Saturday, August 7, 2010

Bengkel biskut raya meriah


Kek waka waka hasil hiasan para peserta bengkel.


DAPUR Lam Soon di Senai, Johor yang pada hari-hari bekerja lazimnya tenang dan sunyi, tiba-tiba berubah suasana riuh dengan gelak ketawa sepanjang hari Sabtu lalu.

Bukan kerana ada persembahan lawak, sebaliknya gurau-senda dan usik-mengusik oleh Zanifah Md. Nor, yang ligat bagai lipas kudung mengendalikan Bengkel Eksklusif Bersama Mega-Daisy.

"Kerja di dapur perlu sentiasa ceria, lagi pun kita masak untuk disajikan kepada keluarga jadi hati kena ikhlas baru hasilnya sedap dimakan. Kalau masak muka 'tension' kek yang dibuat pun takut nak naik,'' seloroh pemilik bakeri terkenal, D'Flowers Cake ini.

Katanya lagi, kemahiran di dapur kadang kala tidak datang sendiri sebaliknya ia boleh diperoleh melalui bengkel-bengkel masakan seumpama ini.

Bengkel yang memasuki siri ke empat daripada enam siri yang ditawarkan kali ini membawakan tajuk Kek dan Biskut Raya.

Sementelah Ramadan yang semakin hampir, tajuk yang dipilih sememangnya ditunggu-tunggu oleh pengikut 'setia' bengkel anjuran akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Mega dengan kerjasama Daisy ini.

Dua jenis biskut iaitu Tat Swan dan Kissingglory yang dicipta sendiri oleh Zanifah, khusus untuk bengkel tersebut diajar pada petang itu.

Paling menarik perhatian peserta, sudah tentu resipi kek waka waka yang agak sukar disediakan terutama bagi yang tidak biasa membuat kek.

Namun hasilnya memang mengagumkan lebih-lebih lagi apabila kek telah dihias cantik sehingga sesetengah peserta berasa sayang untuk memotongnya.

Salah seorang peserta bukan Melayu, Mahaswaray S. Suppiah, 45, berkata, bengkel tersebut memberi pengalaman berguna kepadanya terutama tip-tip ketika membuat kek dan biskut.

Katanya, para peserta bukan saja dapat belajar resipi baru tetapi lebih penting memperoleh panduan dan petua memasak yang tidak terdapat dalam mana-mana buku masakan.

"Lebih seronok kami kami dapat membawa pulang hasil 'air tangan' sendiri," katanya yang datang bersama dua rakannya dari Kota Tinggi.

Sementara itu bagi yang tidak berkesempatan menyertai bengkel minggu lepas tidak perlu risau kerana masih boleh mendaftar untuk menyertai bengkel Biskut dan Kek Raya yang akan berlangsung esok (7 Ogos) di tempat yang sama. Sekali lagi akan dikendalikan oleh Zanifah dengan resipi yang berbeza antaranya termasuk kek lobak istimewa D'Flower Cake.

Yuran pendaftaran sebanyak RM200 seorang dikenakan meliputi sarapan pagi, makan tengah hari, sijil penyertaan, cenderahati daripada Daisy dan beberapa hadiah cabutan bertuah yang menarik.

Bengkel sehari suntuk itu bermula seawal 9.30 pagi. Bagi yang berminat menyertainya boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Jenama di talian 03- 92210202 (Lieya) atau datang terus ke Dapur Lam Soon di Senai Complex, PLO 173, Jalan Cyber Utama, Kawasan Perindustrian Senai III, Senai, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: