan dengan beberapa tugasan yang belum ada hitam putihnya.

Yang pasti, si pemilik kulit cantik ini merupakan duta bagi produk Unza Skinz Infinite.


SEBATAS teman dalam satu bidang yang sama, Hani meletakkan status itu di antara dia dan Ariel. Sebagai teman juga, dia bersimpati dengan nasib yang melanda vokalis Peterpan tersebut dan berharap khalayak tidak menambahkan lagi kesulitan dalam hidup jejaka yang dianggapnya lucu itu.


Rapat dengan Ariel Peterpan?

Saya bertanyakan soalan berbentuk peribadi, dia tenang di hujung talian. Umum mengetahui gadis berusia 31 tahun ini pernah mendekati dan mengenali vokalis Peterpan, Ariel yang hangat dikaitkan dengan isu klip video lucah bersama dua selebriti Indonesia lain iaitu Luna Maya dan Cut Tari.

Ariel kini masih ditahan di dalam lokap polis negara itu.

Akui gadis yang mesra disapa Hani ini, pertemuannya dengan Ariel berlangsung berpuluh-puluh kali.

Mengenali Ariel sepanjang mengendalikan program Muzik Di Ria suatu ketika dahulu, dia bertanggungjawab bertanyakan perihal kumpulan itu setiap kali mereka menjejakkan kaki ke Malaysia.

"Dia lelaki yang gentleman, lemah-lembut, sangat sibuk dan lucu," Hani memulakan bual bicara.

Namun, tegasnya, persahabatan yang terjalin dengan lelaki pelantun lagu Ada Apa Denganmu itu tidak lebih sebatas teman dalam bidang yang sama.

Tiada baja kasih yang dituai atau sayang yang disulam dalam perkenalan itu. Perkenalan mereka suci dan tidak berlebihan.

Tidak seperti persepsi umum yang sesetengahnya merasakan Hani dan Ariel pernah mempunyai hubungan luar biasa.

"Jujurnya saya merasakan khalayak perlu 'keluar' daripada permasalahan itu. Ya, mungkin Ariel membuat kesilapan dalam hidupnya tetapi berilah dia ruang untuk dirinya sendiri.

"Umum perlu memikirkan impak terhadap diri dan keluarganya.


ARIEL PETERPAN


"Saya rasa ada pihak yang mengaibkan Ariel dengan bergosip dan bercakap mengenai isu video lucahnya," ujarnya yang tahu di mana mahu diletakkan nilai persahabatan yang telah terjalin ini.

Buat Hani, dia sentiasa mengharapkan yang terbaik buat Ariel mahupun teman-teman sesama artis.

Kekhilafan yang pernah dilakukan perlu dijadikan sempadan untuk bahan renungan setiap insan.

Duda, bukan suami orang

Ada juga kata-kata nakal yang keluar apabila melihat hikayat cinta seorang Yasmin Hani. Dia bunga solo yang sedang mekar di tengah-tengah rakan-rakan baik yang rata-rata sudah punya keluarga dan pasangan.

Ada yang mengatakan Yasmin Hani cenderung memilih lelaki yang sudah punya pengalaman untuk berteman dengannya. Dalam erti kata lain, dia lebih senang didekati duda.

"Semua ini kuasa Allah. Kenapa begitu dan kenapa begini tidak perlu menjadi persoalan kerana ia sudah ditakdirkan. Jodoh di tangan-Nya dan kita perlu patuh dengan perjalanan itu."

"Cuma mahu saya katakan, janda atau duda adalah manusia biasa.

"Mengapa perlu diletakkan standard kepada status mereka. Ya, mungkin dalam perjalanan cinta, saya cenderung rapat dengan duda.

"Yang penting, saya tidak akan memilih suami orang untuk menjadi pasangan hidup saya.

"Saya tidak akan jadi individu yang merosakkan rumah tangga orang lain untuk kebahagiaan hidup saya," ujarnya tegas.


BAKAL muncul dengan telefilem Ibu Mee Segera menjelang Syawal nanti, kini Yasmin Hani sedang merangka beberapa projek yang masih dalam perbincangan.


Hurainya, sebelum ini dia pernah terikat cinta dengan dua orang duda. Tetapi itu sudah menjadi sejarah yang disimpannya baik-baik.

Tidak mustahil juga untuk hati merahnya didekati duda lagi pada masa hadapan.

"Saya sedang mengenali seseorang. Tapi apa yang boleh saya katakan, proses itu tidak terlampau gila-gila.

"Maksudnya, biarkan ia berjalan sahaja," luahnya yang tidak mahu terlampau bercerita kisah cinta. Baginya, biarlah hal kerjaya yang melakari pelayaran ceritanya.

Banyak kata-kata yang terkeluar daripada mulut comel Hani tetapi banyak lagi yang disimpan di dalam kotak hatinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: